Posted by Zulzaidi

KUATKUASAKAN AKTA MERCUN SECARA TEGAS
Kes-kes yang melibatkan mercun mula muncul dikala Ramadhan tiba, dari puasa yang pertama hingga menjelangnya Hari Raya Aidilfitri pasti sahaja terpapar di dada akhbar dan paparan televisyen menyatakan bahawa ada kecederaan yang berlaku yang dikaitkan dengan mercun. Kanak-kanak sangat sinonim dengan kes-kes yang sedemikian sehinggakan masyarakat menggaru kepala memikirkan mengapa dan bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku.
Mercun serta bunga api dikatakan berasal dari Negara China. Mercun secara umumnya digunakan semasa pesta ataupun perayaan seperti Tahun Baru Cina. Mercun juga digunakan oleh masyarakat Vietnam semasa pesta Tet terutamanya pada tengah malam Giao Thua (Malam Tahun Baru). Mercun dipercayai kononnya boleh menghalau semangat jahat serta menarik dewa kekayaan ke pintu rumah. Sepanjang perayaan musim bunga pada tahun 2006, China telah membelanjakan AS$ 124 juta untuk mercun dan bunga api di Tanah Besar China.
Persolan yang bermain dalam minda masayarakat adalah permainan mercun di bumi bertuah Malaysia yang sering dikaitkan dengan perkara negatif seperti kecederaan, kebakaran dan mengganggu masyarakat sekeliling dengan dentuman bunyi yang membingitkan telinga. Bukan sekadar itu sahaja mercun juga mampu meragut nyawa dikala menjelangnya Ramadhan yang sepatutnya disambut meriah tetapi hambar dan dingin dengan pemergian orang tersayang gara-gara mercun yang durjana.
Dalam tempoh kurang sebulan puasa sahaja lebih daripada 10 kes yang dilaporkan berkaitan dengan mercun bermula pada awal Ramadhan yang mana dua murid tahun lima cedera di tangan selepas terkena letupan mercun yang mereka pasang. Nik Mohd. Izzdanish Izameri yang berumur 11 tahun nyaris putus empat jari tangan kanan apabila mercun bola yang dipasangnya meletup ketika bermain dengan sepupunya di Pasir Tumboh Kelantan. Mohd. Fitri Harun hancur ibu jari kiri dan cedera di tangan apabila mercun buatan sendiri dengan menggunakan batang paip meletup secara tiba-tiba ketika bermain bersama dengan rakan-rakannya di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang. Bukan itu sahaja murid sekolah yang berumur lapan tahun Mohd Iman Nazrul juga menjadi mangsa mercun apabila mercun di tanganya meletup. Jika kita membongkar kesemua kes-kes pilu kanak-kanak ini maka kita dapati iainya berpunca daripada sikap yang tidak mengambil endah kemerbahayaan mercun ini.

Banyak juga kes-kes yang melibatkan rampasan bahan-bahan mercun ini yang dibuat oleh pihak yang berkepentingan dan bertangjawab seperti Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan pihak polis. Pelbagai jenis mercun yang dirampas sehinggakan mercun yang seakan-akan bentuk kelapa yang boleh mendentumkan bunyi sejauh satu kilometer dirampas di Kampung Paya Besar, Beseri oleh Pencegah Penyeludupan (UPP) Padang Besar yang dianggarkan kesemua mercun dan bunga api tersebut bernilai kira-kira RM5,000. Bukan sekadar itu sahaja sempadan Malaysia dan Thailand dijadikan tempat menyeludup mercun secara berleluasa apabila pihak yang tidak bertanggungjawab sanggup mengagadai maruah semata-mata untuk meraih keuntungan. Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Kedah dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) berjaya melumpuhkan cubaan menyeludup mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM10,000. Penyeludup cuba mengaburi mata pihak bertanggungjawab dengan mengubah suai lantai dan dinding tiga buah lori pikap semata-mata untuk menyeludup mercun dan bunga api bagi mengelakkan diketahui pihak berwajib. Di Johor Bharu mercun dan bunga api bernilai RM581,372.50 dirampas oleh pihak kastam pada 9 september 2008 dan hari sebelumnya Polis Negeri Melaka berjaya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai lebih RM20,000 daripada tiga lelaki di tiga tempat berasingan dalam operasi mencegah penjualan dan pemilikan bahan larangan itu.

