JANGAN POLITIKKAN ISU INSENTIF ANAK NEGERI  

Posted by Zulzaidi

Menyelusuri berkenaan dengan isu insentif RM1,000 yang diberikan kepada setiap anak negeri Selangor semasa memulakan pengajian di peringkat diploma dan ijazah. Perkara sebegini sewajarnya tidaklah perlu dipandang remeh kerana ia membabitkan kewangan negeri dan hak anak negeri.
Diperingkat mahasiswa melihat insentif RM1,000 untuk diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada setiap anak negeri haruslah dipuji. Tetapi isu yang timbul didada akhbar dan paparan media elektronik sehingga ada yang membuat laporan polis berkenaan dengan insentif RM1,000 itu hanya dihadkan kepada keluarga yang berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan haruslah dikaji dengan teliti.
Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya memandang berat isu ini kerana insentif itu adalah hak bakal pelajar IPT, jadi pihak yang terbabit samada Kerajaan Negeri Selangor yang baru dan bekas kerajaan negeri yang lama janganlah mempolitikkan isu ini. Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya merasakan isu yang dibangkitkan ini sewajarnya diselesaikan dengan segera tanpa ada permasalahan baru yang timbul. Kami diperingkat mahasiswa terkilan kerana ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab menjaja isu ini dengan mengatakan kerajaan negeri yang baru mencedok idea kerajaan negeri yang lama. Perkara sebegini seharusnya tidak timbul dan haruslah dielakkan, ini kerana hak dan keperluan mahasiswa haruslah dijaga dan dihormati dan ini bukan soal mencedok idea. Perkara yang perlu diutarakan adalah memperkasakan idea dan rancangan serta gerakkerja yang telah dibuat dan akan dibuat.
Diharapkan kerajaan negeri selangor yang baru dibawah pimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan isu tersebut dengan cara berhemah kepada rakyat. Ini kerana bukan setiap perancangan itu menjadi, tetapi usaha terhadap perancangan itu yang perlu dilaksanakan. Soal hasil itu soal kedua tetapi ia mestilah diteliti dan dikaji sedalam-dalamnya. Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya mengharapkan agar isu ini diselesaikan dengan sebaik dan secepat mungkin dengan cara yang sepatutunya agar rakyat faham berkenaan permasalahan ini. Pertelingkahan dan tuding-menuding siapa yang salah tidak harus timbul, soal yang pentingnnya adalah hak anak negeri yang akan memasuki IPT di jaga dan dihormati kerana kelak mereka yang akan mentadbir negeri Selangor. Diharapkan juga kerajaan negeri Selangor yang baru sedia terima teguran dan kritikan yang membina dari kalangan mahasiswa, ini kerana ia menjadi satu dorongan, galakan dan motivasi kepada kerajaan negeri yang baru untuk merealisasikan manifesto yang dibuat.
ZULZAIDI BIN MAHMOD
EXCO AKADEMIK DAN INTELEKTUAL,
PERSATUAN MAHASISWA AKADEMI PENGAJIAN ISLAM,
UNIVERSITI MALAYA,

21/5/08

This entry was posted on 9:00 PM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments