Posted by Zulzaidi





MAHASISWA UNDANG-UNDANG: CADANGAN PENGGABUNGAN MAHKAMAH SYARIAH & SIVIL PERLU PENELITIAN MENDALAM

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Mahasiswa-mahasiswi dari jurusan undang-undang hari ini menuntut supaya cadangan untuk menggabungkan Mahkamah Syariah dan Sivil di negara ini sepertimana yang dicadangkan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad semalam perlu menerusi kajian dan penelitian yang mendalam sebelum dilaksanakan.

Menurut Presiden Persatuan Mahasiswa Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sesi 07/08, Mohd Faridzul M. Nasaruddin berkata cadangan tersebut secara umumnya adalah positif, tetapi memerlukan suatu proses penelitian yang terperinci terlebih dahulu.

Ini kerana menurut beliau pelaksanaan cadangan tersebut tidak mudah untuk dilaksanakan selain akan menimbulkan beberapa masalah dan persoalan lain.

”Realitinya negara ini masih tidak mempunyai undang-undang syariah yang seragam di setiap negeri. Maka timbul kecelaruan dan persoalan berkenaan undang-undang syariah yang manakah yang akan digunapakai jika proses penggabungan mahkamah sepertimana yang dicadangkan benar-benar berlaku” katanya.

”Selain itu, adakah undang-undang Syariah yang akan diimplementasikan itu hanya sekadar berkaitan dengan undang-undang diri atau undang-undang syariah yang sebenar yang merangkumi aspek jenayah sepertimana yang terkandung di dalam Kanun Keseksaan?” ujar beliau lagi.

Beliau juga turut menjelaskan bahawa cadangan penggabungan tersebut pada hakikatnya bukanlah merupakan suatu isu yang besar. Sebaliknya isu pokok yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana kita mahu meningkatkan kembali keyakinan rakyat terhadap sistem Kehakiman Negara dan bagaimana kita mahu meningkatkan integriti dan kredibiliti di kalangan hakim-hakim di negara ini.

Dalam pada itu, menurut Presiden Lajnah Syariah & Undang-Undang, Universiti Malaya, Wan Mohd Amir Yusoff berpandangan bahawa cadangan penggabungan tersebut adalah tidak wajar. Ini kerana cadangan tersebut adalah semata-mata bermatlamatkan untuk melenyapkan dan menyekularkan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam secara perlahan-lahan dan senyap tanpa disedari.

Selain itu menurut beliau lagi, pengabungan kedua-dua mahkamah ini juga akan melahirkan Peguam Syarie dari kalangan orang bukan Islam. Ini akan memberikan kemudaratan kepada Agama Islam itu sendiri. Kesucian agama Islam juga akan ternoda.

”Kaedah-kaedah fiqh jelas menyebut bahawa asas atau maqasid sesuatu peraturan dikanunkan adalah untuk melenyepkan kemudaratan. Tetapi dengan adanya peguam-peguam syarie daripada kalangan bukan Islam akan menyebabkan wujudnya kemudaratan yang lebih parah” jelas beliau.

Dalam pada itu, menurut Ketua Penerangan Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATU PERAK), Ahmad Shahir Abdul Aziz pula menjelaskan bahawa secara umumnya cadangan penggabungan ini tidak perlu dilaksanakan tergesa-gesa. Ini kerana cadangan tersebut akan memberikan kesan ke atas undang-undang yang sedia ada itu sendiri. Sebagi contoh, pindaan, pembahuruan dan juga pemasuhan undang-undang yang terdahulu perlu dilakukan. Ini akan memakan masa yang lama dan kos yang tinggi.

”Sebaliknya apabila kita sudah selesaikan setiap isu dan masalah yang timbul serta berupaya menutup setiap lacuna yang ada dan kita memang benar-benar sudah bersedia ke arah itu, maka waktu itu barulah kita boleh realisasikannya” ujar beliau.

Manakala menurut Presiden Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) Mohd Faisal Mustaffa pula menyifatkan bahawa cadangan tersebut adalah baik untuk dilaksanakan sekiranya hanya hakim-hakim yang berkelulusan dari ijazah syariah sahaja yang dibenarkan menghakimi kes-kes yang berkaitan orang Islam.

Menurut beliau lagi sekiranya kes-kes berkaitan agama Islam dihakimi oleh hakim-hakim sivil sedangkan mereka tidak memahami hukum-hukum syarak akan menyebabkan hukuman yang diputuskan sama seperti yang berlaku ketika zaman pemerintahan British dahulu di mana kes-kes berkaitan orang Islam dihakimi tanpa mengambil kira hukum syarak sebagai landasan.

Selain itu, menurut mahasiswi Jabatan Syariah FPI Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mariatun Qibtiah Mohammad Jasni turut mahu cadangan tersebut diteliti terlebih dahulu. Ini kerana beliau bimbang sekiranya hasil daripada penggabungan itu akan melenyapkan keistimewaan mahkmah syariah itu sendiri.

Beliau menjelaskan bahawa kuasa yang tinggal bagi mahkamah syariah hanyalah sepertimana yang terkandung dalam Senarai 2, Senarai Negeri dan terhad kepada soal-soal perkahwinan, perceraian, tuntutan nafkah dan sebagainya. Oleh itu, hak dan kepentingan yang sedikit ini perlu dipertahankan demi kepentingan seluruh umat Islam

Sementara itu, menurut Koordinator Perundangan Syariah Teras Pengupayaan Melayu, Zulzaidi Mahmood ketika diminta mengulas isu yang sama berkata pengabungan kedua-dua mahkamah ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, iaitu mengenai Jadual Kesembilan, Senarai Dua, Senarai Negeri, di mana hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dan orang Islam termasuk Mahkamah Syariah adalah di bawah pegawasan Negeri.

”Mengabungkan Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil adalah tak wajar sama sekali. Ianya merupakan tindakan yang sia-sia ibarat menggabungkan minyak dan air. Sebagaimana dikatahui umum, Mahkamah Syariah adalah khusus untuk orang Islam sahaja, ianya berbeza dengan Mahkamah Sivil iaitu mahkamah untuk semua” jelas beliau lagi.-Mahasiswakini

This entry was posted on 2:42 AM . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

1 comments

Assalamu'alaikum wrt wbt

Harap saudara sihat wal 'afiat

Saya terkeliru dengan usaha penggabungan ini.

Pertama, bolehkah saudara menyatakan quotation bekas hakim yang mencadangkan penggabungan dua institusi ini?

Kedua, bagaimanakah kaedah pemurnian yang boleh kita gunakan supaya tidak lagi berlaku pertembungan jurisdiksi sepertimana yang berlaku sebelum ini?

Mior Isfandy Mior Azizan
http://miorisfandy.com
013 697 3646