Jualan-jualan mercun ini seringkali dijual di bazar-bazar Ramadhan ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Dengan berbekalkan beg yang penuh berisi mercun dan bunga api pihak penjual menjual mercun tersebut di sekitar bazar Ramadhan. Jika dikesan oleh pihak bertangjawab, mereka mudah untuk melarikan diri kerana beg yang dibawa memudahkan pergerakan mereka secara efisyen. Bukan sahaja di bazar Ramadhan, ada juga masyarakat yang menjual mercun kepada golongan kanak-kanak di dalam rumah supaya mengaburi mata pihak bertangjawab seperti polis. Tindakan licik ini menyukarkan pihak-pihak berwajib untuk menjalankan tugas dengan sempurna kecuali dengan maklumat orang awam dan masyarakat. Mercun-mercun ini juga dijual dengan harga yang murah sehinggakan kanak-kanak mampu membelinya dengan menggunakan wang perbelanjaan yang diberikan oleh ibu bapa. Mana tidaknya mercun bola yang mampu menghancurkan jari dijual dengan harga sekitar RM 1 untuk tiga biji sahaja.

Punca berlakunya masalah mercun yang berleluasa adalah masalah sikap masyarakat yang tidak mahu mengambil peduli isu ini, sehingga kejadian ngeri itu menghantui keluarga mereka barulah mereka mahu mengambil tindakan. Bukan sekadar itu sahaja, pendedahan tentang kemerbahayaan mercun ini juga kurang didedahkan oleh pihak media secara terperinci seperti kartun-kartun dan iklan-iklan yang mempengaruhi kanak-kanak. Sekolah yang menjadi rumah kedua juga kurang berperanan menyedarkan kanak-kanak dan murid sekolah tentang merbahanya mercun secara kritikal agar tertanam di minda mereka bahawa mercun wajib dijauhi agar nyawa dan kesihatan dihargai.
Kesan yang menelusuri dikala mercun membakar dan meletup sudah diberitahu secara ringkas dalam huraian kes di atas, tetapi persoalan yang paling katara adalah persoalan sejauh mana mercun memberi kesan kepada kehidupan seharian. Mercun juga bisa dan boleh membakar rumah seperti yang berlaku di PPR Hiliran Ampang beberapa tahun yang lalu dikala menjelang 17 Ramadhan. Selain itu jiran tetangga sememangnya marah dengan tindakan membakar mercun diwaktu malam hari kerana mengganggu anak kecil yang mahu dibuai lena dan lebih dasyat lagi ada yang sanggup membakar mercun sewaktu masyarakat Islam bersolat terawih sehingga ada yang terkejut kerana dentumannya tersangat kuat.
Kesan dari sudut kesihatan tidak dapat disangkal lagi yang mana DR. Irfan Mohamad Pensyarah Jabatan Otorinolaringologi (ENT) HUSM, Kelantan menyatakan bahawa mercun mengancam sel deria dengar masyarakat. Beliau menyatakan bahawa mercun mengeluarkan bunyi pada tahap desibel yang melampau, bukan dalam julat yang selesa untuk telinga manusia normal mendengarnya. Beliau menambah lagi jika bunyi ini didengar secara berulang-ulang dalam tempoh masa yang lama maka kerosakan yang berlaku boleh menjadi kekal (permanent threshold shift) pada deria dengar kita.
Walaupun banyak cara dilakukan oleh kerajaan dan juga masyarakat, masalah mercun ini sukar untuk diatasi secara total kerana taman Ramadahan yang menjelang pasti sahaja ada peristiwa pilu yang menbabitkan mercun ini. Bagi mengelakkan penjualan mercun secara berleluasa di Malaysia seharusnya cadangan Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandaraya Islam (MPKB-BRI) yang akan mengenakan kompaun maksimum RM500 terhadap peniaga yang menjual mercun dan bunga api secara haram dijadikan asas agar penjual mercun tidak berani menjual mercun lagi, bukan sekadar hanya cadangan sahaja tetapi seharusnya pihak berkuasa tempatan setiap daerah di Malaysia menjadikan cadangan ini sebagai perkara sebenar dan diadaptasikan dan diimplimentasikan di daerah masing-masing.
