HARAPAN MAHASISWA TERHADAP KABINET BARU  

Posted by Zulzaidi



Beberapa muka baru dan lama yang digabungkan dalam kabinet menunjukkan strategi terbaik Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang diumumkan Selasa lalu. Kepimpinan gabungan baru dan lama ini mungkin mampu menerajui negara Malaysia kepuncak yang tertinggi, agar mata dunia bisa melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang wajar dicontohi.
Masyarakat amnya mengharapkan sesuatu kelainan kepada kabinet yang baru dibentuk, lebih-lebih lagi dalam menyelesaikan masalah yang timbul dalam masyarakat, dan juga dapat meletakkan kebajikan rakyat sebagai asas sesuatu keputusan. Mahasiswa juga merupakan golongan yang tidak terkecuali mengharapkan kewibawaan kabinet baru ini mampu memberi harapan dan dorongan kepada mahasiswa untuk terus mengikuti perkembangan negara.
Harapan mahasiswa antara lain mengharapkan agar kabinet baru ini dapat turun ke setiap IPT untuk bertemu mahasiswa dan menjelaskan apakah hala tuju sebenar Kerajaan Pusat yang baru dalam memacu negara Malaysia. Dalam masa yang sama sesi soal jawab dan lontaran pandangan dan idea antara Pemimpin dan mahasiswa perlu diadakan. Dengan sesi ini, pemimpin dapat berkongsi pandangan bersama mahasiswa kerana mahasiswa juga berfikiran kritikal dan mempunyai idea yang bernas. Cara ini juga dilihat lebih efektif dalam mendekatkan pemimpin dan golongan mahasiswa di IPT.
Selain itu mahasiswa juga mengharapkan kabinet baru terutamanya Menteri Pengajian Tinggi yang baru iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dapat memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan gigih. Ramai tokoh-tokoh akademik yang menyokong kewibaan Menteri Pengajian Tinggi yang baru. Antara yang menyokong adalah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Prof Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, Presiden Universiti Terbuka Malaysia, Prof Tan Sri Anuwar Ali dan Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin. Bukan terheti setakat itu sahaja, mahasiswa mengharapkan Menteri Pengajian Tinggi ini mendorong dan memberi galakan kepada setiap IPT dalam menambah hasil kajian bagi meningkatkan “Ranking” IPT ke tahap yang lebih baik diperingkat global.
Harapan lain adalah Kabinet baru dapat mengkaji dan meneliti tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh mahasiswa antaranya meminda Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU)1971 subseksyen 15 (1), 15 (2) dan dibawah seksyen 15 (3), yang menyekat kebebasan mahasiswa untuk berpolitik. Selain itu mengkaji Caj PTPTN yang dikatakan amat tinggi dan membebankan graduan.
Mahasiswa juga amat berharap kepada kabinet baru ini agar tidak terlibat dengan masalah yang tidak bermoral seperti rasuah, kronisme, salah guna kuasa dan mengamalkan cara hidup bermewah-mewah. Mahasiswa menuntut kabinet baru ini mempunyai integriti yang tinggi, sifat sederhana, adil dan amanah dalam kerja, komitmen yang tinggi terhadap tanggungjawab yang diberikan dan serius membela masyarakat yang memerlukan.

Mahasiswa amat bersetuju dan menyambut baik arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia kepada kabinet agar mengisytiharan aset masing-masing. Mahasiswa juga mencadangkan selain dari aset menteri diisytiharkan, ahli keluarga dan orang-orang yang rapat dengan Para Menteri juga perlu mengisytiharkan harta mereka kepada umum. Perkara dilihat lebih berkesan untuk meningkatkan lagi integriti menteri dan rakyat dapat memberi kepercayaan sepenuhnya kepada kepimpinan negara.
Kesimpulannya Mahasiswa yang bakal memimpin masa hadapan diperingkat kepimpinan negara Malaysia mengharapkan sesuatu yang lain. Lain disini mampu untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa segala masalah yang timbul dapat diatasi dengan cekap tanpa menyentuh hak rakyat. Mahasiswa menyokong kepimpinan kabinet baru ini selagi kabinet ini tidak melanggar etika kerja yang baik. Diharapkan juga tidak barisan kabinet ini tidak terlibat dengan aktiviti yang merosakkan maruah dan mencemarkan nama Malaysia. Jika perkara yang buruk dan mencalarkan nama baik kepimpinan dilakukan kabinet, mungkin dan semestinya kepercayaan mahasiswa akan luntur dan pudar untuk menaruh harapan lagi kepada kabinet baru.


