Posted by Zulzaidi

cerpen
AGAR MEREKA HIJRAH KEPADA ISLAM

Malam itu langit menampakkan tubuhnya yang dipenuhi gugusan bintang. Rembulan juga mula memberikan sedikit cahayanya kepada dada langit agar keindahan alam ciptaan Allah menampakkan serinya. “Ustaz Wahab! Malam ini juga ke kita akan masuk Kuala Mu”? Tanya aku sambil menggaru kepala tanda meminta kepastian. Ustaz wahab berbaju kotak biru merah memegang hulu tongkatnya yang telah diberikan oleh YB Shahidan Kassim di Perlis dulu hanya menjawab ringkas ” Nabi hijrah dari Mekah ke Madinah pun waktu malam, inikan kita yang mahu hijrahkan orang Kuala Mu”.

Kali pertama aku pergi ke Kuala Mu, baru aku sedar betapa berharganya sebuah dakwah. Rasulullah dalam medan menyebarkan kalimah tauhid menempuh dan mengharungi banyak rintangan dan halangan. ” Zaidi! Anta bawa yala” arah Ustaz Wahab kepada aku. Tersentak aku dari lamunan mengingatkan betapa indahnya perjalanan Kuala Mu sewaktu aku pergi sebelum ini. ”baiklah ustaz” jawab aku sambil melangkah ke bangku pemandu land rover yala.

Aku melihat di tangan jam tapat menunjukkan pukul 3.45 pagi. Pagi itu aku memandu paling hadapan dibarisan deretan kenderaan yang masuk ke Kuala Mu pada kali ini. Aku melihat teman- teman lain dari kalangan muslimat dan muslimin mula mendodoikan mata mereka sehingga kelopak mata atas dan bawah bertemu. Aku terpaksa mencengkang mata, jika aku leka maka nahas mudah menimpa. Aku hanya melihat arah hadapan sewaktu memandu, kadang-kadang aku terpaksa mengelak lubang-lubang lumpur agar penumpang di dalam land rover bisa dan terus dibuai mimpi-mimpi indah. Perjalanan walaupun berliku-liku, aku tetap gagahinya kerana kalimat shahadah perlu disampaikan kepada Orang Asli. Islam tidak hanya meletakkan kalimat tauhid sebagai teras pembinaan Aqidah Islam, tetapi ketauhidan itu perlu diterjemahkan dalam perilaku.

Sambil aku memadu menikmati udara segar, sedang tingkap aku buka agar angin dapat menampar pipiku yang kasar dan berjeragat ini, aku memikirkan satu kisah bagaimana Nabi berdakwah. Angin malam mula menusuk ke dalam dadaku menyusur melalui lenganku yang sengaja aku keluarkan melalui tingkap. Fikiranku hanya mengingatkan kisah dakwah itu. Seorang yahudi buta yang Allah buka pintu tauhidnya selepas wafatnya Nabi. Setiap hari Nabi pasti ke rumah itu, mananak makanan dan menyuapkan ke dalam mulut seoarang Yahudi buta. Yahudi tu hanya tahu menempelek Nabi dengan kalimat-kalimat yang mengigit iman seorang Muslim. Penghinaan, cacaian dan makian yang dilemparkan kepada Nabi hanya menambahkan kecekalan Nabi untuk terus berdakwah kepada yahudi itu dengan hanya menggunakan suapan. Yahudi itu tidak tahu bahawa yang dicaci, dimaki, diherdik adalah lelaki yang menyuapkan setiap butir makanan dalam mulut yahudi itu. Tetapi selepas wafatnya Nabi kerinduan menikmati suapan seorang lelaki yang bergelar Rasul itu tidak kesampaian. Khalifah Islam pertama Abu Bakar mula melakukan apa yang pernah dilakukan nabi kepada yahudi itu, dan ternyata tidak sama dengan kelembutan dan keizzahan yang ditonjolkan oleh Muhammad s.a.w. Menyedari bahawa lelaki yang pernah menyuapkan makanan ke mulutnya, yang dimaki, dicaci itu Muhammad barulah yahudi itu percaya bahawa Islam itu sangat indah.

”Zaidi! Kita dah sampai mana?” tanya Ustaz Wahab yang berada disebelahku sambil menenyeh mata. ”kita dah nak dekat R&R ni, kita solat subuh disitu je la ustaz” jawabku dengan menambah sedikit cadangan. ”baik” jawab ustaz ringkas. Aku terus memandu menyusur kediaman Orang Asli yang mula menampakkkan kemodenan dan pembangunan, tatapi aku terus terfikir adakah dengan pembangunan ini, keAslian mereka akan pudar dan hilang. Aku menekan brek kaki tanda perjalanan di pertengahan jalan sudah sampai. Muslimin dan muslimat yang berada dalam yala mula ternganga dan tercengang kerana mereka masih lali dan melamun dari tidur mereka.
Pagi itu sangat hening, hanya suara unggas-unggas menyanyikan lagu-lagu mengikut rentak dan irama alam yang berbunyi. Aku tidak dapat melihat keliling kerana terlalu gelap, cuma nampak cebis-cebis cahaya lampu yang keluar dari lampu suluh dahi Ustaz Wahab. Aku, faisal dan Epal mula bergerak perlahan-lahan menuju ke anak sungai untuk mengambil wuduk. Selesai berwuduk kami solat berjemaah bersama-bersama diimamkan oleh Jundu temanku dari Maahad Tahfiz Alor Setar. Selesai solat kami dihidangkan dengan sedikit tazkirah oleh Abang Shah. Aku tahu bahawa teman-teman yang baru masuk ke Kuala Mu masih tidak mengerti apa tujuan sebenar perjalanan ini. Abang Shah hanya memberikan sedikit kata kunci perjalanan ini. ”kita Cuma mahu bagi makan kepada anak orang Asli” kata Abang Shah kepada semua teman-teman.
Perjalanan tetap diteruskan ke Kuala Mu, mentari mula menyinarkan kilauan cahayanya, langit hitam melabuhkan warnanya kerana malu melihat mentari memancar pekat ke dada langit. Hari semakin cerah dan perjalan masih suku lagi untuk sampai. ”ustaz! Bukit Petai ni boleh naik ke? Macam licin je?” Tanya aku kepada Ustaz Wahab untuk mendapatkan kepastian. Ustaz Wahab dengan tersenyum menampakkan barisan giginya yang penuh berkata ”anta jangan takut la, insyaAllah boleh naik”. Aku terus menolak gear dua kepada gear satu agar pendakian Bukit Petai ini mudah. ”Allah, Allah, Allah” terpancul aku kalimat ini untuk meraih sedikit kekuatan untuk meneruskan pendakian. Alhamdulillah setelah menempuh rintangan denai rimba tiba juga kami ke Kuala Mu.
”Abang Zaidi! Ini ke rumah mereka?”tanya Epal kepada aku. ”semestinya” jawab aku sambil tersenyum manis kepada epal yang berpewatakan sedikit lembut. Rumah Orang Asli Kuala Mu masih seperti dulu beratapkan rumbia, berdinding dan berlantaikan buluh. Anak-anak kecil berkejar-kejar sesama mereka tanpa memakai selipar dan tercalit sedikit lumpur-lumpur tanda mereka anak Kuala Mu. Kami berkemas-kemas mengangkat beg-beg untuk diletakkan di dalam pondok rehat. Pondok itu boleh dikatakan sebagai hotel setaraf Seri Malaysia di Sungai petani kerana itulah pondok yang terbesar dalam kampung Kuala Mu.
Kami membuat sedikit mesyuarat untuk memudahkan agenda kami pada kali ini. ”petang nanti kita akan bertolak ke Beswok, itu cadangan saya” kata Ustaz Wahab tersengih-sengih meminta sokongan. ”ramai ke yang setuju?” tanya Salman anak Cikgu Mi kepada semua peserta. Melihat kanan dan kiri ramai yang mengangguk tanda cadangan Ustaz Wahab itu diterima. ”jadi sekarang kita akan buat sedikit makan besar” ujar Salman kepada teman-teman. Makan besar dalam bahasa Asli disebut ”cak Raya”. Sebenarnya dakwah ini cukup mudah, kita hanya perlu memberi makan kepada orang Asli yang belum Islam ini.
Taman-teman muslimat mula berkawan dengan anak-anak Orang Asli. Kelihatan anak Orang Asli cukup gembira dengan kedatangan kami. Aku berlari-lari anak menuju kepada mereka sambil memegang gula-gula untuk diberikan kepada mereka. Aku berkata kepada anak orang Asli jika mereka mahukan gula-gula perlu ikut apa yang aku cakap. ”Ashhadu” aku mengarahkan mereka menyebut kalimat itu sambil mengangkat jari telunjuk menunjukkkan ke langit sebagai simbol shahadah. Jawab mereka malu-malu alah. ”an la ilaha illallah” mereka terus mengikut apa yang aku cakap sambil menolak kawan-kawan mereka. ”wa ashhadu” kalimat ini terus mereka ikut kerana mahukan gula-gula. ”Anna muhammmadarrasulullah” gembira benar hati aku apabila mendengar tutur shahadah dari bibir mereka. Aku memberikan mereka seorang satu gula-gula.
Aku amat sedih melihatkan pakaian mereka yang lusuh, tidak berbasuh dan pakaian yang terlekat di dada mereka nampak begitu kotor keadaannya. Dari sudut kebersihan mereka memang tidak mementingkannya, tetapi mereka terlalu sihat. Aku, Faisal menjeling antara kami. ”Zaidi! Depa memang tak sakit ke? Awat depa nampak sihat je?” Tanya faisal sambil menuding jarinya kepada sekumpulan wanita Orang Asli yang berdiri di depan sebuah rumah sambil mendukung anak mereka dengan pelbagai cara. ”aku pun tak tau, tapi sememangnya mereka lebih sihat dari kita, sebab mereka berkawan dengan alam, kesihatan mereka usah ditanyalah, orang-orang tua yang berumur 60 tahun pun kuat lagi” jawab aku.
Makanan yang dimasak oleh Abang Shah sudah siap disaat aku dan teman-teman lain asyik bermain dengan anak-anak Orang Asli. Permainan kami hanya memberi mereka kertas dan pensil untuk mereka melukis. Terkejut aku melihat cara mereka melukis sehinggakan ada seorang diantara mereka melukis gambar land rover dengan cantik. ”Zaidi bagi tau budak-budak tu bawa pinggan, makanan dah siap” laung Abang Shah sambil memegang senduk nasi. ”adik-adik, balik rumah ambil ayan” arah aku kepada anak-anak Orang Asli. Mereka terus bertempiaran mengambil pingan dan segera beratur mengambil makanan. Alhamdulillah makan cukup diberikan kepada orang kampung. Aku melihat mereka cukup gembira dengan kedatangan kami, kerana kami memberikan mereka makan nasi. Kalau kita nasi yang tidak habis dan sisanya dibuang ke tong sampah adalah perkara biasa. Tetapi mereka menganggap nasi adalah makanan paling istimewa kerana mereka sukar untuk memperolehinya kerana terlalu mahal. ”Shah! Lori garam tertumpah ke? Perli Abang Nuar sambil memegang sebutir besar garam yang belum larut dalam gulai telur yang dimasak. Kami yang berada disitu ketawa mendengar kata-kata Abang Nuar kepada Abang Shah. Selepas selesai mereka makan dan semua periuk dan perkakas disimpan dalam land rover maka kami mula mengemas pondok yang kami tinggal.
”Salman! Mari kita bertolak ke Beswok, takut nanti hujan” arah Ustaz Wahab yang memagang tongkat diberanda pondok. ”sahabat-sahabat! Lagi lima minit kita akan bertolak, jadi pastikan tiada apa-apa barang yang tertinggal” laung Salman kepada kami. Kami mula mengambil tempat dalam land rover masing-masing, anak-anak Orang Asli mula melihat sesama mereka. ”Abang datang bila lagi” tanya Angah seorang budak perempuan Asli kepada Amer. Amer menjawab sambil memegang bahu budak perempuan itu dengan nada yang membuatkan aku sebak ”abang balik dulu, bulan depan abang datang balik jumpa dengan adik, nanti abang bagi tudung pada adik”. Aku yang memandu land rover yala mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan kawasan pondok. Kanak-kanak Orang Asli berkejaran antara mereka membontoti land rover kami menampakkan riak wajah mereka yang tidak mahu kami pergi. ”nanti abang datang lagi” laung Amer kepada mereka sambil melambai tangan. Kami pasti akan datang lagi kerana dakwah kami kepada mereka mesti berterusan. Kami Cuma mengharapkan mereka berhijrah kepada Islam, jika kali ini tiada yang hijrah kepada Islam, esok mereka akan berhijrah kepada Islam, jika tidak esok, lusa mereka berhijrah kepada Islam, jika tidak lusa hari berikutnya mereka berhijrah kepada Islam, dan jika seterusnya mereka tidak berhijrah kepada Islam, mendatang mereka akan berhijrah kepada Islam walaupun kami sudah menutup mata dan kami tetap mengharapkan mereka berhijrah kepada Islam.