Terlalu banyak peruntukan undang-undang berkenaan dengan mercun ini seperti Seksyen 74, Peraturan-peraturan Bahan Letupan 1923 yang boleh disabitkan denda tidak melebihi RM300. Bukan itu sahaja Pelbagai usaha diambil kerajaan untuk mengatasi masalah ini melalui Akta Bahan Letupan 1957 yang mana Seksyen 4 (2) memperuntukkan bahawa sesiapa yang bersalah mengilang, memiliki dan mengimport mercun atau bunga api, boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya. Persoalannya sejauh mana penguatkuasaan akta dan undang-undang ini dilaksanakan. Cadangan S. M. Mohamed Idris, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang dengan menyatakan bahawa peruntukan Akta Letupan ini haruslah dipinda dengan meletakkan hukuman penjara mandatori bagi penyeludup termasuk rampasan harta dan asetnya dilihat sebagai cadangan yang bernas. Ini berikutan kes mercun yang berleluasa pada masa kini menjerat kehidupan kanak-kanak ke dalam lembah kemerbahayaan. Seharusnya segala undang-undang yang menjamin kemaslahatan umat dalam isu mercun ini mestilah diperketat dan dilaksanakan dengan tegas oleh semua pihak yang berkenaan. Ketua Pengarah Kastam, Datuk Abdul Rahman Abdul Hamid menyatakan bahawa ibu bapa yang membiarkan anak mereka bermain mercun akan dikenakan tindakan Akta Kastam 1967 dan kompaun minimum RM100 akan dikenakan kerana membiarkan anak bermain mercun. Penyelesian yang terpenting adalah sikap dan peranan ibu bapa bagi mengawal anak-anak di dalam jagaan supaya menjauhi barangan durjana mercun yang boleh menggugat masa depan meraka.
Di dalam islam sendiri meletakkan garis panduan untuk umat manusia supaya berhati-hati dan berwaspada daripada berada di lembah yang sia-sia di mana termaktub di dalam surah Al-Baqarah 195 bermaksud:
“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik”.
Sewajibnya ayat ini dijadikan teras kehidupan umat Islam pada masa kini disetiap peringkat masyarakat agar yang dewasa dapat menegur si kanak-kanak supaya menjauhi perkara yang merbahaya dan sia-sia. Kita selaku umat Islam perlu menanamkan di dalam pemikiran kita bahawa kemudaratan haruslah dijauhi yang ebrtepatan dengan kaedah Qawaid Fiqhiah iaitu (Al-darar yuzal) bermaksud kemudaratan perlu dijauhi. Nyawa kita selaku manusia harus dan wajib dihargai keran mercun yang merbahaya ini mampu meragut nyawa berlandaskan maqasid syariah nyawa wajib diperlihara dan dijaga sebaik mungkin agar mudah mengabdikan diri kepada Ilahi.

ZULZAIDI BIN MAHMOD
Jabatan Syariah Dan Undang-Undang,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya

Merangkap:
Exco Akademik Dan Intelektual,
Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya


0125002954/0162201456

 

Posted by Zulzaidi

 

Posted by Zulzaidi

DALAM SITUASI EKONOMI SEMASA ADAKAH PERLU KITA LEBIH BERHEMAH KETIKA BERBELANJA DI BAZAAR RAMADAN ATAU MENIKMATI BUFFET RAMADHAN DI HOTEL

Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa kita menyaksikan volatiliti pasaran kewangan global serta harga makanan dan komoditi terus meningkat yang mana secara langsung meningkatkan tekanan inflasi serta menjejaskan ekonomi global.

Kenyataan ini di bawah Laporan Ekonomi 2008/2009 dikeluarkan sewaktu pembentangan bajet 2009 sebelum melangakah ke bulan Ramadhan. Masyarakat Malaysia kerapkali berada dalam keadaan resah akibat masalah ekonomi yang tidak menentu sehingga fikiran jadi buntu akibat kenaikan harga beras, penyorokan minyak masak dan yang terbaru kenaikan harga minyak yang melambung tinggi di pasaran global. Bajet 2009 juga mengajar kita berjimat cermat dalam situsi harga barang yang kian meningkat ini.

