Posted by Zulzaidi

TOPI KELEDAR : KECUAIAN MEMBAWA PADAH

Statistik dari bulan Januari sehingga Mac 2008 menunjukkan bahawa kemalangan yang membabitkan motosikal berada pada tahap yang tinggi iaitu 27590 kes. Selaku masyarakat yang punya pemikiran yang biasa pastinya menyatakan kemalangan motosikal adalah daripada kalangan Mat Rempit kerana mereka sahaja yang mahu menunjuk jaguh di atas jalanraya. Pemikiran sebegini harus diperbetulkan kerana masalah kemalangan yang membabitkan motosikal bukan hanya melibatkan Mat Rempit tetapi melibatkan pengguna motosikal di jalan raya. Persoalan yang ingin ditimbulkan bukanlah jumlah kemalangan, tetapi kesedaran pengguna terhadap kemalangan yang membabitkan penggunaan topi keledar secara cuai.
Jika kita melihat kawasan di pedalaman yang kurang keprihatinan pihak berkuasa terhadap penguatkuasaan penggunaan topi keledar, ternyata cukup ketara dan kritikal. Penunggang dan pembonceng di kawasan-kawasan kampung dan pedalaman ini kelihatan biasa tidak memakai topi keledar berbanding yang memakainya. Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menyatakan bahawa pemakaian topi keledar berada pada tahap yang kurang memuaskan. Atas desakan keadaan dan keprihatinan pihak bertanggungjawab sebanyak 2,000 topi keledar tajaan AAM diagihkan di sekitar DUN Johol, Negeri Sembilan. Kita selaku pengguna pasti memikirkan adakah dengan pengagihan topi keledar itu mampu mengatasi masalah kemalangan yang membabitkan motosikal.
68% daripada 3,963 penunggang motosikal maut dalam kemalangan jalan raya yang berpunca akibat kecederaan kepala. Masyarakat seharusnya sedar betapa pentingnya pemakaian topi keledar ketika menunggang dan membonceng motosikal. Universiti Islam Antarabangsa UIA merupakan universiti yang termasyhur di Malaysia telah membenarkan pelajarnya tidak memakai topi keledar di dalam kawasan kampus. Perkara sebegini seharusnya diperbaiki agar kredibiliti pihak universiti berada pada tahap yang tinggi. Universiti yang sepatutnya tempat mendidik dijadikan tempat mengherdik masyarakat luar kerana penguatkuasaan penggunaan topi keledar berada pada tahap yang lemah.
Kita bukan mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi kita mahukan satu mekanisma kesedaran yang mampu menyedarkan masyarakat tentang kepentingan topi keledar ini. Kaedah pemakaian topi keledar dengan cara yang betul juga dikesampingkan oleh masyarakat. Jika kita berada di jalan raya pastinya kita terlihat penunggang atau pembonceng memakai topi keledar tetapi pengikatnya tidak diikat atau pun diikat tetapi tidak kemas. Menyingkap iklan kesedaran pemakaian topi keledar di TV beberapa tahun yang lalu, pastinya kita teringat bagaimana perbezaan pemakaian topi keledar dengan cara yang betul dan satu lagi dengan cara yang tidak betul iaitu topi keledar yang tidak diikat. Gambaran yang dijelaskan menunjukkan bahawa kemalangan yang terjadi lebih dasyat lagi kepada yang memakai topi keledar tetapi tidak diikat. Pastinya jika kita meneliti punca diperingkat akar umbi pastinya kita mendapat jawapan bahawa permasalahan tidak memakai topi keledar dan pemakaian topi keledar secara tidak sempurna adalah berpunca daripada sikap. Sikap penunggang dan pembonceng dengan amalan slogan "TAK PA" telah mengheret kepada masalah yang lebih dasyat lagi iaitu masalah kemalangan yang ngeri dan parah. Sikap sebeginilah yang harus diperbetulkan agar keselamatan pengguna lebih terjamin.
Persatuan Pengguna Universiti Malaya dan Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya mencadangkan agar penekanan pendididikan keselamatan jalan raya dipertingkatkan. Silibus pengajaran untuk mengambil lesen memandu yang ada sekarang memang cukup berkesan dalam pemahaman masyarakat. Tetapi sikap masyarkatlah yang menyebabkn pendidikan ini tidak dipeduli. Maka seharusnya pihak yang berwajib menekankan kepentingan pemakaian topi keledar dengan cara yang betul agar diaplikasikan dalam kehidupan seharian sekaligus membetulkan mentaliti masyarakat tentang kepentingan pemakaian topi keledar.
Billbord yang berada di tepi jalan raya yang menunjukkan kengerian disebabkan kecuaian pemakaian topi keledar seharusnya diperhebatkan lagi agar gambaran-gambaran kengerian menyelusup masuk ke benak fikiran masyarakat agar tidak berlaku pada diri. Penguatkuasaan pihak berkuasa juga harus dipertingkatkan agar penunggang dan pembonceng tidak melakukan perkara biadap ini.
Selain itu kesedaran dan pemahaman masyarakat juga harus dikemaskan agar pendidikan jalan raya ini menjadi aplikasi seharian dan secara tidak langsung gerak laku masyarakat adalah bertepatan dengan undang-undang. Harus diingat kepada setiap masyarakat bahawa pemakaiann topi keledar ketika menunggang dan membonceng merupakan perkara penting kerana kemungkinan kemalangan sememangnya tidak dapat dijangka dan seharsnya masyarakat berwaspada. Lebih dari itu adalah pemakain topi keledar dengan cara yang sempurna sememangnya perlu diadaptasikan dalam kehidupan seharian kerana walau semahal dan sebaik mana pun topi keledar yang dipakai jika tidak diikat dengan kemas tidak memberi apa-apa kesan melainkan kesengsaraan. Seharusnya pengguna memikir bahawa perkara ini berhubung dengan etika seharian pengguna di bawah cogan kata "Pengguna Bijak Faedahnya Banyak"