8pagi 29/06/08

 

Posted by Zulzaidi


“Ayah! adik mahu rasa makanan yang dalam televisyen itu” tanya seorang kanak-kanak berumur 8 tahun kepada ayahnya sambil jari telunjuk menuding ke arah televisyen yang memaparkan iklan makanan ringan produk terbaru.

Rata-rata masyarakat pastinya sudah biasa terdengar dialog-dialog sebegini yang dilontarkan oleh kanak-kanak. Kajian Persatuan Pulau Pinang (CAP) mendapati 62% kanak-kanak telah meminta ibu bapa mereka membeli makanan ringan dan makanan segera yang dipaparkan di kaca televisyen. Ternyatalah betapa kuat dan hebatnya pengaruh iklan terhadap kanak-kanak.

Dalam era global ini, masyarakat kita kerapkali dimomokkan oleh industri pengiklanan agar kita selaku pengguna membuat keputusan membeli produk dan perkhidmatan mereka. Kita tidak dapat nafikan bahawa pengaruh pengiklanan dan pemasaran sangah besar dalam kehidupan seharian kita. Media bercetak dan media elektronik berperanan sebagai medan mempromosikan pelbagai produk, lebih-lebih lagi produk makanan ringan dan makanan segera kepada kanak-kanak. Media elektronik dan bercetak pada masa kini hanya meletakkan orientasi keuntungan sebagai prioriti daripada orientasi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat. Justeru syarikat-syarikat gergasi makanan ringan mula mengorak langkah agar pihak media ini digunakan semaksima mungkin untuk memasarkan produk makanan ringan mereka kepada masyarakat terutama kanak-kanak.

Tidak hairanlah jika McDonald's membelanjakan AS$ 1.8 billion setahun untuk promosi dan iklan di Amerika. Ternyata di Malaysia juga tidak jauh bezanya apabila syarikat gergasi McDonald's meluaskan pemasaran ke serata negeri dengan membuka cawangan dan juga melalui televisyen, billboard dan pamplet untuk mempengaruhi kuasa beli masyarakat. Selain McDonald's makanan ringan seperti syarikat Apollo, Nestle Koko Krunch dan pelbagai produk lain sanggup melaburkan wang mereka semata-mata meraih pasaran secara total.

Pengaruh iklan kepada kanak-kanak merupakan pengaruh terbesar dalam pemasaran makanan ringan dan makanan segera. Ini kerana kanak-kanak walaupun tidak mempunyai kuasa beli tetapi mereka mempunyai kuasa yang lebih besar lagi iaitu kuasa “desakan”. Lantaran kuasa desakan yang ada pada tangan kanak-kanak ini, ibu bapa akan membelikan apa sahaja agar anak mereka suka dan seronok dengan alasan mencurahkan kasih sayang. Ternyata kesinambungan kuasa desakan yang berada di tangan kanak-kanak telah mempengaruhi pemakan dan diet mereka ke arah yang tidak betul. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam kajiannya melaporkan bahawa 80% iklan yang disiarkan sewaktu rancangan kanak-kanak adalah makanan bergula dan berlemak. Kita sering membeli gula-gula, lolipop, coklat, aiskrim, snek dan minuman bergas kepada kanak-kanak sebagai tanda kasih sayang dan hadiah. Pembelian ini paling ketara sewaktu menyambut hari lahir kanak-kanak, jika sesuatu sambutan tidak diserikan dengan makanan ringan (junk food) seolah-olah sambutan itu tidak meriah dan tidak sempurna. Ini tidak dapat dinafikan lagi kerana pengaruh pengiklanan yang mempengaruhi psikologi kanak-kanak telah membawa kanak-kanak ke arah satu dimensi yang tidak sihat dari sudut diet dan pemakanan secara seimbang.

Iklan-iklan yang agresif daripada syarikat-syarikat industri makanan ringan dan segera ini mula meraih pelanggan dengan menonjolkan aktiviti yang seronok sambil menjamu makanan. Ternyata strategi pemasaran sebegini mudah untuk mendapatkan keuntungan. Pelbagai lagi strategi lain yang ternyata mempengaruhi pemakanan kanak-kanak pada masa kini, antaranya adalah iklan-iklan di media yang memaparkan restoran makanan segera sebagai tempat yang begitu menarik dan selesa. Bukan sekadar itu sahaja, disamping pelanggan menjamu selera, mereka juga boleh bersantai dengan anak-anak di satu sudut untuk bermain papan gelonsor, belon dan sebagainya.

Pengeluaran produk-produk terbaru juga merupakan satu strategi yang paling berkesan mempengaruhi kanak-kanak dalam soal makan. Produk-produk ini dipaparkan sebagai makanan yang paling enak sehingga terliur kanak-kanak melihatnya. Ternyata strategi pengeluaran produk terbaru lebih menjamin keuntungan kepada syarikat-syarikat ini apabila mengetahui kanak-kanak mempunyai kuasa pendesak. Untuk menambat hati kanak-kanak juga, hadiah (free gift) diberikan kepada meraka asal sahaja mereka sudi mendesak ibu bapa membeli makanan yang dipasarkan. Hadiah-hadiah yang diberikan juga merupakan hadiah yang istimewa seperti anak patung, kereta mini, radio mini dan sebagainya.

Kata-kata perangsang yang menarik, menewaskan lagi psikologi kanak-kanak seperti “ i am lovin it, minum milo anda jadi sihat dan kuat, sedap sehingga menjilat jari dan sebagainya”. Perkataan-perkataan sebeginilah yang merangsang minda kanak-kanak supaya lebih dekat dengan produk yang dijual. Propaganda yang berulang dalam strategi pengiklanan membuahkan hasil apabila dalam minda kanak-kanak sering dimomok dan diasah agar gemar kepada makanan yang tidak seimbang ini. Jika kita katakan kanak-kanak menonton televisyen purata 14jam seminggu, mereka mungkin terdedah kepada kira-kira 17,472 mesej kormesial setahun (1 jam=24 iklan, 24 iklan x 14 jam seminggu=336, 336 iklan seminggu x 52 minggu = 17,472 iklan. Tidak dapat disangkal lagi bahawa dengan jumlah 336 kali seminggu ini mampu menyemai satu persepsi kepada kanak-kanak untuk memiliki dan menikmati makanan ringan dan segera ini.