Dalam situasi ini Ramadan tetap datang mengunjungi umat manusia yang menjadi landasan agar umat manusia berfikir secara kritis dan kritikal dalam soal dunia dan akhirat. Bulan Ramadan yang di gelar bulan mulia (Ramadan Karim) kerana terdapat di dalamnya penurunan ayat suci Al-Quran, peperangan badar serta sebagai bulan memperbanyakkan amalan ibadah seperti membaca Al-Quran, berqiamulail, bersedekah, beriktikaf dan beramal jariah. Tetapi umat manusia lupa dan alpa sehingga mencalit bibit-bibit hitam dalam Taman Ramadan dengan perbuatan yang dinamakan membazir.

Seharusnya bulan Ramadan ini dihormati dan diagungkan kerana dengan puasa yang diwajibkan adalah untuk melihat sejauh mana keperitan dan siksanya menahan lapar dan dahaga seperti yang dirasai oleh para fakir miskin. Tetapi keperitan ini tidak dirasai, kenikmatan dan kelazatan yang melampaui telah mengahakis dan mengikis sifat bersederhana yang patut diadaptasikan dalam kehidupan. Dalam buku Ajaibnya PUASA Senjata Mengawal Nafsu karangan Adil Akhyara membawa kita supaya penghayatan nilai Puasa yang tinggi untuk menghayati kemanfaatan puasa seperti mengawal nafsu, menjaga kesihatan, mendisiplinkan diri dan melatih kesabaran.

Faktor yang menyebabkan masyarakat melangkah ke arah perspektif yang salah dalam Taman Ramadan ini kerana sikap yang tidak dikawal dengan Al-Quran. Masyarakat mahu menunjuk bahawa dengan memakan makanan di Hotel yang berbintang-bintang sebagai stlye dan gaya hidup masa kini yang songsang. Kelangsungan dalam pengertian Ramadan juga tidak menampakkan kejelasan.

Bulan yang sepatutnya dijadikan bulan tarbiyah dicalit dengan pengertian yang salah di mana pembaziran dan gaya hidup dijadikan maksud menggantikan lapar dan dahaga. Bukan sekadar itu sahaja, Islam yang diamalkan hanya separuh dan separuh lagi amalan hawa nafsu dan Syaitan. Amalan sedemikian inilah yang menyentap kesedaran umat Islam betapa perit jerihnya berlapar dan dahaga secara sunnah. Bagi segelintir mahasiswa yang belajar di Menara Gading juga seringkali meletakkan nilai-nilai negatif dalam Taman Ramadan yang dilalui ini. Sehingga ada yang sanggup menggunakan duit biasiswa dan pinjaman untuk membazir di Taman Ramadhan ini dengan berbelanja di tempat yang ekslusif dan mahal lebih-lebih lagi yang berpacaran (couple).

Faktor terbesar penyumbang kepada masalah ketidakkeruan mayarakat dalam perbelanjaan adalah kerana pengiklanan yang begitu efektif sehingga terliur umat Islam melihatnya. Billboard, poster, iklan internet, iklan radio dan iklan televisyen memainkan peranan yang begitu besar dalam pengaruh beli masyarakat. Sebagai contoh iklan berbuka puasa di hotel yang menunjukkan hidangan yang begitu banyak dan enak serta diberi dengan harga yang murah menyebabkan umat Islam lebih terkehadapan untuk menikmatai Juadah di hotel tersebut. Di Riyadh Arab Saudi pendudukanya sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk menikmati berbuka puasa di hotel walaupun dengan harga yang mahal. Pembantu pengurus jualan dan pemasaran di Hotel Sheraton di Riyadh, Waleed Haidar, berkata bufet berbuka puasa di hotel berkenaan ditawarkan pada harga 155 riyal (RM140) tahun ini, kenaikan sebanyak 15 peratus berbanding tahun lalu. Jika di Riyadh umat Islam sebegitu, apatah lagi di Malaysia yang mana masyarakatnya sanggup melakukan demikian semata-mata menjamah makanan yang lebih dari sepatutnya.