(ZULZAIDI BIN MAHMOD)
JABATAN SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG
AKADEMI PENGAJUAN ISLAM
UNIVERSITI MALAYA

22/3/08

KABINET TAK BOLEH BAWA CARA KERJA LAMA  

Posted by Zulzaidi



MUKA baru dan lama yang digabungkan dalam Kabinet menunjukkan strategi terbaik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membawa Malaysia ke puncak tertinggi, agar mata dunia dapat melihat Malaysia sebagai negara membangun yang wajar dicontohi. Masyarakat amnya mengharapkan sesuatu kelainan kepada Kabinet yang baru dibentuk, lebih-lebih lagi dalam menyelesaikan masalah dalam masyarakat berbilang kaum selain meletakkan kebajikan rakyat sebagai asas sebelum membuat sesuatu rancangan. Mahasiswa juga adalah golongan yang tidak terkecuali mengharapkan kewibawaan Kabinet baru ini mampu memberi harapan dan dorongan kepada pelajar universiti untuk terus mengikuti perkembangan negara.
Harapan mahasiswa, antara lain mengharapkan agar menteri baru ini dapat turun ke setiap institusi pengajian tinggi (IPT) untuk bertemu mahasiswa dan menjelaskan apakah hala tuju sebenar Kerajaan Pusat yang baru dalam memacu negara Malaysia. Pada masa sama, sesi soal jawab dan lontaran pandangan dan idea antara pemimpin dan mahasiswa perlu diadakan. Dengan sesi ini, pemimpin dapat berkongsi pandangan bersama mahasiswa kerana mahasiswa juga berfikiran kritikal dan mempunyai idea yang bernas. Cara ini juga dilihat lebih berkesan dalam mendekatkan pemimpin dan golongan mahasiswa di IPT. Selain itu, mahasiswa mengharapkan Kabinet baru, terutama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dapat memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan gigih. Ramai tokoh akademik menyokong kewibawan Menteri Pengajian Tinggi baru.
Antara yang menyokong adalah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Prof Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, Presiden Universiti Terbuka Malaysia, Prof Tan Sri Anuwar Ali dan Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin. Mahasiswa mengharapkan Khaled mendorong dan memberi galakan kepada setiap IPT dalam menambah hasil kajian bagi meningkatkan 'ranking' IPT ke tahap yang lebih baik pada peringkat global. Harapan lain adalah Kabinet baru dapat mengkaji dan meneliti tuntutan yang dibuat oleh mahasiswa, antaranya meminda Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU)1971 subseksyen 15 (1), 15 (2) dan di bawah seksyen 15 (3), yang menyekat kebebasan mahasiswa untuk berpolitik. Selain itu, mengkaji caj PTPTN yang dikatakan masih tinggi dan membebankan graduan. Mahasiswa juga amat berharap kepada Kabinet baru ini tidak terbabit dengan masalah tidak bermoral seperti rasuah, kronisme, salah guna kuasa dan mengamalkan cara hidup mewah.
Mahasiswa mahu barisan Kabinet baru ini mempunyai integriti yang tinggi, sifat sederhana, adil dan amanah dalam kerja, komitmen yang tinggi terhadap tanggungjawab yang diberikan dan serius membela masyarakat yang memerlukan. Mahasiswa amat bersetuju dan menyambut baik arahan Perdana Menteri kepada Kabinet agar mengisytiharkan aset masing-masing. Mahasiswa juga mencadangkan, selain dari aset menteri diisytiharkan, ahli keluarga dan orang yang rapat dengan menteri juga perlu mengisytiharkan harta mereka kepada umum. Perkara dilihat lebih berkesan untuk meningkatkan lagi integriti menteri dan rakyat dapat memberi kepercayaan sepenuhnya kepada kepimpinan negara. Kesimpulannya, golongan mahasiswa yang bakal memimpin masa hadapan pada peringkat kepimpinan negara mengharapkan sesuatu yang istimewa yang bakal ditunjukkan barisan kabinet baru. Mereka perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa segala masalah yang timbul dapat diatasi dengan cekap tanpa menyentuh hak rakyat. Mahasiswa menyokong kepemimpinan Kabinet baru dan yakin mereka mampu bekerja dengan baik dan berkesan. Elakkan melakukan perbuatan negatif yang boleh mencalarkan nama baik kepemimpinan negara kerana dikhuatiri kepercayaan mahasiswa akan luntur dan pudar.
ZULZAIDI MAHMOD,
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya.
25/03/08
BERITA HARIAN
ruangan surat
MS12