Kanak-kanak semestinya tidak mengetahui kebaikan dan keburukan sesuatu makanan yang mereka makan terutama makanan ringan dan makanan segera. Mereka hanya tahu bahawa makanan yang diiklankan adalah sedap dan amat mengasyikan. Di Britain diet moden “berpotensi sebagai bom jangka kesihatan”. Ini kerana kanak-kanak memakan lebih banyak makan diproses yang sedia untuk dihidang dan makanan yang dibawa pulang, yang kebanyakannya mengandungi garam, lemak tepu dan gula berlebihan. Sogokan-sogakan Mudah, Enak, Cepat dan Ringkas mula bermain diminda ibu bapa juga, apabila melihat iklan di televisyen sehingga sanggup membeli kanak-kanak makanan yang tidak berkhasiat untuk diet dan pemakanan mereka.

Jelaslah pada kita selaku pengguna di Malaysia bahawa pengaruh iklan dan pemasaran sememangnya mampu untuk mempengaruhi pemakanan dan diet kanak-kanak. Kekhuatiran kita mula akan timbul apabila kesan iklan-iklan ini mampu menyebabkan kesakitan yang sukar untuk diubati dan juga mampu menyebabkan kanak-kanak menjadi penjenayah.

Terdapat begitu banyak kesan yang ditemui dalam produk makanan ringan dan makanan segera pada masa kini. Lantaran daripada itu, keraguan makanan-makanan ini terhadap kesihatan dan sosial kanak-kanak perlu dititik beratkan agar ianya tidak berlanjutan. Kesan yang sukar diterima ibu bapa adalah kesan kemungkinan kanak-kanak menjadi penjenayah yang agresif. Rencana Newsweek yang mengetengahkan gelombang jenayah di Jepun berjudul, “Devil Food Made Me Do It”, melaporkan tentang kaitan antara makanan remeh yang terlalu banyak gula dengan keganasan. Menurut Hiroshi Osawa, profesor bersara di Iwate University, terdapat hubungan di antara diet dan keganasan. Diet yang kaya dengan gula tetapi rendah vitamin dan galian boleh menyebabkan ketidakseimbangan bahan kimia yang berbahaya. Makanan manis yang dimakan boleh menaikkan paras gula darah kanak-kanak, dengan memberi isyarat kepada tubuh untuk membebaskan insulin bagi mendapatkan semula keseimbangan. Tetapi seringkali kadar itu naik terlalu tinggi menyebabkan paras gula darah jauh mendadak hingga menyebabkan kanak-kanak itu letih dan mudah meradang. Satu kajian oleh Pediatrics pada tahun 2003 yang mengikuti perkembangan 1,000 kanak perempuan dan lelaki sepanjang tempoh 8 tahun, yang mana berat kanak-kanak ditimbang setiap tahun, didapati bahawa kanak-kanak gemuk lebih cenderung mengalami gejala-gejala enggan mematuhi arahan. Amat jelas kepada kita selaku pengguna bahawa ancaman makanan ringan ini mampu menembus satu dimensi kanak-kanak bersifat agresif. Paling menakutkan ancaman makanan ringan dan segera ini mampu melahirkan generasi penjenayah.

Selain daripada tindakan agresif yang akan dilakukan oleh kanak-kanak, kesan sosial lain adalah perubahan gaya hidup kanak-kanak yang akan hilang nilai-nilai ketimuran menuju kebaratan. Imperialisme barat ini bukan hanya menjajah tanah air tetapi menjajah pemakanan kanak-kanak di Malaysia pada masa kini. Penjajahan terhadap kanak-kanak dapat kita lihat dari sudut pemakanan yang telah mula menunjukkan ke arah makanan barat seperti KFC, McDonald’s, Pizza, Burger King dan banyak lagi. Makanan seperti buahan-buahan sudah diabaikan dan kanak-kanak lebih mementingkan makanan ringan seperti snek dan makan segera seperti Pizza, Mc Donald's dan sebagainya. Dalam satu kajian dinyatakan hanya 2 daripada 549 iklan makanan adalah makanan buahan dan sayuran. Penjajahan ini telah menyebabkan kanak-kanak kita akan memikirkan bahawa makan barat adalah lebih bagus dan berkhasiat sedangkan makanan sebeginilah yang mempunyai masalah kesihatan. Sikap hidonistik juga ditonjolkan oleh kanak-kanak sehingga wang dan pembaziran adalah perkara biasa untuk mencapai kepuasan memakan makanan ringan ini tercapai.

Pengiklanan dan pemasaran produk-produk yang tinggi kuantiti gulanya dalam makanan acapkali dikaitkan dengan makanan kanak-kanak. Terdapat banyak produk kanak-kanak yang mengandungi gula secara berlebihan yang pastinya boleh meragut jiwa. Gula telah dikaitkan dengan pelbagai jenis penyakit seperti kanser, osteoporasis, sakit sendi, penuaan, kegemukan, batu karang dan kencing manis. Kelaziman di Malaysia penyakit-penyakit sebegini sudah dianggap biasa. Statistik menunjukkan 3.3 juta atau 6.6% rakyat Malaysia bertubuh gemuk dan gula menjadi salah satu penyebab utamanya. Di Thailand, kadar kegemukan di kalangan kanak-kanak yang berusia 5-12 tahun telah meningkat daripada 12.2% kepada 15.6% dalam tempoh cuma 2 tahun dan di seluruh dunia fenomena yang sama juga berlaku menurut satu laporan.

Minuman-minuman ringan juga merupakan produk yang paling digemari dikalangan kanak-kanak. Dianggarkan jika kanak-kanak meminum setin minuman bergula akan meningkatkan 60% risiko menjadi gemuk. Kajian kajian yang dilakukan oleh The Lancet (jurnal perubatan British) menyatakan kanak-kanak 12 tahun yang sering meminum minuman ringan cenderung berlebihan berat badan. Pengiklanan dan pemasaran minuman ringan ini telah memasuki sekolah dan IPT dalam bentuk mesin minuman. Di media juga memaparkan imej-imej keseronokan dan keenakan apabila meminum minuman ringan ini. Kanak-kanak terutamanya telah dipengaruhi dalam bentuk pemasaran ini agar keuntungan syarikat minuman ini dapat diraih.

Persatuan Pengguna Pulau Pinangb (CAP) melaporkan SNEK yang menjadi makanan kegemaran kanak-kanak, mengandungi dua kali ganda garam melebihi kadar yang selamat untuk orang dewasa. Kanak-kanak menanggung risiko kesihatan yang lebih besar kerana tubuh mereka lebih sukar menyingkirkan natrium berbanding orang dewasa. Garam yang dimakan oleh kanak-kanak juga mampu mempercepatkan kematian. Makanan segera mengandungi banyak natrium. Misalnya tiga ketul ayam berempah KFC mengandungi 2,590 mg natrium, melebihi paras harian 2,400 mg yang dibenarkan. Kanak-kanak paling gemar memakan makan segera ini kerana memandang rasanya yang cukup sedap tetapi tidak berkhasiat. Syarikat makanan mendorong pengambilan garam dalam kuantiti yang besar. Pengguna mula belajar menyukai garam kerana banyak makanan bayi bergaram. Berbanding susu ibu, susu tepung mengandungi 600 kali ganda garam. Ibu-ibu di Malaysia juga sudah mula beralih kepada penggunaan susu tepung daripada susu badan. Bukan sekadar kanak-kanak sahaja terpengaruh dengan iklan makanan ini tetapi ibu bapa juga menjadi mangsa industri ini. Jika ibu bapa mempunyai tahap kesedaran yang tinggi pastinya susu badan dijadikan makanan asasi kepada bayi.

Terdapat tiga alasan utama kenapa pengeluar mencampurkan banyak garam ke dalam makanan iaitu untuk menambah kelazatan, menjimatkan kos dan mengaut lebih keuntungan.

Pada Mei 2002, McDonald's dalam rencana iklan dalam majalah Femme Actue/l di Perancis, mengingatkan pengguna tidak makan di restoran makanan segera mereka lebih daripada seminggu sekali. Peringatan daripada pihak industri ini juga mengetahui bahawa makanan yang dijual mempunyai kesan-kesan sampingan. Menurut Worldwatch Institute, kanak-kanak di AS dihujani dengan 40,000 iklan televisyen setahun dan separuh daripadanya mempromosi makanan dan minuman yang tidak menyihatkan. Bagi meraih kuasa beli pengguna restoran makanan segera McDonald's dan Burger King bersama-sama membelanjakan lebih daripada US$1 bilion bersamaan RM 3.8 bilion ke atas periklanan pada tahun 1999.

Masyarakat perlu sedar bahawa kuasa beli ditangan mereka. Lantaran daripada itu peranan ibu bapa adalah paling penting untuk memastikan pengaruh iklan dan pemasaran makanan yang tidak berkhasiat dapat dibendung. Langkah-langkah yang efisyen juga perlu diutarakan agar pengaruh iklan terhadap diet kanak-kanak dapat ditangani.