Kesan daripada gaya hidup ini mengheret umat Islam terutamanya ke arah yang tidak Islamik. Bukan sekadar pembaziran sahaja yang diamalkan tetapi persoalan yang lebih penting adalah kesihatan yang sempurna. Jika kita lihat pada bulan Ramadan inilah bazar yang dikunjungi sesak dengan pengguna yang mencari juadah berbuka, tetapi kerana gerai yang terlalu banyak maka rambang mata pengguna dibuatnya. Duit dihamburkan tidak terasa keluar daripada kocek seluar semata-mata membeli makanan yang tidak sekadarnya. Apa sahaja yang dilihat dibeli tanpa berfikir dua kali seperti ayam panggang, satay, ikan bakar, kuih muih yang berbagai jenis dan sebagainya. Tetapi kita tidak sedar bahawa keperluan makanan yang dibeli kebanyakannya kurang berkhasiat.

Pastinya kita sedar perniaga yang berorientasikan keuntungan hanya mahukan jualannya laris sedangkan masyarakat yang faham orientasi pembelian yang sebenar adalah kesihatan yang jitu. Di dalam buku Panduan Cap bertajuk Mengesan Gula Tersembunyi Dalam Makanan menyatakan 78 cara gula boleh menjejaskan anda seperti pendedahan kepada penyakit yang berisiko tinggi seperti kegemukan, kencing manis, penyakit jantung yang mana kandungan gula yang tinggi meningkkatkan gula darah dan paras insulin.


Pastinya Kuih-muih dan minuman yang dijual kebanyakannya juga mengandungi gula yang berlebihan yang mampu menyebabkan masalah kesihatan seperti yang disebut di atas. Penjualan produk-produk yang kurang berkhasiat ini juga lebih agresif dalam bulan Ramadan.

Maka Taman Ramadan yang dilalui ini seharus dihayati dengan nilai-nilai Islam. Al-Quran dan sunnah dijadikan pedoman yang mana dapat menjadi perisai yang kuat dalam menghadapi hawa nafsu yang memuncak pada bulan ramadan ini. Perbelanjaan juga haruslah cermat dan berjimat agar naluri insani lebih terkehadapan. Pembaziran sewajibnya dielakkan dan pemakanan secara Islam juga perlu di adaptasikan dalam kehidupan seharian dalam bulan Ramadan dan selepasnya.

Karl Marx, ahli falsafah Jerman pernah menyatakan bahawa pertentangan, kekacauan di antara manusia berpunca daripada perkara perut. Pernyataan ini menyetap umat Islam kerana orang bukan Islam pun dapat menghayati bahawa perut janganlah terlalu diisi dengan makanan yang sia-sia. Perkara ini dapat mengimplimentasikan dengan kewajipan berpuasa. Penghayatan kita perlulah sejajar dengan ayat Al-Quran Surah Al-A’raaf ayat 31 yang bermaksud “ Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap memasuki masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”

ZULZAIDI BIN MAHMOD

Mahasiswa Tahun Akhir

(Ijazah Sarjana Muda Syariah Dan Undang-Undang)

Jabatan Syariah Dan Undang-Undang

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Merangkap:

Exco Akademik Dan Intelektual

Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam,

Univerisiti Malaya

Di Alamat:

Bilik Sekreteriat PMAPIUM

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

0125002954/ 0162201456

matnyum@yahoo.com

860904-56-6593

 

Posted by Zulzaidi

Mengenali buku, pengarang terlaris sepanjang zaman

AL-Quran dan Injil adalah dua kitab paling banyak dibaca oleh manusia zaman berzaman. Kitab Injil yang mula diterbitkan pada sekitar 1451 sampai kini dianggarkan telah dicetak sebanyak enam bilion naskhah. Tidak ada sesiapapun yang mengetahui berapa jumlah al-Quran atau Injil yang dicetak, terjual atau yang dibahagi-bahagikan.

The Bible Society menganggarkan jumlah Injil yang dicetak antara 1816-1975 sekitar 2.5 bilion naskhah. Kajian terbaru menunjukkan angka ini mencecah 6 bilion naskhah dalam lebih dua ribu bahasa dan dialek.

Di Kota Mekah sahaja, sejak berabad-abad lamanya al-Quran terjual berjuta-juta naskhah pada setiap musim haji. Mekah dikunjungi sepanjang masa dalam setahun oleh orang Islam yang menunaikan Umrah. Jika diambil kira jualan dan edarannya di seluruh dunia Islam jumlah cetakannya pada bila-bila masa boleh mengatasi angka cetakan dan edaran Injil.

Apakah buku terlaris tulisan manusia dalam rekod peradaban manusia sejak dulu sampai sekarang? Buku bagaimana yang digilai pembaca dan peminat buku? Berapakah jumlah cetakannya? Siapakah penulis atau penerbit buku-buku ini.

Soalan-soalan ini pada asasnya sukar dijawab. Siapa pun tidak mengetahui dengan tepat buku mana yang paling laris dijual kerana kita tidak mempunyai rekod tentang buku yang meliputi semua zaman. Jawapan yang ada cumalah tekaan terbaik berdasarkan anggaran oleh ahli sejarah dan pakar perbukuan dan penerbitan.

Quotations from Chairman Mao direkodkan telah diterbitkan sebanyak 900 juta naskhah sejak mula diterbitkan empat dekad lalu pada 1966. Ini adalah sebuah buku buah fikiran manusia yang tertinggi jualannya setakat ini. Buku yang dikenal juga dengan nama Little Red Book ini menyimpan ungkapan Mao Tse Tung, pemimpin Komunis China dan menjadi buku yang wajib dimiliki dan dibaca oleh setiap orang dewasa di China antara 1966-1971.

Buku The American Spelling Book mencecah angka 90 juta naskhah. Mula terbit pada 1783, buku teks pendidikan oleh Noah Webster (1758-1843), iaitu penulis yang terkenal dengan jolokan The American man of letters ini kekal sebagai buku terlaris di Amerika Syarikat sepanjang abad ke-19.

Buku tentang fakta dan maklumat juga sering digilai oleh pembaca buku. Justeru, pada tangga berikutnya adalah buku Guiness Book of World Records oleh Mark C. Young yang mencecah angka cetakan 90 juta naskhah. Mula terbit pada 1955, The Guinness Book of Records muncul sebagai pencapaian terbesar dalam bidang penerbitan mutakhir. Buku ini terbit secara tahunan mulai 1964 dan di UK sahaja telah terbit 37 edisi selain pelbagai edisi bahasa asing.

Demikian juga buku World Almanac yang dicetak sehingga 73.5 juta naskhah. Buku rujukan penting bagi penulis dan wartawan ini mulai terbit secara tahunan pada 1868. Buku ini bagaimanapun terhenti penerbitannya antara 1876-1886. Akan tetapi buku ini kekal sebagai buku rujukan tahunan terlaris sampai sekarang.

Tulisan Elbert Hubbard berjudul A Message to Garcia dicetak 40 juta naskhah. Buku yang pernah menjadi polemik ini berkisar pada isu hubungan buruh dan dalam beberapa tahun sejak mula diterbitkan pada 1899 telah mencecah angka jualan yang besar disebabkan ramai majikan di Amerika yang membelinya dalam jumlah yang besar untuk dibahagi-bahagikan kepada pekerja mereka.

Novel berjudul The Valley of the Dolls tulisan Jacqueline Susann (19211974) mungkin dapat dianggap sebagai novel terlaris dunia. Terbitan 1966 ini berkisar tentang seks, keganasan dan dadah.

Saingan terdekat novel ini adalah tulisan Margaret Mitchell, iaitu sebuah novel yang berjudul Gone With the Wind, yang mencecah 28 juta naskhah. Banyak novel lain yang mencapai angka 10 juta naskhah. Di Sepanyol, novel oleh Unamuno berjudul El rbol de la ciencia menjadi novel terlaris sejak mula diterbitkan.

Siapakah pula penulis buku terlaris dunia sepanjang zaman? Menurut Guinness World Records pengarang buku fiksyen terlaris adalah Agatha Christie yang mencatatkan jualan dua bilion naskah bagi jumlah keseluruhan judul buku tulisan beliau.

Penulis buku kanak-kanak juga telah mencatatkan pencapaian yang besar. Ren Goscinny dan Albert Uderzo menghasilkan watak komik Ast rix the Gaul pada 1959. Mereka menerbitkan 30 judul buku dengan jualan mencecah 25 juta naskhah. Georges R. (1907-1983), penulis dan ilustrator dari Belgium yang memakai nama pena Herg, menghasilkan watak komik Tintin pada 1929. Tintin muncul dalam bentuk buku mulai tahun 1948 dan menjadi popular di seluruh dunia sehingga diterjemahkan ke dalam 45 bahasa dan dialek. Jumlah jualan dan edaran tidak kurang daripada 160 juta naskhah.

Seorang lagi penulis buku kanak-kanak yang kaya raya dengan jualan bukunya ialah Enid Blyton. Jualan buku Noddy sahaja mencecah lebih 60 juta naskhah dan lebih 700 buku kanak-kanak yang dihasilkannya. UNESCO menganggarkan pada tahun 1960-an sahaja buku beliau mencecah 974 judul terjemahan. Jumlah keseluruhan cetakan buku beliau mencecah 100 juta naskhah dan menjadikan Enid Blyton sebagai penulis buku terlaris dalam bahasa Inggeris.

Jumlah jualan dua buku klasik oleh Lewis Carroll iaitu Alice's Adventures in Wonderland dan Alice Through the Looking Glass, tidak terkira banyaknya

. Bagaimanapun, dengan dua buku ini sahaja telah berjaya meletakkan nama beliau dalam kalangan 20 buku kanak-kanak terlaris sepanjang zaman.

Buku terlaris kanak-kanak yang lain termasuklah The Poky Little Puppy yang menduduki tangga teratas dalam senarai buku kulit keras dengan jualan mencecah 14,898,341 naskhah manakala buku berjudul Charlotte's Web yang mencapai jualan 9,899,696 naskhah mengungguli tangga teratas buku kulit nipis.

Mendahului senarai buku mutakhir yang terlaris adalah The Seven Habits of Highly Effective People yang mencatatkan jualan 1.5 juta naskhah. Demikianlah, buku akan kekal menjadi teman sejati bagi setiap manusia yang cintakan ilmu. Buku menjadi cermin diri yang membentuk citra seorang manusia melalui pembacaan.

 

Posted by Zulzaidi





RAMADHAN YANG DATANG: KEMBALIKAN KEGEMILANGAN ISLAM DAN PERBAHARUI PERIBADI MUSLIM INSANI

Apabila disebut Ramadhan masyarakat Malaysia rata-rata tidak kira jenis agama atau bangsa sudah mengetahui bahawa Ramadhan merupakan bulan bagi Ummat Islam berpuasa. Islam meletakkan Ramadhan sebagai satu platform untuk memurnikan hidup Muslim ke arah ummat yang besederhana. Tradisi masyarakat Malaysia yang beragama Islam mula beralih arah tentang pemahaman konsep Ramadhan yang dilalui dari pelbagai sudut termasuklah akhlak, ibadat, perbelanjaan dan pemakanan.
Bulan Ramadhan sangat sinonim dikatakan sebagai bulan memperbanyakkan amalan ibadah seperti membaca Al-Quran, berqiamulail, bersedekah, beriktikaf dan beramal jariah dengan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, fakir miskin dan anak yatim. Menjadi persoalan kepada kita selaku Ummat Islam adakah bulan Ramadhan ini hanya dijadikan bulan berbelanja, bulan berpesta makanan atau bulan mendidik diri ke arah muslim bertaqwa?.
Bazaar Ramadhan mula tumbuh seperti cendawan selepas hujan, makanan-makanan yang pelik dijual oleh perniaga pada bulan Ramadhan ini adalah untuk meraih keuntungan dan mengumpul wang. Bazaar Ramadhan ini dijadikan seperti sebuah pesta membeli belah makanan kepada masyarakat. Nilai-nilai Ramadhan seperti besederhana, qanaah telah dipinggir dan dikesampingkan, erti Ramadhan juga tidak dapat dihayati dengan sempurna. Mana tidaknya maksud puasa juga lari konsep sebenar. Dalam kitab Fiqh Manhaj Al-Shafie mentakrifkan puasa dari sudut syarak sebagai ”menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari”

Selaku Ummat Islam puasa yang menahan diri dari lapar dan dahaga adalah supaya kita dapat menghayati kehidupan para fakir miskin yang kelaparan, dapat mengkoreksi diri betapa sakit dan pedihnya apabila berlapar dahaga. Tetapi malangnya tabiat Ummat Islam pada bulan Ramadhan ini tidak langsung mencerminkan nilai-nilai sebenar Islam. “Ayah! petang ni kita nak beli apa di pasar Ramadhan untuk berbuka puasa nanti?” tanya seorang budak berumur sepuluh tahun kepada bapanya. “Haikal boleh beli makanan apa yang Haikal mahu, Haikal kan lapar dari pagi tidak makan” jawab ayah kepada anaknya itu. Dialog sebegini sering terjadi dalam masyarakat Islam pada hari ini di Malaysia, erti makan juga sudah menyimpang jauh kerana kehendak dan kekenyangan menjadi teras kepada nilai makan.
Amat menyedihkan apabila Ummat Islam berlumba-lumba membeli makanan berbuka puasa serakusnya, kadang-kadang duit di poket seperti air yang mengalir. Iftar (berbuka puasa) secara sunnah juga tidak diikuti, Ummat Islam mula melahap makanan seperti orang yang kebuluran yang tidak makan berbulan-bulan. Makan di tempat yang mewah seperti hotel, restoran dan café menjadi budaya dalam masyarakat kita untuk berpuka puasa. Makanan western food, satay, ayam pangang menjadi hidangan. Menjadi adat sebahagian Ummat Islam ini adalah meninggalkan sedikit sisa dalam pinggan yang dijamah kononnya itulah style masyarakat sekarang.

Paling menyedihkan apabila ada sebahagian Ummat Islam yang menjejaki jalan syaitan dengan membazir walaupun syaitan diikat dan dipenjara pada bulan Ramadhan. Makanan iftar yang tersisa dengan banyaknya tidak menjadi ikhtibar, sedangkan ummat manusia seperti di Habsyah, Afrika kelaparan yang amat memerlukan makanan untuk hidup.
Tradisi di Malaysia juga membuatkan Ummat Islam menjauhi erti sebenar Puasa, selepas tarawikh sekali lagi jemaah yang hadir ke masjid atau surau dimorehkan dengan makanan-makanan seperti kuih muih, laksa, roti jala, bihun sup dan sebagainya. Jamuan moreh ini selalunya tersisa dan dibuang dalam tong sampah menandakan sikap membazir. Amat menyedihkan kerana cukup banyak masjid-masjid dan surau-surau tidak memurnikan kesederhanan sedangkan tempat tersebut sepatutnya dijadikan syiar bagi ummat manusia mengambil ikhtibar. Ummat Islam di Malaysia sememangnya diajar untuk makan dan terus makan tanpa memikirkan kehidupan masyarakat yang kebuluran di luar sana. Dilaporkan pada 2006, makanan yang terbuang menyamai hampir sebahagian daripada pembuangan sisa kumbahan negara. Dalam erti lain, hampir 20,000 tan sisa kumbahan yang dijana setiap hari, 45 peratus daripadanya makanan terbuang. Cuba kita fikirkan selaku ummat Islam dalam masa 30 hari puasa di bulan Ramadhan berapa banyak sisa yang makanan terbuang Amat menyedihkan bahawa Ramadhan yang dilalui hanyalah sebagai ritual dan adat sahaja bagi Ummat Islam pada masa kini tanpa menghayati nilai ibadat yang sepatutnya dilalui.
Maka pada Ramadhan yang datang ini seharusnya kita memperbaharui peribadi ke arah yang lebih rabbani. Ayuh ummat Islam kita bangkit menghidupkan Ramadhan Al-Mubarak supaya Ramadhan kali ini lebih baik dari yang lepas.