NABI TELADAN PALING UNGGUL SELURUH MANUSIA  

Posted by Zulzaidi


Oleh Zulzaidi Mahmod

"SECAWAN kopi, kalau kita tidak bubuh gula tentu rasanya pahit, gula yang diletak dan dikacau akan hilang, dan yang ada hanya manisnya." Inilah kata-kata saudara baru, Muhammad Amin Leong Abdullah dalam buku Islam Pilihanku. Kata-kata beliau menggambarkan betapa nikmatnya Islam kerana tidak dapat dizahirkan. Islam agama universal, bersesuaian dengan masa, tempat dan siapa saja tanpa mengira bangsa, budaya atau warna kulit. Agama Islam adalah hasil perjuangan manusia pilihan, Muhammad bin Abdullah yang dilahirkan di kota Makkah pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah. Nabi Muhammad SAW dilahirkan daripada keturunan yang mulia di Makkah iaitu kaum Quraisy.
Justeru, umat Islam haruslah memperingati tarikh kelahiran Rasulullah SAW untuk menambahkan lagi ketakwaan dan mengenang kembali perjuangan dakwah Baginda sehingga tersebarnya Islam pada hari ini. Seluruh cendekiawan, ahli agama, pemikir, ahli falsafah mengakui Nabi Muhammad SAW sebagai penyelamat manusia sejagat. Seorang penulis Barat, Michael Hart dalam buku bertajuk The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History menempatkan Nabi Muhammad SAW di tangga pertama. Beliau turut memperakui Nabi Muhammad SAW, satu-satunya individu dalam sejarah dunia yang amat berjaya dalam dua bidang, iaitu agama dan dunia. Saiyid Sulaiman an-Nadwi dalam buku Muhammad The Ideal Prophet menyatakan Nabi Muhammad SAW adalah model paling ideal bagi seluruh manusia.
Keunggulan Baginda tidak dapat disangkal mana-mana manusia di dunia. Kehadiran Islam yang dibawa Rasulullah SAW menjadi sinar kebenaran yang menyuluh alam. Firman Allah yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik." - (Surah al-Ahzab, ayat 21) Baginda bisa mengubah masyarakat yang hina kepada masyarakat mulia di sisi Allah. Sewaktu zaman jahiliah, umat manusia menyembah berhala seperti al-Lata, al-Uzza, Manat, Wadda Suwaa dan Yauq. Selain itu, sanggup menanam anak perempuan hidup-hidup seperti dilakukan suku Bani Tamim. Khalifah kedua, Saidina Umar Al-Khattab juga sewaktu zaman jahiliah melakukan perbuatan terkutuk ini.
Martabat wanita juga dihina dan dijadikan hamba abdi. Namun, selepas kedatangan sinar Islam, segala-galanya berubah dengan Islam mengangkat darjat wanita, penyembahan berhala dihapuskan dan kepada Allah saja Tuhan layak untuk disembah. Kemuliaan sikap Rasulullah SAW haruslah dipuji, diikuti serta dicontohi seluruh umat manusia. Baginda pernah dilayan buruk tetapi disebabkan keunggulan peribadinya, Baginda tidak membalas layan itu dengan keburukan juga. Itulah yang terjadi antara Baginda dengan seorang wanita yang sangat membencinya dan akan memukul dengan penyapu setiap kali terlihat Rasulullah SAW. Walaupun begitu, Baginda sentiasa memberi salam kepadanya sekalipun salamnya itu tidak pernah dibalas. Suatu hari, Rasulullah SAW hairan kerana wanita itu tidak kelihatan, jiran menyatakan pada Baginda bahawa wanita itu sakit dan tidak kuat untuk bangun. Sebaik saja mendengar, Baginda terus masuk ke dalam rumah wanita itu. Tanpa membuang masa Baginda tolong mengemaskan rumah, memasak serta menimba air menyebabkan wanita itu hairan melihat perangai Rasulullah SAW yang sudi membantunya walaupun dia sangat benci kepada Baginda. Selepas peristiwa, hati wanita berkenaan tertawan dengan keperibadian Rasulullah SAW lantas memeluk Islam. Peristiwa ini memperlihatkan ketinggian budi Rasulullah SAW dalam menakluki hati manusia biarpun dihina dimaki tetapi kesannya amat luar biasa. Dalam gurauan sekalipun, Baginda tetap dipuji dan diagungkan kerana gurauan Baginda adalah gurauan yang benar. Rasulullah SAW pernah bergurau dengan seorang nenek tua yang datang dan berkata: "Doakan aku kepada Allah supaya Allah memasukkan aku ke dalam syurga." Baginda berkata kepadanya: "Wahai Ummu Fulan! Sesungguhnya syurga itu tidak dimasuki orang yang sudah tua." Wanita tua itu menangis kerana ia memahami kata-kata Baginda daripada segi zahirnya saja. Maka Rasulullah SAW berkata, dia tidak akan masuk syurga sebagai orang tua tetapi berubah menjadi muda belia dan cantik. Kisah gurauan ini dinukil Prof Dr Yusuf Al-Qardahawi dalam 'Al-Islam Wal Fann'. Kehadiran Rasulullah tiada tandingan dan tiada ganti. Keperibadian yang unggul mencerminkan bahawa Islam yang dibawa juga unggul dan tidak goyah. Menerusi Maulidur Rasul, mudah-mudahan umat Islam dapat menyoroti sirah perjuangan Baginda untuk merasai kemanisan Islam yang kita anuti hari ini. Diharapkan umat Islam dapat mengamalkan sunnah Baginda untuk menunjukkan kepada dunia walaupun Rasulullah SAW sudah wafat tetapi jiwa Rasulullah SAW sentiasa menjadi keperibadian umatnya. Pengisytiharan cuti umum oleh kerajaan Malaysia pada 12 Rabiulawal memberi peluang seluruh rakyat negara ini tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan memperingati Baginda seperti dinyatakan Mohd Azhar Abdullah dalam buku Keajaiban Maulidur Rasul. Sambutan Maulidur Rasul perlulah secara sederhana dan yang penting perbanyakkan selawat serta memperingati perjuangan Baginda. Diharapkan juga setiap rakyat Malaysia mampu mengambil iktibar supaya kehidupan menjadi berkat dengan mengamalkan sunnah Baginda.
Penulis ialah pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-undang Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
17 MAC 2008
BERITA HARIAN
RUANGAN AGAMA
MS 13