Selain peranan ibu bapa, jualan makanan ringan, minuman ringan dan makan segera di semua institusi pendidikan terutamanya melalui mesin minuman patut diharamkan.

Risalah-risalah kesedaran juga perlu dititik beratkan dan diedar kepada masyarakat terutama kanak-kanak yang mempunyai kuasa pendesak. Peranan menyebarkan risalah ini bukan hanya dimainkan oleh persatuan pengguna seperti CAP dan FOMCA tetapi adalah jaringan masyarakat seperti surau atau institusi pendidikan seperti persatuan pengguna yang berada dalam IPT dan sekolah.

Pelaksanaan polisi kesihatan juga mampu menangani masalah makanan tidak sihat dikalangan kanak-kanak seperti perlabelan fakta makanan yang jelas iaitu kandungan gula dan garam. Perlabelan tanda amaran juga penting seperti “amaran kerajaan gula berlebihan membahayakan kesihatan” atau gambar yang menonjolkan penyakit kronik akibat gula atau garam berlebihan. Ini kerana kanak-kanak akan meletakkan bahawa diet yang tidak sihat ini perlu dijauhi.

Peranan pihak kerajaan adalah cukup penting yang mana kementerian kesihatan harus mengusulkan larangan atau menghadkan iklan makanan tidak sihat untuk kanak-kanak kepada kementerian penerangan. Langkah bijak ini perlu dilaksankan segera agar dapat membantu masyarakat terutama kanak-kanak mengamalkan gaya hidup sihat. Pihak media jangan hanya meletakkan keuntungan sebagai prioriti, tetapi kesedaran dan pengetahuan yang perlu dijana kepada pengguna dalam soal diet dan pemakanan.

Slogan “Pengguna Bijak Faedahnya Banyak” seharusnya ditanam dalam diri kanak-kanak agar segala tingkah laku mereka menjurus ke arah pemakanan, diet, perbelanjaan yang sihat. Kanak-kanak adalah ibarat kain putih yang bersih dan kita selaku ibu bapa harusnya mencorakkan gaya hidup mereka ke arah pengguna bijak.

Zulzaidi

Jumaat

12/7/2008

 

Posted by Zulzaidi

Tersentak dada kita melihat dunia digemparkan dengan krisis kekurangan bekalan makanan asas yang meruncing. Kita dapat lihat negara-negara jiran seperti Indonesia dan Filipina mula memberontak membuat rusuhan dan demontrasi bagi menyatakan ketidakpuasan hati berikutan kenaikan harga makanan asas yang mendadak dan melampau.

Isu kekurangan makanan ruji iaitu beras melibatkan kebanyakan negara di Asia seperti India, Filipina, Indonesia, Malaysia dan banyak lagi. Lantaran daripada kekurangan bekalan beras ini, telah menyebabkan harga makanan ruji ini naik secara mendadak. Secara tidak langsung kenaikan harga beras juga melibatkan negara-negara pengeluar terbesar dunia seperti Thailand dan Vietnam.

Kevin Cleaver, Timbalan Presiden Tabung Pembangunan Pertanian Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengakui dunia menghadapi krisis makanan dan perlu diberi perhatian sejagat. Laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Makanan Dunia (FAO) menyatakan 36 negara berisiko tinggi terjejas teruk dan menghadapi krisis makanan ini. Manakala Bank Dunia menerusi analisisnya mengenal pasti sekurang-kurangnya 33 buah negara di benua Asia Barat, Afrika dan Amerika Latin terdedah kepada krisis ini. Jumlah yang dinyatakan bukanlah satu jumlah yang kecil tetapi jumlah ini melibatkan negara-negara besar termasuk Negara pengeluar makanan ruji.

Seharusnya kita sedar bahawa kenaikan harga beras ini memberi peringatan kepada kita selaku rakyat Malaysia agar lebih prihatin dan besederhana dalam menghadapi sesuatu permasalahan. Keprihatinan kita adalah sangat wajar memandangkan kenaikan harga beras di negara Malaysia tidak memberi impak yang begitu besar sehingga berlaku penghabisan stok beras secara total, pemberontakan dan kebuluran seperti di negara-negara luar. Kesederhanaan kita juga memberi satu keinsafan apabila melihat negara-negara di luar sana yang menghadapi krisis ini telah meragut 9.7 juta nyawa kanak-kanak di bawah 5 tahun kerana menghidap penyakit berkaitan kelaparan dan kekurangan zat makanan.

Walaupun Malaysia merupakan negara yang mempunyai kawasan penanaman padi yang luas seperti Negeri Selangor, Pulau Pinang termasuk negeri jelapang padi iaitu Kedah. Hakikatnya Kedah hanya mampu membekalkan beras pada kadar 40 peratus keperluan rakyat Malaysia. Timbul persoalan di dalam benak fikiran kita, adakah stok beras negara tidak mampu menampung bekalan beras negara sehinggakan Negara Malaysia perlu mengimport hampir 480,000 tan beras dari negara jiran Thailand.

Di sini perlu kita menyingkap 4 faktor besar yang menyumbang kepada kenaikan harga bekalan makanan asasi dan juga kekurangan bekalan asasi ini. Pertamanya kenaikan kos minyak dan tenaga, kedua persaingan yang makin meningkat di antara biofuel dan makanan, ketiga malapetaka berkaitan ketinggian suhu dan perubahan cuaca yang memusnahkan tanaman dan faktor keempat monopoli negara-negara besar dan juga negara pengeluar beras dunia yang menutup pintu eksportnya ke negara luar. Kita dapat lihat bahawa negara-negara besar memonopoli tanaman global berdasarkan skala yang besar mengikut negara-negara tertentu seperti tanaman padi oleh Vietnam dan Thailand, Jagung oleh Amerika.

Kenaikan harga minyak turut menyumbang kepada krisis ini rentetan kenaikan kos input pertanian seperti baja, racun, kos mesin, kos tuaian, dan penyimpanan Kita tidak nafikan kerana kita sekali lagi digemparkan dengan kenaikan harga minyak dunia yang juga membabitkan kenaikan harga minyak petrol dan diesel negara. Ada juga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan termasuk juga harga makanan asasi iaitu beras secara mendadak atas alasan menanggung beberapa kos lain yang tinggi.

Seterusnya perubahan cuaca dan iklim dunia mempengaruhi hasil pengeluaran padi pada masa kini. Kita selaku rakyat Malaysia yang berada di kawasan khatulistiwa iaitu kawasan panas dan lembap sepanjang tahun dapat melihat perubahan cuaca pada masa kini yang tidak menentu. Jika dahulu pada bulan Jun setiap tahun musim buah-buahan pasti menjelma seperti durian, manggis, langsat dan rambutan, dapat juga kita lihat dikebanyakan tempat sekitar Pahang, Perak dan Kedah bersusun gerai-gerai kecil menjual buah-buahan ini. Tetapi kini musim itu seakan-akan bercelaru kerana ada tempat yang musim buah-buahan lebih awal dan ada yang lambat dan ada juga yang langsung mati dengan musim buah-buahan. Tidak dapat tidak, perkara ini merupakan akibat perubahan iklim yang ketara lari fitrah alam apabila manusia mengejar kemodenan sehingga mengabaikan dan mencemarkan alam sekitar. Lantaran daripada iklim yang bercelaru ini, hasil padi yang sepatutnya meningkat kerana membabitkan teknologi tinggi dengan beberapa produktiviti kini sudah mengurangkan hasilnya, maka rentetan daripada itu bekalan makanan asasi mula berkurangan dan ia membabitkan peningkatan harga beras secara mendadak.

Kegilaan Industri Biofuel dunia untuk memenuhi nafsu buas pengguna menyebabkan banyak tanah pertanian yang menghasilkan makanan diubah kepada penghasilan Biofuel. Tanah-tanah pertanian baru juga diterokai untuk Industri Biofuel. Keperluan makanan dunia telah diketepikan demi memenuhi kehendak pasaran yang mahukan keuntungan segera dan pastinya keuntungan ini berorientasikan Industri Biofuel. Amat mengecewakan apabila banyak negara mula mencatat polisi yang pro Industri Biofuel dengan memberi akses tanah dan pelepasan cukai kepada korporat-korporat yang mengembangkan Industri Biofuel. Akibatnya berlakulah kekurangan tanah pertanian untuk makanan dan rentetan daripada itu berlakulah wabak krisis makanan dunia yang dasyat pada masa kini.

Tindakan memonopoli pasaran pertanian dan mengawal segala input pertanian seperti racun, baja dan biji benih yang telah dilakukan oleh syarikat-syarikat besar seperti Sygenta, Monsanto, DuPont, Aventis, B.A.S.F, Dow Chemical Co telah menyebabkan kenaikan harga makanan di pasaran dunia. Kenaikan harga ini juga ditambah oleh keengganan Vietnam iaitu negara pengeksport beras kedua dunia mengharamkan pengeksportan ke negara luar. Negara India juga mengambil langkah yang agak drastik dengan menghadkan aktiviti penjualan berasnya tidak melebihi $ 1000 per tan metrik bagi beras bukan Basmathi. Jelaslah di sini bahawa kegagalan setiap negara memahami soal kedaulatan makanan dan menjaga soal keselamatan makanan mereka akan mengundang mereka kelembah bahaya yang menakutkan. Sikap mementingkan diri yang telah dibuat oleh syarikat-syarikat besar dan juga beberapa negara tanpa memikirkan kesejagatan dunia telah mengundang permasalahan krisis ini secara lebih meruncing.

Melihat daripada faktor-faktor yang dirungkai dan dihurai di atas kekuatiran mula timbul dalam dada kita. Kerisauan mula membuak-buak kerana kesan terhadap kekurangan bekalan keperluan asasi ini dapat kita lihat dengan berlakunya kenaikan harga beras dipasaran. Selain itu berlaku juga pemberontakan, rusuhan dan demontrasi seperti yang berlaku di Indonesia, Haiti, Mesir, Ivory Coast, Ethiopia dan Filipina berikutan kenaikan harga makanan. Paling ketara apabila Bank Dunia menyatakan bahawa peningkat harga makanan yang meningkat dua kali ganda sejak tiga tahun lalu dijangkakan terus meningkatkan 3-5 peratus kadar kemiskinan global. Seharusnya kita sedar bahawa dengan meningkatnya kadar kemiskinan global ini maka banyak negara-negara yang terlibat akan menghadapi masalah makanan yang serius lantas menyebabkan masalah kebuluran dan masalah kekurang zat makanan. Rentetan daripada itu kekhuatiran kita makin bertambah apabila mengetahui bahawa setiap 5 saat seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat kelaparan. Semestinya perkara sebegini kita tidak mahu terjadi pada kanak-kanak di Negara Malaysia.

Setelah kita meneliti faktor dan kesan berikutan krisis harga bekalan makanan asasi ini, maka seharusnya cadangan penyelesaian menyelusuri agar krisis harga beras ini dapat distabilkan dan ditangani.Beberapa cadangan mula diutarakan oleh beberapa pihak bagi menangani krisis harga beras dipasaran. Cadangan-cadangan tersebut juga ada yang mendapat sokongan dan ada juga yang menadapat tentangan kerana dianggap tidak releven.

Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri, Dr. Tan Swee Lian memberi saranan dan cadangan supaya rakyat menukar pengambilan makanan kepada ubi kayu dan keledek bagi mengurangkan import beras dan gandum. Secara tidak langsung pendekatan itu adalah untuk mengelakkan masalah kenaikan harga beras di pasaran dunia. Alternatif ini perlu dipandang serius kerana ubi kayu dan keledek mempunyai unsur zat galian kalium, kalsium dan ferum yang melebihi beras.

Seterusnya melihat kepada Negeri Johor dan Kelantan di beberapa kawasan, wujud sawah-sawah yang terbiar dan tidak diusahakan. Memandangkan produktiviti padi kita sekarang tidak mampu menampung stok beras negara maka kawasan-kawasan sawah yang terbiar, juga kawasan-kawasan yang mempunyai potensi penanaman padi yang terbiar perlulah diusaha dan dibaikpulihkan agar penanaman padi dapat dijalankan. Secara tidak langsung dengan bertambahnya kawasan penanaman padi secara besar-besaran dan terancang dapat menangani kenaikan harga beras di pasaran. Ini kerana jika beras negara mencukupi untuk keperluan rakyat maka kerajaan tidak harus lagi mengimport dari negara luar bahkan kita yang mengeksport beras kita ke negara luar. Menurut Dr. Mustafa Dakian, pengeluaran beras negara kini hanya mampu menampung sekitar 75 peratus keperluan rakyat, dan negara hanya memerlukan 25 peratus lagi bagi memenuhi keperluan rakyat seluruhnya. Peningkatan produktiviti ini seharusnya dibuat secara teliti memandangkan tanah-tanah yang terbiar begitu banyak yang tidak diusahakan. Pembaikpulihan sawah-sawah terbiar ini tidak menelan kos yang begitu banyak kerana segala frasarana sudah tersedia sebelum ini seperti perparitan dan hanya perlu diselenggarakan dengan lebih sempurna. Kemungkinan besar dengan meningkatnya produktiviti padi ini, negara juga dapat mengeksport beras ke negara luar untuk mendapatkan keuntungan dan secra tidk langsung harga beras dapat dikawal. Mengikut teori ekonomi apabila berlaku keseimbangan pasaran, harga barang dan kuantiti barang dapat ditentukan. Penentuan harga dan kuantiti barang sebenarnya ialah tingkat seimbang dan kuantiti seimbang. Selain itu apabila penawaran melebihi permintaan secara tidak langsung harga cendurung turun. Kenaikan harga beras dapat dilihat berpunca daripada teori ekonomi iaitu permintaan melebihi penawaran, sentakan ini menunjukkan bahawa apabila beras kurang di pasaran maka pengguna berebut-rebut untuk membelinya maka pihak penawar akan meningkatkan harga agar keuntungan diperolehi secara berganda. Begitu juga halnya jika stok beras bertambah melebihi keperluan rakyat Malaysia maka rakyat tidak perlu gusar dan bimbang lagi. Semestinya harga beras dapat dikurangkan memandangkan penawaran melebihi permintaan. Jelaslah di sini bahawa dengan membaikpulih tanah terbiar untuk penanaman padi maka hasilnya stok beras negara dapat menampung keperluan rakyat. Jika stok beras ini melebihi keperluan maka kita dapat memasarkan besar ke negara luar untuk menambahkan lagi pendapatan negara. Peranan pembaikpulihan tanah-tanah terbiar ini perlulah digalas bersama antara kerajaan dan rakyat agar peningkatan produktiviti ini berjalan lancar bagi menangani kenaikan harga beras pada masa kini.

Dalam masa yang sama negara perlu mempunyai polisi dan tindakan yang jelas dalam menangani krisis yang semakin menular ini. Negara tidak boleh lagi membiarkan dirinya di monopoli oleh industri transnasional dunia yang memonopoli harga makanan di dunia dengan pelbagai kaedah. Negara juga perlu memberikan kaum tani ruang untuk menghasilkan makanan untuk keperluan masyarakat tempatan, dan tidak bergantung kepada kuasa industri besar menghasilkan makanan.

Seharusnya pengguna di Malaysia harus berpaksikan kepada agama bagi mengawal dan menangani harga beras ini. Jika kita lihat bawa objektif makan adalah untuk hidup dan bukannya hidup untuk makan. Apa yang perlu kita pertekankan adalah soal beras yang dimakan, kerana masyarakat kini hanya memandang makanan ruji itu sebagai makanan wajib untuk hidup sedangkan Allah menciptakan tumbuh-tumbuhan dan binatang untuk dimanfaatkan. Melihat cara hidup Orang Asli yang hanya memakan buah-buahan dan ubi kayu terdetik kita bahawa jika tidak makan beras adakah kita akan kebuluran sehingga menyebabkan mati. Bertepatan juga dengan cadangan Dato' Ir Dr. A. Bakar Jaafar daripada Rural Urban Business Incubator (RUBI) yang menyarankan agar rakyat memakan buah-buahan, ulam-ulaman, daging, ikan dan tempe untuk hidup. Pembaziran makanan yang berlaku juga menunjukkan bahawa ummat Islam di Malaysia tidak bersyukur kepada Allah. Dilaporkan melalui S.M Idris Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang menyatakan bahawa pada 2006, makanan yang terbuang menyamai hampir sebahagian daripada pembuangan sisa kumbahan negara. Dalam erti kata lain, hampir 20,000 tan sisa kumbahan yang dijana setiap hari, 45 peratus daripadanya makanan terbuang. Amat menyedihkan apabila kita melihat gelagat masyarakat Malaysia yang meninggalkan sisa makanan di pinggan dalam kuantiti yang begitu banyak. Gelagat pembaziran makanan ini termasuklah nasi. Jika gelagat pembaziran ini dapat diatasi, secara tidak langsung masyarakat Malaysia boleh dikatogarikan sebagai masyarakat yang bersyukur. Cuba kita fikirkan ayat Allah di bawah surah Thaaha ayat 81:

Makanlah dari benda-benda yang baik yang dikurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan demikian kamu akan ditimpa kemurkaanku, dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanku, maka sesungguhnya binasalah ia.”

Melampaui batas dalam ayat ini bererti belebih-lebihan seperti membazir. Allah juga menjelaskan bahawa sikap membazir adalah sahabat syaitan. Lantaran daripada itu sikap membazir haruslah dijauhi untuk mengangani krisis bekalan makanan dunia justeru mengelakkan kenaikan harga bekalan makanan.

Tidak dapat tidak, kita selaku rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita perlu menggalas beban tugas untuk menangani krisis makanan ini secara bersama-sama agar kesejagatan dan kedaulatan makanan kita tejaga.

 

Posted by Zulzaidi

BUDAYA MAHASISWA KINI:

MENTRANFORMASI MAHASISWA KE ARAH WARGA KAMPUS YANG BERINTELEKTUAL DAN BERMASYARAKAT

Mendapat tempat di IPT adalah suatu keistimewaan dan kebanggaan bagi setiap pelajar. Siswa yang berada di menara gading ialah harapan masyarakat kerana mereka berpotensi untuk mengambil tempat barisan kepimpinan negara pada masa akan datang. Jika IPT gagal melahirkan dan menjana siswa secara produktif dan berkualiti maka kegagalan ini berpanjangan hatta negara dikatakan gagal membariskan kepimpinan negara yang berintegriti pada masa hadapan. Lebih malang lagi pelaburan oleh negara, masyarakat, ibu bapa dan sesiapa sahaja menjadi sia-sia kerana menanggung siswa yang tidak mahu mentranformasikan diri untuk lebih maju, jitu, utuh dan berkualiti.