Zulzaidi mahmod
Exco Akademik Dan Intelektual
Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

 

Posted by Zulzaidi





MINUMAN RINGAN : SIHAT ATAU MUDARAT

Masyarakat pada masa kini hanya mementingkan keenakan, kesedapan dan keasyikan sebagai gaya hidup mereka. Apabila singgah di kedai mamak, restoran, stesen minyak atau kedai 24 jam rata-rata masyarakat dalam semua peringkat umur daripada kanak-kanak sehingga orang dewasa mudah untuk mengambil minuman ringan sebagai minuman penyegar badan. Padahal minuman tersebut kesannya terhadap kesihatan adalah lebih besar lagi. Pengambilan minuman ini makin enak lagi apabila berada dalam cuaca panas terik dalam keadaan dahaga.


Masyarakat kurang menitikberatkan tentang kandungan dalam minuman ringan yang diminum. Pemasaran minuman ringan juga sudah meluas ke segenap pelusuk daripada sekolah rendah sehingga IPT. Pemasaran yang agresif daripada syarikat minuman ringan ini telah mempengaruhi gaya hidup masyarakat terutamanya remaja. Jika kita lihat iklan di televisyen ternyata iklan minuman ringan ini mengeksploitasi remaja bagi meraih pengguna untuk membeli produk mereka dikalangan remaja dan kanak-kanak. Gaya hidup yang ditonjolkan dalam iklan minuman ringan ini juga mempamerkan sebuah masyarakat yang sakit lantaran hiburan melampau sambil menikmati juadah minuman ringan ini.


Mesin minuman kini sudah mula memasuki sekolah rendah dan menengah secara berleluasa. Murid-murid sekolah lebih mudah untuk mendapatkan minuman ringan kerana polisi pengurusan Pendidikan telah membiarkan perkara ini berlaku.

Kalau dihurai dan dirungkaikan kesan dan hakikat minuman ringan ini ternyata terlalu banyak yang akan diperkatakan. Kajian yang dijalankan oleh Institut Pemakan di Rio De Janeiro ke atas kanak-kanak sekolah berusia antara 6-14 tahun yang meminum banyak Coke, Fanta dan Pepsi, kesemuanya menunjukkan tanda-tanda kekurangan vitamin. Perkara ini juga tidak mustahil terjadi pada kanak-kanak di Malaysia jika pengaruh pemasaran menimuan ini tidak dibendung. Jika kita singkap Negara Singapura, tindakan yang telah diambil adalah dengan mengharamkan semua minuman ringan yang mengandungi terlalu banyak gula di sekolah-sekolah pada tahun 1992 sebagai sebahagian kempen negara ke arah kesihatan.

Di dalam minuman ringan terdapat beberapa bahan yang ternyata memudaratkan kesihatan seperti pemanis tiruan, kafeian, asid, karbon dioksida, pengawet, perisa tiruan dan pewarna. Ujian yang dijalankan Persatuan Pengguna Pulau Pinang CAP, menyatakan banyak jenama minuman ringan yang mengandungi pewarna tiruan yang boleh menjejaskan kesihatan seperti Sunset Yellow yang merupakan agen penyebab kanser. Antara kesan yang paling ketara apabila masyarakat meminum minuman ringan secara kritikal tenyata akan berisiko menghidap kencing manis, penyaki jantung, masalah penghadaman, kanser otak, kecacatan bayi ketika dilahirkan dan sebagainya.

Beberapa cadangan sering diutarakan seperti pengharaman iklan minuman ringan di TV, radio dan akhbar. Pengharaman iklan ini dilihat sangat berkesan kerana pengaruh pengiklanan pada masa kini memungkinkan pengguna terheret ke lembah kemudaratan kesihatan.

Langkah yang dilaksanakan di Singapura sememangnya perlu diimplimentasikan di negara Malaysia iaitu pengharaman iklan minuman ringan. Sewajarnya pihak media jangan hanya mementingkan keuntungan pengiklanan tetapi harus mementingkan kesihatan pengguna.

Mesin minuman ringan ini seharusnya tidak diletakkan di sekolah-sekolah dan IPT bagi mengelakkan implikasi yang lebih besar lagi. Jika cadangan pengharaman mesin minuman ini dilaksanakan, pengguna mampu untuk menangani permasalahan seperti kencing manis pada masa mendatang.

Kerajaan perlulah mempunyai satu polisi khas berkenaan dengan minuman ringan ini di Malaysia seperti menghadkan kandungan gula atau sebagainya. Label atau kandungan gula di tin dan botol minuman ringan perlulah dipamerkan secara tulisan “font” yang lebih besar agar masyarakat sedar tentang kandungan tersebut.

Perananan yang terpenting adalah peranan masyarakat sendiri kerana masyarakat yang dikenali sebagai pengguna bijak ini, mampu mengambil langkah yang sesuai. Bagi ibu-bapa sewajibnya menjauhkan kanak-kanak daripada peringkat kecil lagi dan menyemai sikap bencikan kepada benda yang memudaratkan. Kempen-kempen di peringkat rukun tetangga atau di peringkat IPT mungkin boleh dilaksanakan bagi menyemai sikap pengguna bijak. Seharusnya kita selaku pengguna perlu meletakkan imej gaya hidup yang sihat sebagai gaya hidup masa kini dan memegang slogan Pengguna Bijak Faedahnya Banyak untuk diimplimentasi dalam kehidupan kita.

 

Posted by Zulzaidi


PENDIDIKAN PENGGUNA : SEDAR ATAU PUDAR

Kesedaran masyarakat terhadap Pendidikan Pengguna pada masa kini ditahap yang amat kritikal dan membimbangkan. Pendidikan Pengguna pada masa kini tidak lagi dianggap sebagai wadah utama kehidupan. Jika ditanya kepada warga tua berapakah jumlah hak pengguna untuk melihat sejauh mana kesedaran mereka, pasti dan ternyata ramai diantara mereka yang menggeleng kepala. Apatah lagi jika ditanya kepada golongan yang berpendidikan tinggi yang berada di IPT dengan soalan yang sama, semestinya cukup sukar untuk dijawab.

Hari Pengguna Kebangsaan yang disambut pada 26 Julai setiap tahun seharusnya menjadi platform untuk meningkatkan lagi jati diri pengguna. Tarikh keramat 26 Julai ini, diambil sempena dengan pembentangan Akta Perlindungan Pengguna pada 26 Julai 1999. Pada masa kini Hari Pengguna hanya disambut tanpa memberi impak ke lubuk sanubari masyarakat. Ini berikutan kesedaran kepengunaan tidak dititik beratkan dalam kehidupan. Akta Perlindungan Pengguna juga tidak menjadi asas kesepaduan masyarakat kerana mereka tidak mengerti sejauh mana hak yang ada pada mereka.


J. F. Kennedy, bekas Presiden Amerika Syarikat, telah mengisytiharkan pada tahun 1962 hak asasi pengguna. Hak-hak tersebut adalah hak untuk menyuarakan pendapat, hak untuk membuat pilihan, hak untuk mendapat keselamatan dan hak untuk mendapat maklumat. Rentetan daripada itu hak pengguna ini telah ditambah kepada 8 hak oleh International Organization Of Consumer Unions (IOCU). Hak-hak tambahan ini adalah hak untuk mendapat keperluan asas, hak untuk mendapat ganti rugi, hak untuk mendapat alam sekitar yang sihat dan selamat serta hak untuk mendapat Pendidikan Pengguna. Walaupun hak-hak ini adalah hak masyarakat tetapi kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap hak ini masih lagi ditahap yang rendah.

Jika diteliti dan dikaji punca kesedaran Pendidikan Pengguna kurang dipedulikan pada masa kini oleh semua peringkat umur termasuklah kanak-kanak dan warga tua adalah disebabkan beberapa faktor. Faktor-faktor ini telah mengheret pengguna ke arah kepenggunaan yang tidak betul. Faktor utama perkara ini berlaku adalah Pendidikan Pengguna kurang didedahkan kepada masyarakat. Masyarakat sendiri tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan Pendidikan Pengguna secara sempurna. Memang tidak dinafikan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mendedeahkan Pendidikan Pengguna kepada masyarakat. Tetapi masalah yang dihadapi adalah pendedahannya hanya tertumpu kepada pengurusan perbelanjaan yang bijak sahaja. Sedangkan lebih 1001 persoalan yang boleh dikaitkan dengan Pendidikan Pengguna. Pendidikan Pengguna juga telah ditutupi dengan pelbagai ragam dan gaya hidup yang songsang. Masyarakat memandang imej negara barat merupakan satu Pendidikan Pengguna yang sempurna sedangkan imej tersebutlah menyebabkan Pendidikan Pengguna yang sebenar hilang.

Faktor lain adalah sikap masyarakat sendiri dalam memahami Pendidikan Pengguna. Pelbagai medium telah digunakan bagi menyalur dan meluaskan Pendidikan Pengguna seperti TV, radio, akhbar, blog dan internet. Tetapi tahap kesedaran pengguna sendiri yang telah menyebabkan Pendidikan Pengguna ini tidak dimanfaatkan dengan sempurna. Langkah yang telah diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Bernama merupakan langkah bijak yang harus dipuji. Pelancaran rancangan one konsumer yang diadakan pada 26 Julai oleh Dato’ Shahrir Samad di PWTC menunjukkan keprihatinan media bagi membantu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam menjuarai isu pengguna kini.

Dilema kepenggunaan di Malaysia juga menghambat kepada budaya yang tidak sihat seperti pembaziran, tidak mementingkan keselamatan produk, boros dan berhutang. Lebih parah lagi melihat gelagat pengguna kini yang mudah ditipu dengan jualan langsung, terbeli barangan tiruan atau rosak, tidak selesa dengan udara alam sekitar dan sebagainya lagi.

Konsep kepenggunaan bukan hanya berada dalam 8 hak asas pengguna sahaja. S.M Idris Presiden Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyatakan konsep kepenggunaan melangkaui 8 hak pengguna iaitu termasuklah budaya pengguna, gaya hidup, kebendaan dan sebagainya. Pastinya masyarakat tidak mengerti hak kepenggunaan ini secara terperinci untuk diadaptasikan dalam kehidupan seharian kita. Di dalam buku Panduan Pengguna keluaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjelaskan secara terperinci berkenaan dengan 8 hak ini. Seharusanya buku manual Panduan Pengguna ini perlu ada bagi setiap individu di Malaysia dari semua peringkat masyarakat. Mungkin bagi kanak-kanak buku tersebut perlulah di animasikan agar mereka lebih matang dan berinteklektual dalam hal ini.

Masalah kekurangan kesedaran Pendidikan Pengguna ini mampu diatasi jika pelbagai pihak tampil berganding bahu. Pendidikan Pengguna sewajibnya didedahkan daripada peringkat kanak-kanak lagi supaya kesedaran pengguna lebih efektif dan berkualiti. Pendidikan Pengguna boleh dilakukan secara formal dan tidak formal. Muhammad Na’im bin Samsuldin daripada Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya menyatakan subjek Pendidikan Pengguna seharusnya diterapkan dalam silibus pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah. Tambahan daripada itu Zullfahami bin Hussain pelajar Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya mencadangkan pembelajaran Pendidikan Pengguna seharusnya berpanjangan sehingga ke peringkat IPT supaya lebih efisyen dalam kehidupan seharian.

Kanak-kanak seharusnya didedahkan dengan pelbagai jati diri pengguna seperti pengetahuan tentang alam sekitar, pembelian yang betul, hak-hak pengguna, isu-isu kepenggunaan dan cara mengatasi masalah pengguna. Maklumat-maklumat kepenggunaan seharusnya didedahkan diperingkat kanak-kanak dalam bentuk animasi untuk menarik minat mereka. Langkah memperkenalkan subjek Pendidikan Pengguna di peringkat sekolah rendah merupakan satu langkah bijak bagi menerapkan kepenggunaan yang sihat didalam masyarakat dan ianya bertepatan dengan Pepatah Melayu yang berbunyi “Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya”. Sewaktu perasmian Hari Pengguna Kebangsaan, animasi perasmian yang menggambarkan watak Dato’ Shahrir Samad memberi nasihat kepada kanak-kanak tentang kepenggunaan yang sebenar haruslah dijadikan iklan di TV agar kanak-kanak dan orang dewasa terkesan dengan Pendidikan Pengguna yang betul.

Masyarakat seharusnya sedar betapa pentingnya Pendidikan Pengguna agar kita menjadi pengguna yang bijak. Pendidikan Pengguna bukanlah satu pendidikan yang ada penamatnya, tetap Pendidikan Pengguna adalah satu pelajaran yang wajib dipelajari sehingga bila-bila selagi kita digelar pengguna. Persatuan Pengguna Universiti Malaya menyeru kepada semua masyarakat supaya kita kembali ke akar, akar yang menguatkan nadi kehidupan dalam kepenggunaan yang sihat dan sempurna. Slogan “Pengguna Bijak Faedahnya Banyak” bukan hanya di jadikan slogan tetapi hendaklah diimplimentasikan dalam kehidupan kita.

ZULZAIDI BIN MAHMOD

(KOORDINATOR PENDIDIKAN PENGGUNA DAN MASYARAKAT),

TERAS PENGUPAYAAN MELAYU