HARAPAN RAKYAT KEPADA YANG BERHORMAT  

Posted by Zulzaidi


PendapatTANGGUNGJAWAB rakyat memilih wakil-wakil yang akan berkhidmat untuk mereka telah pun selesai. Kini tiba masanya bagi setiap wakil rakyat tanpa mengira dari parti mana sekalipun menunaikan tanggungjawab mereka.
Harapan rakyat terhadap pemimpin yang dipilih semestinya amat tinggi dan antara lain kehendak rakyat ialah supaya pemimpin turut padang melihat sendiri masalah yang dialami.
Bertemu rakyat bukan hanya semasa majlis-majlis rasmi bersama rakyat, tetapi pertemuan yang kerap dengan rakyat pada bila-bila masa walaupun tiada temu janji. Cara ini lebih mengeratkan lagi hubungan pemimpin dengan rakyat yang dipimpin.
Selain itu wakil rakyat boleh menggali masalah rakyat untuk diatasi atas suara kepimpinan yang telah diberikan mandat kepada mereka. Jika sewaktu berkempen calon-calon wakil rakyat sanggup berpanas berhujan untuk bertemu rakyat meraih undi, perkara ini seharusnya tidak terhenti selepas kemenangan mereka diumumkan. Kisah Khalifah Umar Al-Khattab boleh dijadikan iktibar oleh pemimpin wakil rakyat agar sentiasa turun padang.
Setiap wakil rakyat mestilah mempunyai sikap bertanggungjawab. Sikap ini perlulah disemai dengan jitu agar ia lebih dirasai oleh pemimpin dan golongan yang dipimpin.
Tanggungjawab yang dipikul oleh wakil rakyat bukan boleh ditimbang kilogram, diukur kilometer tetapi diukur sejauhmana tanggungjawab itu dapat dilaksanakan.
Tanggungjawab wakil rakyat adalah mewakili suara rakyat ke peringkat Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat selain menggubal atau membuat undang-undang bagi negeri dan Persekutuan selain mentadbir.
Tanggungjawab yang terpenting adalah menolong rakyat yang dalam kesusahan sama ada masalah sosial dan masalah ekonomi seperti kemiskinan.
Wakil rakyat juga wajib memenuhi kandungan manifesto yang telah dibuat semampu mungkin agar tidak menjadi wakil rakyat yang tidak jujur.
Tidak jujur di sini bermaksud janji yang telah disebut dan dikata sewaktu berkempen tidak dibuat dan dilaksanakan selepas memegang tampuk pimpinan wakil rakyat.
Sikap hipokrit ini harus dibuang jauhjauh agar tiada saki-baki dalam diri wakil rakyat.
Setiap wakil rakyat haruslah mempunyai sifat-sifat yang terpuji. Setiap agama di dunia ini menganjurkan umatnya supaya mempunyai budi pekerti yang mulia. Jadi setiap wakil rakyat wajib mempamerkan sikap yang terpuji agar rakyat menyenangi dan sayangkan wakil rakyat.
Wakil rakyat haruslah sentiasa bertanya perkembangan rakyat dari semasa ke semasa dengan senyuman dan tutur kata yang sopan.
Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan telah menghabiskan ribuan ringgit bahkan jutaan ringgit semata-mata untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya budi bahasa dengan mengeluarkan propaganda positif ‘budi bahasa budaya kita’.
Jika seseorang yang panas baran, apabila wakil rakyat datang dengan senyuman dan kesopanan maka baran rakyat boleh cair dan dapat dilupakan.
Sikap sebegini bertepatan dengan prinsip Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan. Perkara ini menjadi contoh kepimpinan tauladan iaitu kepimpinan Rasulullah s.a.w.
Wakil rakyat yang dipilih haruslah peka perkembangan rakyat agar kepercayaan rakyat kepada pemimpinnya utuh dah kukuh dan tidak mudah roboh.
Wakil rakyat juga haruslah menyemai sikap terbuka dan sentiasa bertoleransi dengan rakyat, agar rakyat bisa meluahkan masalah mereka secara senang tanpa ada sembunyi-sembunyi. Wakil rakyat juga haruslah dapat menyeimbangkan antara keperluan dan kehendak rakyat, dan dapat mengutamakan yang mana perlu.
– ZULZAIDI MAHMOD
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya.
12 MAC 2008
UTUSAN MALAYSIA
RUANGAN PENDAPAT
MS 11