Persoalan yang perlu dirungkai dan difikirkan bersama oleh setiap mahasiswa, pensyarah, IPT, Kementerian, NGO dan sesiapa sahaja yang terpanggil untuk menjuarai isu ini ialah permasalahan mahasiswa. Permasalahan ini membelenggu diri mahasiswa sehinggakan mereka tidak sedar bahawa mereka dirantai dengan kuat sehingga sukar untuk melepaskan diri. Rantaian itu ialah rantaian kepenggunaan negatif, konsep 5K yang telah menjadi gaya hidup mahasiswa kini: kolej, kelas, kafe, konsert dan kompleks. Secara tidak langsung rentetan daripada konsep 5K ini lahir pula konsep kepenggunaan 3F: Fun, Food dan Fashion. Persoalan daripada konsep 5K yang sering dibincangkan hanyalah tiga iaitu kolej, kelas dan kafe sementara.persoalan konsert dan kompleks adalah persoalan baru kesinambungan daripada kepenggunaan negatif 3K yang pertama. Konsep 5K yang warga kampus amalkan tidak membantu kecemerlangan akademik dan kecemerlangan bermasyarakat secara total, tetapi hanya melahirkan mahasiswa yang lemah dan lesu.

Rutin mahasiswa kini hanya pergi ke kelas dan pulang ke kolej kediaman. Apabila mereka lapar mereka ke kafe, apabila bosan mereka ke kompleks untuk merayau-rayau tidak tentu arah. Perkara yang paling menyedihkan ialah mereka sanggup pergi ke konsert sehingga membakar aqidah mereka dengan melalaikan dan mengabaikan waktu solat. Lihat sahaja gelagat mereka yang tidak mencerminkan intelek yang jitu atas paksi kemahasiswaan.

Konsep 3F menjadi gaya hidup mereka di celah-celah konsep 5K. Konsep 3F ini akan dihuraikan secara jelas agar masyarakat menjadi cakna dengan reality warga kampus hari ini.

FUN

Istilah FUN yang diambil dari Bahasa Inggeris membawa maksud keseronokan. Mahasiswa kini meletakkan kehidupan yang seronok sebagai gaya hidup mereka yang bahagia. Masyarakat menggaru kepala memikirkan kebahagian mahasiswa adakah terletak pada kehidupan yang seronok? Belum bertemu jawapan lagi. Istilah mudah untuk dimengerti oleh masyarakat tentang kehidupan yang FUN ialah hedonisme, berfoya-foya atau hubb ad-dunia. Dalam buku Quran Saintifik Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains, Dr. Danial Zainal Abidin meletakkan takrifan hedonisme daripada The Columbia Encyclopedia, Edisi ke-6 sebagai:

“The doctrine that holds that pleasure is the highest good”

[Satu doktrin yang menekankan keseronokan adalah kemuncak kepada kebaikan.]

Hedonisme yang dicanangkan ini ialah ciri-ciri kepenggunaan yang kurang sihat untuk mahasiswa dan masyarakat. Mahasiswa yang sepatutnya meletakkan akademik sebagai prioriti berputar 180 darjah kepada kehidupan yang FUN dan ranggi.

Akhlak Liar

Mereka mula berakhlak liar dengan melakukan vandalisme, pergaduhan, provokasi, gangsterisme dan sebagainya yang sejajar dengan jalan para syaitan yang dimurkai Allah. Mahasiswa mula masuk dalam kumpulan-kumpulan yang jelas mencerminkan kerakusan dan kerosakan seperti Punk, Black Metal dan Gothic. Kerosakan yang jelas digambarkan atas alasan kehidupan yang FUN ini adalah seperti pergaulan bebas, pesta seks liar dan hiburan melampau sebagai contoh.

Rempit

Ada juga sebilangan kecil yang mengambil jalan cepat untuk menghembuskan nafas terakhir dengan cara merempit. Gejala rempit ini mula berakar umbi dalam kalangan mahasiswa. Mahasiswa yang merempit ini, soal wang usah dibicarakan dengan mereka kerana wang biasiswa dan pinjaman dijadikan modal untuk ‘meng-upgrade' motosikal untuk kelihatan gah di hadapan para siswi. Kehidupan yang FUN ini telah mengheret mahasiswa ke dalam lembah kehinaan, hal ini ternyata apabila melihat gelagat mahasiswa mula tersasar jauh dari landasan syariat. Masyarakat sekali lagi menggaru kepala memikirkan mahasiswa tidak seperti yang diharapkan.

Gejala rempit ini seharusnya bukan pada gahnya kelihatan motorsikal dan cara tunggangan tetapi kepada perlumbaan akademik. Jiwa rempit, sikap berlumba-lumba perlu ada pada diri setiap mahasiswa kerana dengan jiwa berlumba-lumba ini akan terbinalah jati diri dan kecemerlangan. Berlumba-lumba yang dimaksudkan bukanlah dengan berlumba motorsikal tetapi berlumba dari sudut akademik, pengetahuan, peperiksaan dan sebagainya yang bersifat konstruktif. Islam sendiri menyuruh umatnya berlumba-lumba tetapi dengan istilah mengejar kebaikan. Hal ini bertepatan dalam surah Al-Baqarah ayat 148:

“Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah (dalam membuat) kebaikan. di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Dalam ayat di atas Allah menghendaki makhluk-Nya supaya berkejar-kejar dan berlumba-lumba dalam kebaikan. Mahasiswa perlu menggunakan landasan ayat ini untuk berlumba-lumba dalam perkara yang bermanfaat.

Rancangan Realiti/ Konsert

Mahasiswa juga terpengaruh dengan rancangan realiti pada masa ini yang jelas tidak membina karekter akademik. Kita tidak menyalahkan rancangan realiti itu sepenuhnya tetapi kita kecewa dan terkilan kerana rancangan realiti pada masa ini tidak melahirkan generasi yang berkualiti. Tidak salah untuk melahirkan seorang artis yang pandai menyanyi, tetapi masalahnya syariat diabaikan. Pakaiaan peserta menjolok mata, nyanyian yang berbaur seks dan pergaulan tiada batasan menjadi gaya hidup mereka. Mahasiswa juga mula terikut-ikut gaya peserta ini sehingga mereka juga hanyut dalam sungai kemaksiatan. Mahasiswa juga sanggup pergi menonton secara “LIVE” persembahan realiti dan sanggup menghabiskan wang berSMS kerana terpedaya dengan rancangan realiti tersebut. Seharusnya kredit talian digunakan dengan cara berfaedah bukannya dibazirkan dengan mengundi.

Konsert-konsert yang berunsur negatif mula menyelinap masuk ke dalam universiti. Artis-artis tempatan dibenarkan masuk atas tiket untuk menghiburkan mahasiswa, tetapi ustaz-uztaz tidak dibenarkan masuk universiti untuk berceramah atas tiket keilmuan dan intelekt. Budaya ke konsert mula menjadi cara dan gaya hidup mahasiswa yang FUN. Dari sudut masa konsert kita sedia maklum bahawa rata-rata konsert bermula pukul 8.00 malam. Tidakkah kita sedar bahawa lingkungan masa itu ialah waktu bagi ummat Islam sembahyang maghrib, tetapi konsert ini telah membakar aqidah mahasiswa sehingga mereka sanggup meninggalkan solat semata-mata mencari gaya hidup yang FUN. Mahasiswa seharusnya menunjukkan kepada masyarakat tingkah-laku mereka sebagai orang yang terpelajar dan intelek secara kolektif. Kita tidak menghalang mahasiswa untuk berhibur dengan cara mendengar konsert tetapi konsert itu perlulah berlandaskan syariat Islam. Batasan-batasan syariat perlulah dijaga dari sudut pakaian dan pergaulan, kedudukan berasingan antara siswa dan siswi serta konsert itu perlulah ada ilmiah dan manfaatnya, bukan nyanyian kosong sahaja.

’Couple’/ Berpacaran/ Buang bayi

Mahasiswa juga mula berpacaran antara siswa dan siswa, mula berpegangan tangan, mula berdua-duaan, mula berpelukan dan akhirnya mula keterlanjuran. Kita selaku masyarakat tidak asing dan sudah panas telinga mendengar gelagat mahasiswa seperti ini dan ternyata ramai juga daripada mereka telah ditangkap oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri. Sudahlah mahasiswa terheret ke lembah keterlanjuran sekali lagi mereka terheret ke lembah kehinaan apabila si siswi mengandung dan kerana malu, sekali lagi menjunam mereka ke lembah kezaliman dengan membuang bayi yang tidak berdosa. Ada juga yang sanggup memakan pil-pil untuk menggugurkan kandungan dan perlbagai alternatif lain agar mereka dapat menutup kemaksiatan yang mereka lakukan. Masyarakat terus menggaru kepala apabila ada manusia yang sanggup membunuh si kecil yang tidak mengerti apa dosanya sehingga diperlakukan sedemikian. Masyarakat yakin dan percaya pembuangan dan pembunuhan bayi ini sebagai akibat penzinaan, dan telah nyata apabila penemuaan beberapa kes pembunuhan bayi dilakukan dalam kampus di IPT negara kita, dan kita tertanya-tanya adakah itu dikatakan keseronokan yang FUN? Persoalan yang timbul adakah rakyat Malaysia mahu melihat bakal graduan yang bakal membarisi kabinet kepimpimpinan pada masa hadapan sebagai kepimpinan pembunuh. Permasalahan perzinaan ini sudah dijelaskan oleh Allah s.w.t sejelas-jelasnya kepada ummat manusia. Kita dapat perhatikan bahawa Allah telah melarang perzinaan ini dari akarnya secara terperinci sebagaimana dinukilkan dalam surah Al-isra’ ayat 32:

“Dan janganlah kamu dekati zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan keji dan jalan seburuknya.”

Seharusnya mahasiswa memegang ayat ini sebagai gaya hidup yang FUN berteraskan Islam. Kita sedia maklum bahawa dengan pengawalan terhadap perzinaan ini secara tidak langsung rentetan pembuangan bayi juga dapat diatasi secara toal dengan kaedah Islam.

Selain itu keseronokan dengan jalan kepatuhan kepada syariat ialah langkah yang perlu diambil oleh mahasiswa seperti membaca Al-Quran, membaca buku, bermasyarakat, bergotong royong dan sebagainya. Hal ini kerana langkah syariat inilah kehidupan yang mempunyai nilai FUN yang sebenar berteraskan Islam.

Pornografi

Masalah pornografi yang meruncing di negara kita membawa golongan mahasiswa bersama-sama meningkatkan lagi kepesatan industri yang pincang ini. Ada segelintir mahasiswa yang sanggup menghabiskan masa dan wang semata-mata untuk menonton filem, majalah dan gambar-gambar porno. Media-media tempatan seperti media dalam talian (online) dan bercetak mula memaparkan adegan berbau lucah dengan meletakkan gambar artis-artis popular berpasangan memakai pakaian mandi dan bersantai di tepi kolom sambil mendedahkan bahagian yang tidak sepatutnya dan menunjukkan gelagat lucah mereka. Mahasiswa yang melihat perkara ini dalam kalangan siswa dan siswi mula mencabar diri mereka agar kelihatan seperti artis tersebut. Dalam buku Quran Saintifik Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains yang ditulis oleh Dr. Danial Zainal Abidin menyatakan bahawa kajian yang dilakukan oleh MSNBC pada tahun 2004 ke atas 15,000 pengguna internet mendapati 32 peratus daripada golongan wanita dan 13 peratus daripada pihak lelaki berpendapat bahawa internet menggalakkan penzinaan. Apatah lagi di IPT dengan sistem tanpa wayar (wireless), mereka mampu melakukan zina kerana terpengaruh dengan media tersebut. Jika pihak IPT tidak berhati-hati dikhuatiri mahasiswa juga akan menyalahgunakan media yang ada.

FESYEN

Istilah fesyen tidak asing bagi masyarakat Malaysia. Mahasiswa juga tidak ketinggalan dalam memahami kehendak fesyen kini. Fesyen yang dimaksudkan bukan hanya pada pakaian dengan gaya terkini bahkan juga pada penampilan wajah sedangkan fesyen yang sebenar dalam Islam ialah akhlak yang mulia.

Pakaian

Pakaian mahasiswa mula kembali ke zaman primitif atau zaman nomad. Hal ini adalah kerana pakaian yang dipakai agak ketat dan menampakkan susuk tubuh yang sepatutnya tidak dizahirkan, pakaian yang jarang serta pakaian yang menarik perhatian, pakaian menjolok mata yang boleh dikategorikan sebagai tidak sopan terutamanya bagi wanita. Masyarakat terus menggaru kepala memikirkan mahasiswa sudah kehilangan identiti dan jati diri terhadap agama dan bangsa. Gaya hidup berpakaian seperti ini telah didedahkan oleh Azizi Abdullah dalam buku “Gaya Hidup Ranggi” yang menyatakan bahawa manusia sudah mula meletakkan etika pemakaian yang tidak betul untuk dijadikan asas keperluan hidup. Mahasiswa terikut sama untuk merangkul gaya hidup ranggi ini sebagai kehidupan yang berFESYEN.

Peraturan universiti berkaitan etika pakaian yang sepatutnya diikuti hanya dijadikan sebagai artifak untuk dilihat. Tidak dinafikan gaya dan fesyen terkini sudah mula menyelinap masuk ke dalam universiti. Lihat sahajalah siswi pergi ke dewan kuliah dengan pakaian seksi agar pihak siswa melihat mereka. Perkara yang mempengaruhi gaya fesyen mahasiswa termasuk pengaruh artis tempatan dan luar negara yang diminati. Jika mahasiswa melihat pakaian artis mereka mendedahkan tubuh maka mereka pun sanggup mendedahkan tubuh sedemikian.

Bentuk Tubuh

Industri rokok yang paling lama bertahan juga mencanang propaganda mereka agar dapat membina generasi perokok. Industri ini membuat propaganda kepada wanita dengan menyatakan bahawa dengan merokok mereka akan menjadi langsing dan mempunyai bentuk badan yang menawan. Bagi lelaki pula rokok disimbolkan sebagai gaya atau fesyen lelaki tampan dan macho. Dalam buku No Smoking Tidak Merokok Kerana Allah karangan Syaikh Muhammad Jamil Zainu, beliau menjelaskan permasalahan rokok ini daripada perspektf ekonomi, agama, kesihatan dan sosial. Ternyata dari perspektif sosial perihal ini tidak lari dari apa yang kita perbincangkan. Masalah rokok telah mempengaruhi sebahagian besar mahasiswa dan ternyata proganda industri rokok ini berjaya.

Memperaga Jenama

Mahasiswa juga telah memperlekeh siswi yang memakai tudung sebagai jumud dan ketinggalan zaman apabila mereka memperagakan fesyen terkini. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku kerana berhubungkait langsung dengan syariat. Penggayaan fesyen berdasarkan jenama juga menjadi ciri mahasiwa ketika ini. Mereka sanggup menghabiskan wang semata-mata mengejar jenama. Kita semestinya tahu bahawa pakaian yang berjenama terlalu mahal jika nak dibandingkan dengan pakaian biasa tetapi dengan kualiti yang sama.

Fesyen Yang Memudaratkan

Seharusnya kita perlu mengkaji setiap fesyen dan tren yang diperkenalkan dari sudut agama dan kesihatan. Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam buku Sakit Kerana Fesyen, kebanyakan fesyen masa ini memudaratkan kesihatan dan menjadi helah dagangan untuk keuntungan industri fesyen. Fesyen-fesyen ini juga merosakkan dan dangkal kerana memperdaya dan mengeksploitasi wanita semaksimanya agar industri fesyen ini terus berkembang ke arah yang sesat. Mahasiswa seharusnya mengerti bahawa setiap fesyen yang dicanang secara psikologi mempunyai impak dalam kesihatan dan agama.

Kemudaratan Wajah

Penampilan wajah juga menjadi cermin bahawa mahasiswa menggunakan alat-alat kosmetik yang kononnya bermutu tinggi tetapi sebenarnya mengandungi bahan yang menjijikkan seperti kolagen, ekstrak uri dan cecair ketuban. Persatuan Pengguna Pulau Pinang yang dipimpin oleh S.M Idris membuat kajian dan mendapati bahawa kandungan yang menjijikkan ini terdapat pada banyak kosmetik. Liposom, kolagen dan elastin yang terkandung di dalam Krim Pencegah Kedut tidak menghapuskan kedutan tetapi hanya membantu melembap dan “menggebukan” kulit untuk menampakkan kulit yang lebih muda. Bahan-bahan ini tidak berupaya memperlahan atau membalikkan proses penuaan kulit. Sama seperti memakan tulang tidak dapat menyembuhkan tulang yang patah, menyapu krim pencegah kedut tidak mampu memperbaiki atau membentuk semula kulit kendur. Mahasiswa juga menggunakan kosmetik yang mengandungi bahan-bahan tersebut dan seharusnya mereka sedar bahawa bahan-kosmetik yang salah bukan hanya mencacatkan muka malah membahayakan kesihatan.

Kemudaratan Rambut

Kecantikan siswi bukan hanya tertumpu pada wajah tetapi juga pada rambut. Pendandan rambut dan pengguna rawatan terdedah kepada beberapa ancaman kesihatan dan keselamatan ketika berada di salun rambut. Di salun, mereka terdedah kepada semburan lakuer dan mungkin akhirnya akan mengalami kegagalan fungsi paru-paru. Aerosol kuhusnya sangat berbahaya kerana mengandungi bahan kimia beracun seperti propelan, peneutral, pemplastik dan bahan-bahan penyalut. Bahan-bahan ini juga menyebabkan radang paru-paru dan kanser. Sesetengah bahan kimia menimbulkan alahan misalnya para-phenylenediamine, sejenis pewarna hitam yang telah diharamkan di Perancis, Jerman dan Sweden tetapi peraturan Kesatuan Ekonomi Eropah (EEC) membenarkan sehingga 6% dalam pewarna rambut. Perkara ini telah dinyatakan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam buku Sakit Kerana Fesyen. Seharusnya mahasiswa mempunyai buku ini sebagai buku panduan dalam peragaan fesyen masa ini.

Mahasiswa yang telah terpengaruh dengan fesyen dan tren terkini terjebak ke dalam gaya hidup ranggi. Azizi Abdullah dalam buku “Gaya Hidup Ranggi” menjelaskan kepada kita bahawa gaya kehidupan yang bermewah ini ialah tren anak muda kini. Anak muda kita dari kalangan mahasiswa juga tidak terkecuali sanggup pergi ke Genting Highland dan tidur di hotel mewah dengan alasan itulah gaya hidup masa ini.