GENERASI BARU TANPA ROKOK  

Posted by Zulzaidi


INDUSTRI rokok merupakan antara industri paling maju malahan jenama rokok yang diperdagangkan begitu banyak. Masyarakat secara tidak langsung menjadi mangsa industri ini sejak sekian lama hatta ada yang sanggup menjadi ‘hamba’ kepada perkembangan industri rokok ini.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat kira-kira 1.25 bilion perokok di seluruh dunia. Ini bermakna jumlah ini mewakili sepertiga daripada bilangan penduduk dunia dalam lingkungan 15 tahun ke atas.
Industri rokok telah menjadikan masyarakat kita terjerumus ke kancah kebinasaan mengikut keterangan penagih tegar yang menyatakan bahawa permulaan ketagihan dadah adalah berpunca daripada rokok.
Di peringkat sekolah menengah merupakan langkah pertama bagi ramai perokok di negara kita terutama yang berumur 15 tahun, malahan ada juga yang masih kecil berumur 3 tahun setengah menghisap rokok seperti mana dinyatakan oleh NGO Prihatin Malaysia (Prihatin) pada November 2007.
Persoalannya, adakah kita rakyat Malaysia yang berpegang kepada cogan kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu Cemerlang, Gemilang dan Terbilang untuk melahirkan generasi baru tanpa perokok yang bakal memimpin negara Malaysia pada masa depan?
Punca lahirnya masalah rokok ini tidak lain adalah daripada pengaruh rakan sebaya. Tidak dapat disangkal juga indusri ini telah memperdagangkan rokok kepada wanita dengan mengeluarkan kenyataan bahawa rokok mampu untuk melangsingkan badan dan juga bagi lelaki industri ini mengeluarkan propaganda dalam iklan-iklan bahawa merokok di kalangan lelaki menampakkan lelaki itu gagah dan berstail serta menawan apabila dipandang wanita.
Di peringkat mahasiswa juga, tidak kurang hebatnya sehinggakan mahasiswa berani merokok di fakulti sedangkan ia merupakan tempat yang tidak dibenarkan merokok. Ada pula yang beralasan daripada pandangan mahasiswa ini bahawa merokok mampu untuk menambah idea serta mengurangkan tekanan.
Alasan ini tidak munasabah sama sekali kerana bagi mengurangkan stres adalah dengan mendekatkan diri pada Ilahi, dan selalu bertafakur.
Di Malaysia, terdapat peningkatan kes yang berkaitan dengan merokok seperti kanser dan gangguan kardiovaskular sejak 25 tahun lalu yang telah termaktub dalam buku Halal Haram keluaran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Pakar sakit tuan, Dr. Ismail Tambi juga menyatakan merokok merupakan penyumbang kepada kes-kes mandul di Malaysia.
Merokok dianggap sebagai punca utama kematian yang boleh dicegah dan dibendung. Kajian saintifik juga menunjukkan asap rokok mengandungi lebih daripda 4,000 bahan beracun seperti arsenik, benzopirena, metoprena, aseton, plumbum dan ammonia. Walaupun perkara ini diketahui oleh masyarakat umum tetapi mereka yang merokok tidak mempedulikannya.
Banyak dana telah dikeluarkan oleh kerajaan dan juga NGO bagi menyedarkan masyarakat supaya berhenti merokok seperti kempen ‘Tak Nak’ yang jutaan ringgit dilaburkan tetapi tidak juga menampakkan kesan ketara.
Di peringkat sekolah diajar pendidikan jasmani yang menitikberatkan bahawa rokok membahayakan kesihatan. Kerajaan pula terpaksa mensyaratkan pelabelan pada setiap kotak rokok ‘‘Amaran oleh kerajaan Malaysia, merokok membahayakan kesihatan’ tetapi tidak diendahkan oleh masyarakat.
Adalah wajar bagi kerajaan mengawal industri rokok di Malaysia yang mana kos menampung perubatan bagi kes kanser akibat rokok telah meningkat daripada keuntungan negara terhadap industri ini.
Dicadangkan juga agar setiap kotak rokok yang dijual diletakkan gambar jantung atau paru-paru yang rosak serta gambar pesakit kronik akibat merokok seperti yang dibuat di Thailand. Ia sekurang-kurangnya mampu memberi sedikit rasa insaf masyarakat.
Masyarakat memainkan peranan penting agar melahirkan generasi yang tidak merokok supaya kesihatan tubuh badan terjaga dan pembaziran terkawal.
– ZULZAIDI MAHMOD,
Mapan.
31 januari 2008
utusan malaysia
ruangan FORUM
ms 12