Peragaan dan pengaruh fesyen ini terhadap mahasiswa telah membentuk peribadi pembazir. Pembaziran dengan wang biasiswa dan pinjaman ini adalah satu tingkah-laku yang tidak bertanggungjawab. Seharusnya paragaan fesyen ini perlu berteras dan berlandaskan Islam. Melihat dalam buku Adab Dan Pergaulan Antara Lelaki Dan Wanita , Hamidah Mat telah meletakkan garis panduan menutup aurat iaitu menutup aurat yang ditetapkan, pakaian yang longgar, pakaian yang tidak jarang dan bukan pakaian yang menarik perhatian. Jika seseorang wanita itu berpakaian ketat dan menampakkan bentuk tubuh maka pemakaian tersebut belum memenuhi kehendak syarak. Aisyah r.a telah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma’ pernah masuk ke rumah Rasulullah s.a.w dengan pakaian nipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah s.a.w berpaling dan bersabda :

Maksudnya: “ wahai Asmak, sesungguhnya seorang wanita apabila baligh, dia tidak patut memperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini, sambil baginda menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangannya.” Hadith Riwayat Abu Daud.

Perkara ini bolehlah dijadikan kayu ukur untuk mahasiswa yang beragama Islam agar larangan syarak tidak dilanggar. Semestinya fesyen cara Islam ini yang perlu digalas oleh mahasiswa kerana fesyen ini mampu menjamin kesejahteraan dan kesihatan mahasiswa. Nilai wanita bukanlah hanya pada pakaian tetapi pada akhlak dan tingkah-laku kerana etika pakaian juga boleh dikategorikan dalam akhlak. Sabda Rasulullah s.a.w :

Maksudnya : “ Sesungguhnya dunia itu semuanya kenikmatan bersifat sementara. Sebaik-baik kenikmatan dunia adalah wanita solehah.” Hadith Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud, Al-Tirmizi dan Al-Nasaai.

Jelaslah bahawa nilai harga wanita bukanlah pada pakaian tetapi pada akhlak. Mahasiswa perlulah mencengkam dan menggigit hadith di atas sekuatnya untuk dihadam dan diimplementasikan dalam kehidupan.

FOOD

Makan ialah hak keperluan manusia. Apabila diperkatakan soal makan kepada rakyat Malaysia, rata-rata membayangkan makanan asasi iaitu nasi dalam minda. Permasalahan yang timbul daripada pemakanan ialah masalah umum rakyat Malaysia termasuk mahasiswa. Masalah FOOD yang akan dirungkai dan dihuraikan ini ialah kesinambungan kebejatan gejala kepenggunaan negatif dalam kalangan mahasiswa. Imperialis barat yang berorientasikan pembaziran, kehendak melampaui keperluan mula masuk ke kampus-kampus dari sudut pemakanan dan semestinya mahasiswa tidak sedar perkara ini.

Pembaziran

Mahasiswa sering menjadikan kafe sebagai tempat bersembang-sembang dan membuang masa selain menikmati juadah makanan. Kafe-kafe kampus meletakkan harga yang murah dan berpatutan bagi makanan yang mereka jualkan kepada mahasiswa berbanding dengan restoran, kedai dan gerai di luar kampus. Dengan harga yang murah inilah mahasiswa sering leka dan alpa sehingga makanan yang dibeli tidak dihabiskan. Sisa-sisa di dalam pinggan yang telah mahasiswa makan juga mampu untuk dimakan oleh 2 atau 3 orang anak orang Asli Kampuang Kuala Mu, Sungai Perak. Laporan yang dikeluarkan oleh S.M Idris Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang menyatakan bahawa pada 2006, makanan yang terbuang menyamai hampir sebahagian daripada pembuangan sisa kumbahan negara. Dalam erti kata lain, hampir 20,000 tan sisa kumbahan yang dijana setiap hari, 45 peratus daripadanya makanan terbuang. Amat menyedihkan bahawa mahasiswa kini meletakkan pembaziran sebagai gaya hidup yang sihat. Pembaziran juga menjadi simbol koperat yang diikuti oleh mahasiswa sedangkan pembaziran jelas ialah prinsip syaitan. Juadah dan hidangan yang dimakan jika tidak mempunyai sedikit sisa tidak sah untuk memperagakan kualiti hidup. Allah s.wt. telah menyatakan dalam Al-Quran surah Thaaha ayat 81:

”Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia.”

Berlebih-lebihan di sini bererti melampaui batas dan perkara yang melampaui batas seperti membazir ialah amalan syaitan. Mahasiswa seharusnya jelas dengan daya intelektual yang ada untuk memikirkan pemakanan yang mengikut syarak.

Makanan Tidak Berkhasiat/ tidak baik

Allah s.w.t berfirman dan termaktub dalam surah Al-Baqarah:

”Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

Perkataan thoyyiba yang dimaksudkan dalam buku Halal Haram Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bermaksud baik, bererti maknan itu mestilah baik untuk dimakan dan diperolehi dari sumber yang asli. Mahasiswa juga mula mengorak langkah dalam mengamalkan pemakanan yang tidak sihat dan kotor ini. Hal ini dapat dilihat daripada pemakanan yang mahasiswa yang sering mengunjungi restoran FAST FOOD.

Makanan segera ini ternyata memberikan impak negatif terhadap kesihatan mahasiswa. Makanan yang dihidangkan ini terlalu banyak lemak, bergula, masin, bahan penambah perisa makanan, bahan-bahan yang boleh menyebabkan kegemukan dan penyakit-penyakit lain seperti kanser, darah tinggi dan kencing manis. Seringkali kita lihat dalam genggaman mahasiswa minuman-minuman ringan yang kurang sihat. Perkara ini perlu diubah. Selaku mahasiswa makanan sebegini seharusnya dielakkan untuk menjana mahasiswa yang sihat dan cergas. Mahasiswa mestilah mengamalkan sunnah seperti sabda Rasulullah s.a.w :

Ttidak ada sesuatu bekaspun yang lebih berbahaya diisi oleh anak Adam untuk menguatkan tulang sulbinya. Jika ada halangan peruntukkanlah satu pertiga dari bahagian perut untuk makanan, satu pertiga minuman dan satu pertiga lagi bernafas.”

(Hadith riwayat At-Tirmidzi)

CARA PENYELESAIAN

Apa yang dapat diperhatikan dari konsep FUN, FOOD, dan FASHION ini ialah kewujudan tahap disiplin mahasiswa yang lemah. Hal ini dapat dikesan kerana mereka melakukan pelbagai tabiat seperti tidur lewat, bangun lewat, ke kuliah lewat, ponteng kuliah, meniru, plagiat, tidak menyiapkan tugasan secara sempurna, malas membaca, belanja bermewah-mewah dengan wang biasiswa dan pinjaman, berfoya-foya dan banyak lagi. Segala apa yang disebut ini ialah penyumbang kepada tahap disiplin yang lemah dan rentetan daripada ini mereka mula lemah dalam akademik yang sepatutnya menjadi prioriti.

Permasalahan utama kenapa mahasiswa pada masa kini tidak lagi dihormati oleh masyarakat adalah kerana mereka tidak lagi dianggap berkualiti. Kualiti yang dipandang oleh masyarakat ialah pengamalan terhadap agama. Agama yang sepatutnya dijadikan “WAY OF LIFE” hanyalah slogan tanpa amal. Mahasiswa menyatakan agama hanya untuk mahasiswa dari kalangan Fakulti dan Akademi Pengajian Islam. Sebenarnya secara tidak langsung kata-kata tersebut mampu menggelincirkan aqidah mahasiswa.

Soal solat, puasa dan zakat diabaikan dan dianggap perkara remeh. Misalan yang paling mudah adalah pada waktu petang lingkungan pukul 6.00 petang, rata-rata dari kalangan mahasiswa beriadah dan tidak disangkal lagi riadah ialah perkara yang berfaedah. Tetapi jika kita perhatikan dari kalangan siswa yang bermain bola sepak, waktu maghrib tidak dihormati langsung, malahan mereka rasakan bahawa lingkungan waktu Maghrib dan Isyaklah waktu terbaik merapatkan ukhuwah sehingga meninggalkan solat. Hal itu hanya satu contoh daripada beribu contoh betapa ceteknya pemikiran mahasiswa dalam pengamalan agama. Seharusnya agama ini dianggap sebagai gaya hidup mahasiswa yang menjamin kesejahteraan pengamalan 3F tersebut.

Sebagai contoh mahasiswa yang meletakkan agama sebagai pundak kehidupan mereka akan makan makanan untuk keperluan dan untuk kesihatan. Manakala dari sudut fesyen mereka akan memakai pakaian taqwa, dan dari sudut Fun mahasiswa akan meletakkan ibadah harian sebagai benda yang paling Fun.

Jika pada hari ini subjek TITAS dan Hubungan Etnik dijadikan subjek teras pelajar IPT maka sewajibnya SUBJEK AGAMA perlulah diajar kepada sumua pelajar IPT juga. Hal ini kerana kesan pengetahuan agama itu mampu diterjemah dan diimplimentasikan dalam kehidupan dan akan membentuk peribadi dan jati diri mahasiswa beragama.

Tanggungjawab menangani masalah 3F yang songsang ini memerlukan kerjasama banyak pihak. Peranan bersama antara pihak Kementerian Pengajian Tinggi, pihak IPT, komuniti masyarakat dan badan-badan NGO adalah perlu. Tanggungjawab yang terpenting ialah diri mahasiswa sendiri untuk menggalas konsep sebenar 3F. Konsep 3F seharusnya mengikut lunas-lunas syariat Islam kerana sifatnya yang ideal dan ’real’. Mahasiswa perlulah mentranformasikan diri ke arah pembentukan warga kampus yang kritikal dan berkualiti.

ZULZAIDI MAHMOD

11.11 malam (26/6/08)