Mahasiswa perlu dominan  

Posted by Zulzaidi

Institusi pengajian tinggi di Malaysia semakin bertambah daripada universiti yang ternama seperti UM, UKM, UIAM, USM, UPM dan UUM sehinggakan kepada kolej-kolej swasta diwujudkan bagi menyambut seruan kerajaan untuk membina tamadun pendidikan yang jitu dan maju.
Ia juga bertepatan di bawah pendekatan Islam Hadhari iaitu pembangunan modal insan.
Walaupun ramai graduan lulus dengan cemerlang dalam bidang akademik tetapi amat kurang sekali yang memahami isu serta realiti masalah masyarakat seperti isu kemiskinan, sosial pelajar sekolah yang semakin teruk dan meruncing, isu hiburan yang melampaui batas, isu halal haram produk makanan serta isu-isu kepenggunaan.
Kita tidak sedar bahawa di lapangan, masyarakat amat memerlukan mahasiswa IPT untuk membantu membina kesedaran masyarakat dalam membina sebuah negara yang utuh dan mampu membantu kerajaan.
Ini jelas dapat dilihat dalam masalah banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini apabila hanya segelintir mahasiswa yang sanggup turun padang mencari sumbangan daripada pelbagai pihak bagi meringankan bebanan mangsa bencana itu.
Begitu juga dengan isu kepenggunaan yang mana masyarakat telah didedahkan sekian lama terhadap isu dan masalah kepenggunaan yang amat kritikal tetapi ia kurang diberi perhatian oleh mahasiswa walaupun mereka telah mengetahui isu-isu ini secara terperinci dalam sistem pelajaran di peringkat IPT.
Persoalannya, kenapa mahasiswa tidak terlibat dalam isu dan masalah dalam realiti masyarakat.
Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak universiti telah membuka ruang seluas-luasnya kepada mahasiswa untuk beraksi dalam masyarakat bagi membantu masyarakat dalam meleraikan sesuatu isu dan masalah dari kaca mata mahasiswa.
Persatuan dan kelab di IPT bukan hanya perlu tertumpu di dalam kampus tetapi perlu meluaskan skop ke peringkat nasional malahan jika mampu dibawa ke peringkat global seperti isu FTA dan Palestin.
Persatuan dan kelab yang ada di IPT bukan hanya duduk di bangku dan membaca buku serta program di sekitar kampus sahaja tetapi boleh memainkan peranan yang telah diberikan semaksimum mungkin.
Sebagai contoh, menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti Operasi Khidmat Masyarakat yang membolehkan mahasiswa mengetahui isu dan masalah masyarakat dari akar umbi.
Kemudian mereka boleh menilai dari kaca mahasiswa supaya isu dan masalah itu ditangani dan diambil perhatian serta tindakan dengan jayanya.
Datuk Dr. Abdul Hamid Othman, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri dalam ucapan perasmian Muktamar Kebangsaan Amal Islami yang lalu di Kuala Lumpur, menyatakan bahawa sistem demokrasi yang dibawa oleh negara kita bukan hanya terhadap politik tetapi juga sistem pendidikan.
Dan, sewajarnya mahasiswa memahami bahawa demokrasi pendidikan ini adalah mampu untuk membentuk sebuah negara Islam yang maju dan syumul.
Dapat kita lihat bahawa ruang dan peluang telah diberikan oleh kerajaan kepada mahasiswa untuk membantu masyarakat semampu mungkin dan ini juga mampu meningkatkan kualiti dan idealisme mahasiswa semaksimum mungkin.
Kita selaku mahasiswa yang mempunyai pemikiran yang kritikal perlu memandang tinggi serta penting terhadap isu dan masalah masyarakat. Ini kerana mahasiswa juga merupakan sebahagian komponen masyarakat dan perlu menyumbang sesuatu kepada masyarakat bersandarkan apa yang dipelajari di IPT.
Masalah dan isu masyarakat adalah isu bersama, bukan hanya isu kerajaan dan NGO tetapi juga isu mahasiswa.
- ZULZAIDI MAHMOD,
Jaringan Nasional Belia Mapan.

DISKUSI BUKU DIKALANGAN RAKYAT MALAYSIA UNTUK MENAMBAHKAN ILMU PENGETAHUAN  

Posted by Zulzaidi

Sesebuah masyarakat yang maju bukan hanya mempunyai ketamadunan dan teknologi yang tinggi, tetapi tanda sebuah negara maju adalah nilai keilmuaan yang ada pada sesebuah masyarakat yang mampu diaplikasikan oleh manusia. Golongan belia mempunyai potensi keilmuaan membaca, walaupun tidak sepenuhnya. Penulis berkata demikiaan kerana golongan belia juga membeli akhbar dan majalah untuk dibaca tetapi hanya tertumpu pada ruangan dan bahagian sukan bagi lelaki dan hiburan bagi wanita.
Pembacaan merupakan medium untuk manusia tidak mengira bangsa, keturunan, bahasa, budaya, warna kulit dan fizikal untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Ketinggian nilai keilmuaan dalam pembacaan tidak dapat disangkal lagi kerana keilmuaan mampu untuk menambahkan pengetahuan. Dengan pembacaan manusia mampu untuk mengetahui segala hal dari dalam dan luar negara, politik, sosial, ekonomi, dunia hiburan, pendidikan, luar negara dan sukan. Bukan sekadar itu sahaja dengan pembacaan manusia mampu untuk untuk mengetahui apa yang terdapat di bumi, di angkasa, dalam dasar lautan, fakta-fakta, serta sejarah lampau.
Di Malaysia ini cukup banyak medium untuk masyarakat membudayakan pembacaan. Antara medium pembacaan adalah akhbar, buku, majalah, risalah, kertas pembentangan, lawan web, laman blog dan sebagainya. Cukup banyak gesaan dari pelbagai pihak sama ada kerajaan, NGO, universiti, masjid, pertubuhan untuk membudayakan pembacaan dikalangan rakyat Malaysia. Kementerian Kebudayaan Keseniaan dan Warisan Malaysia (KEKKWA) telah menggunaakan slogan “BANGSA MEMBACA, BANGSA BERJAYA” yang mana slogan ini menyedarkan masyarakat betapa pentingnya nilai pembacaan di era globalisasi ini.
Rakyat Jepun berpeluang untuk membaca buku apa sahaja kerana dijual dengan harga yang murah dan berpatutan untuk melatih rakyatnya berbudaya membaca. Tindakan ini adalah untuk memastikan rakyat Jepun memperolehi ilmu pengatahuan semaksima mungkin tanpa ada had dan batas. Kebijaksanaan pelaksanaan ini telah menjadikan Jepun sebuah negara yang membangun dan mampu menandingi keupayaan barat dari pelbagai aspek lebih-lebih lagi dalam bidang teknologi.
Pembacaan buku merupakan cara terbaik untuk menambahkan ilmu pengetahuaan. Menurut Pimpinan Redaksi Majalah SABILI Indonesia Saudara Herry Nurdi ketika bertemu penulis November 2007 di USM Pulau Pinang menyatakan setiap pembacaan buku ibarat pembaca sedang menitiskan air dalam gelas yang kosong, jika pembacaan itu banyak maka makin banyaklah titisan air ke dalam gelas sehingga penuh lalu makin penuh. Analogi yang digunakan ini amat wajar kerana setitis air sahaja tidak mampu untuk menghilangkan dahaga. Tetapi jika segelas air dan lebih, mampu untuk memberi tenaga. “membaca itu laksana menumpang sebuah kereta yang kamu tidak tahu ke mana hala tujunya, dan ketika tiba masa kamu harus turun, kamu merasa sangat bersedih” ini merupakan kata-kata Ahmad kepada Ibrahim watak yang ada dalam novel Impian Palestin karangan Randa Ghazy. Kata-kata itu mampu memberikan semangat untuk kita terus membaca.
Pembacaan buku dikalangan masyarakat Malaysia amat rendah yang mana sebuah buku untuk dibaca sebulan agak sukar untuk dihabiskan. Golongan-golongan intelek seperti mahasiswa terhadap minat pembacaan juga kurang. Perkara ini dilihat tidak sepatutnya berlaku kerana mahasiswa yang berada di IPTA dan IPTS inilah yang akan memacu negara Malaysia pada masa hadapan. Pemacuan negara mesti bertunjangkan ilmu manakala ilmu bertunjangkan pembacaan. Ayat Al-Quran pertama dengan lafaz suruhan mengarahkan junjungan besar Baginda Nabi Muhammad S.A.W membaca lafaz “IQRA” dengan maksud “bacalah”, lafaz ini cukup sinonim di Malaysia. Apa yang diperolehi dari ayat “IQRA” adalah ilmu mestilah bertunjangkan pembacaan, pembacaan mestilah dengan gesaan terhadap diri.
Pembacaan buku di Malaysia adalah merupakan kehendak rakyat sahaja, belum mencapai tahap keperluaan lagi. Ini kerana hiburan hidonisme yang melampau menjadi keperluan utama masyarakat Malaysia, kemudian yang terakhir dalam “list” kehendak baru muncul perkataan buku. Dalam filem Anakku Sazali ada bait-bait kata menunjukkan hiburan diutamakan, “kita boleh tengok wayang gambar, boleh berjoget dan berjudi” itulah kata-kata yang terpancul keluar dari mulut Sazali pada rakan-rakannya untuk menunjukkan hiburan melampau adalah perlu dalam kehidupan, Perkara sebegini jika ada dikalangan anak muda adalah perkara yang amat menyedihkan. Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional (PENA), Syed Mohamad Zakir Syed Othman (SM Zakir) menyatakan bahawa harga buku hanya dijadikan “kambing hitam” oleh sebahagian masyarakat. Katanya lagi harga buku yang tinggi dijadikan alasan utama kurang membaca.
DISKUSI BUKU
Pembacaan sahaja tidak mencukupi jika tidak didiskusikan. Pertubuhan bukan kerajaan NGO UMMAHAID yang diketuai oleh MS Anuar Mahmod telah memulakan program diskusi buku mingguan di Pulau Pinang dengan panggilan bedah buku. Di Indonesia program bedah buku ini cukup “famous” untuk meningkatkan kefahaman pembaca. Di Indonesia majalah seperti SABILI membuat bedah buku di media eloktronik radio agar masyarakat lebih memahami isi kandungan majalah dengan lebih “detail”.
Maksud bedah buku adalah buku yang dibaca oleh individu akan dikongsi bersama dalam satu kumpulan, forum, ceramah dan pembentangan. Kongsi disini bermaksud individu akan menyatakan apa yang difahami daripada pembacaan buku tersebut dan ahli dalam kumpulan atau pendengar. Manakala ahli kumpulan atau pendengar akan menghidupkan diskusi dengan pertanyaan dan pendapat agar budaya ilmu dimantapkan. Bedah buku ini juga menambahkan pengetahuan kepada ahli kumpulan kerana bukan semua buku dapat dibaca oleh semua individu selain berkongsi matlumat.
Penulis merasakan bedah buku oleh pembaca sahaja tidak mencukupi, jika bedah buku ini didiskusikan secara forum dan ceramah oleh penulis buku tersebut sendiri dirasakan lebih efektif dan signifikan. Ini kerana penulis buku itu lebih memahami apa yang ditulis, penulis buku tersebut juga yang mengkaji dan memahami secara mendalam dapat berkongsi apa yang ingin dinyatakan dalam penulisan.
Penulis mencadangkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, univesiti, kolej-kolej, mana-mana penerbit agar dapat mendiskusikan buku yang diterbitkan. Sebagai contoh pihak universiti yang menerbitkan banyak buku-buku ilmiah yang dikarang oleh Profesor, Profesor Madya, Doktor dan Penyarah dapat melakukan diskusi buku ini. Dengan cara ini pelajar lebih dekat dengan buku dan secara tidak langsung dekat dengan penulis buku. Di ruangan Balai Ilmu Akademi Pengajian Islam Universiti telah diadakan diskusi buku “Meneroka Identiti Islamic Jerusalem” oleh Abd Al-Fattah El-Awaisi. Diskusi ini membuka mata pensyarah dan mahasiswa bahawa bukan sahaja isi kandungan buku diketahui tetapi disebaliknya proses diskusi buku ini perlu untuk menambah kefahaman selain pembacaan semata-mata.
Kesimpulannya yang penulis mencadangkan kepada mana-mana pihak yang merasakan bertanggungjawab dalam soal pembacaan dan diskusi buku memainkan peranan sewajarnya. Harga buku yang mahal dijadikan alasan masyarakat untuk tidak membaca tidak patut didengar lagi. Sepatutnya harga buku bukan alasan tidak membaca tetapi sikap yang tidak mementingkan ilmu patut dibuang jauh-jauh. Kempen-kempen membaca juga tidak cukup jika tidak ada cara untuk pembacaan yang betul seperti “Speed Reading”. Diharapkan semua pihak membuka mata untuk memastikan pembacaan buku dan diskusi buku menjadi keperluan harian rakyat bukan lagi kehendak semata-mata.


ZULZAIDI BIN MAHMOD

Email: matnyum@yahoo.com
HP : 012-5002954

WANITA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM  

Posted by Zulzaidi





Pengarang : Ridhuan Abdullah
muka surat : 67
Keluaran : Karya Bestari
Harga : RM3.00
Tarikh beli : 5 MAC 2008 (FURAT ENTERPRISE)
Tarikh akhir baca5 MAC 2008 (06.15 PETANG)(B 308 KOLEJ KEDIAMAN 12 UM)

Buku ini menerangkan tentang wanita di dalam Islam. Allah menyatakan bahawa lelaki dan wanita saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Setiap amal antara lelaki dan wanita akan dibalas sama rata Cuma perbezaan antara keduanya adalah dari segi tanggungjawab. Nilai wanita didalam Islam juga tidak dapat disangkal sama sekali kerana Rasulullah s.a.w bersabda ” sebaik-baik kenikmatan didunia adlah wanita yang solehah”. Bukan sekadar itu sahaja kemulian wanita dapat dilihat dari segi kemulian seorang ibu, Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa ibu adalah berhak diberi perhatian dari seorang ayah. Antara alasan menyatakan bahawa ibu seorang yang mulia kerana ini yang telah mengandungkan selama 9 bulan dan telah menyusukan dengan kasih sayang yang tidak ada pada seorang yang bergelar lelaki.
Dinyatakan juga pada bab yang ke 3 berkenaan dengan isu-isu gender yang kurang kontroversi antaranya adalah isu pendidikan yang mana wanita memang diberikan hak untuk menuntut ilmu selagi tidak mendatangkan syak, ibadah, bersedekah, hak pemilikan harta, hak bersuara dan memberikan pendapat, penglibatan dalam jihad, hak menentukan siapa suami, hak menjaga anak-anak. Paling saya tertarik pada menyatakan tentang hak bersuara dan memberikan pendapat yang mana dimuatkan dalam bentuk kisah.

” Umar telah naik ke atas mimbar Rasulullah s.a.w lalu berkata : wahai para sahabat! Janganlah kamu menetapkan mahar yang tinggi ketika waktu pernikahan. Ini kerana, Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya hanya mengeluarkan mahar paling tinggi sebanyak 400 dirham walupun mahar yang lebih tinggi daripada itu dianggap lebih bertakwa di sisi ALLAH s.w.t atau mendapat kemulian yang 6tidak mampu dicapai oleh orang lain. Sesungguhnya aku dapat tahu bahawa ada antara kamu yang mengeluarkan mahar kepada isterinya melebihi 400 dirham.
Kemudian Umar telah turun daripada mimbar lalu dihalang oleh seorang wanita Quraiy sambil berkata : Wahai amirul Mukminin! Adakah engkau telah melarang kaum lelaki untuk mengeluarkan mahar melebihi 400 dirham? Jawab Umar ya. Wanita itu berkata : apakah kamu pernah mendengar apa yang diturunkan Allah di dalam Quran ? Umar bertabya apakah ayat itu? Jawab wanita itu : (dan jika kamu iongin menggantikan isterimu dengan isteri yang lain sedangkan kamu telah memberikan kepada seseorang antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali daripadanya walau sedikit. Apakah kamu akan mengambilmya kembali dengan jalan tuduhan yang dusta dan dengan menanggung dosa yang nyata ) surah An-Nisa ayat : 20.
Lantas umar berkata : ya ALLAH ampunilah dosa orang ramai yang mengambil ilmu daripada umar. Kemudian beliau lantas naik ke mimbar sambil berkata :
Wahai sahabat ! sesungguhnya aku telah melarang kamu mengeluarkan mahar terhadap kaum wanita melebihi 400 dirham,. Jeusteru sesiapa yang mahu, dia boleh memberikan hartanya sekehendak yang dia mahu”

Dinyatakan juga pada bab yang ke 4 berkenaan dengan isu-isu gender yang menimbulkan kontroversi antaranya hijab dan aurat, poligami, persaksian wanita, perwarisan, diyat, perceraian, hak bekerja dan hak sebagai pemimpin.
Kesimpulan daripada buku ini adalah adalah tidak melebihkan kaum lelaki dari perempuan melainkan dari sudut tanggungjawab, fizikal, emosi yang dibebani oleh lelaki.