Posted by Zulzaidi

NASIHATI PELAJAR PONTENG DENGAN AL-QURAN

Pelajar sekolah masakini seolah-olah kehilangan identiti sebagai seorang pelajar sekolah yang sepatutnya dari sudut pembelajaran dan perlakuan. Jika kita lihat dewasa ini perilaku pelajar sekolah seakan-akan sudah hilang kawalan dengan perlakuan seperti ponteng sekolah, merokok, menghidu gam, menghisap dadah, pembulian, pergaduhan, pencurian, gengsterisme, vandalism, seks bebas, keruntuhan moral dan sebagainya yang boleh dikategorikan sebagai masalah kehilangan identiti dan jatidiri.
Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan pembedahan masalah ponteng sekolah yang menjadi barah kepada pelajar sekolah disemua negeri di Malaysia. Jika kita mengkoreksi kes di Negeri Sembilan 17 Februari tahun ini yang mana seramai 14 pelajar sekolah tingkatan empat di kawasan rekreasi di daerah Rembau telah ditahan oleh pihak polis kerana barah ponteng ini. Kita tidak dapat nafikan bahawa barah ponteng ini semakin hari semakin menjadi-jadi sehinggakan murid sekolah rendah sanggup melakukan barah gila ini.
Sebelum kita mengupas perihal perlakuan ini harus kita selaku rakyat Malaysia memahami apa yang diinterpretasikan sebagai ponteng. Menurut Kamus Pelajar keluaran Dewan Bahasa Dan Pustaka mentakrifkan ponteng sebagai meninggalkan tugas atau tanggungjawab pelajaran tanpa kebenaran. Manakala menurut Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinasikan ponteng sebagai lari daripada tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran. Walau apa pun pendefinasian yang dibuat perlakuan ponteng lebih mudah difahami dalam ruang lingkup pelajar sekolah adalah meninggalkan tanggungjawab yang dipikul di atas bahu pelajar iaitu hadir ke sekolah untuk belajar dengan mengikut lunas-lunas peraturan yang dibuat oleh sekolah atau kegagalan pelajar untuk hadir ke sekolah secara sengaja tanpa alasan yang tepat dan munasabah.
Masalah yang timbul berkenaan barah ponteng ini adalah disebabkan beberapa faktor yang menjadi sebab musabab pelajar sekolah melakukan perlakuan sedemikian. Antara faktor utama yang menjadi punca masalah ini adalah pengaruh rakan-rakan sebaya yang boleh memusnahkan masa depan pelajar sekolah ini. Ponteng ini boleh dikatakan sebagai ketagihan yang merantai diri pelajar masa kini kerana jika sekali pelajar melakukan perbuatan ini, pasti fenomena ponteng akan berulang dan terus berulang dengan kegagalan dalam pelajaran sebagai kesudahannya.
Kegagalan menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru juga menjadi faktor besar penyumbang masalah ini. Sikap malas yang dibajai oleh pelajar itu sendiri berakar umbikan pengaruh rakan-rakan sebaya yang mempunyai sikap yang sama. Datuk Abdullah Muhammad, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri (JPNS) menyatakan bahawa pelajar yang gagal menyiapkan kerja rumah yang diberikan, sengaja mengambil jalan ponteng sekolah kerana takut dimarahi guru.
Jika kita merungkai permasalahan ini pasti kita akur bahawa persekitaran kebanyakan sekolah masakini kurang kondusif atau kita katakan sebagai suasana yang membosankan. Jika kita perhatikan murid-murid prasekolah yang mana mereka amat menyukai suasana persekolahan tersebut kerana keseronokan dan keriangan belajar berorientasikan “keilmuan yang tidak membosankan“ atau kita katakan sebagai “Taman Ilmu”. Tapi masalah yang timbul di kebanyakan sekolah-sekolah adalah suasana sekolah yang seakan tanah perkuburan dan bukannya taman keilmuan.
Ada juga di antara pelajar yang ponteng disebabkan suasana segelintir pelajar sekolah bersikap gengsterisme yang mana menyebabkan pelajar-pelajar lain dibuli dan dijadikan tempat melepaskan geram. Perkara ini menyebabkan pelajar-pelajar takut untuk hadir ke sekolah atas alasan ini.
Watak guru yang garang dan membosankan menyebabkan pelajar sekolah merasa bosan untuk belajar disekolah, sedangkan watak guru sangat berperanan menarik pelajar untuk menyukai subjek yang diajar dan guru yang mengajar.
Paling menyentap suasana masakini adalah teknologi yang semakin dewasa terlampau cepat seperti game, laman-laman web dan sebagainya. Pelajar sekarang yang celik IT akan berfikiran lebih terkehadapan dari semua sudut termasuklah dari sudut hiburan hedonisme yang menyebabkan mereka lupa dan alpa peranan sebenar mereka iaitu pergi ke sekolah untuk belajar. Maka jalan yang dilalui mereka untuk terus mengikuti teknologi yang menghilangkan kewarasan akal mereka adalah membuang masa di cyber café di setiap waktu termasuklah sanggup berponteng sewaktu masa sekolah agar keseronokan mereka akan dikecapi. S.M. Mohamed Idris, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang menyatakan bahawa cyber café menjadi tempat pelajar-pelajar sekolah membuang masa atau lebih sinonim dengan istilah ponteng. Masyarakat menggaru kepala melihat gelagat pelajar-pelajar ini yang mana jika rakyat Malaysia yang prihatin pasti melihat di cyber-cyber café ada segelintir pelajar yang masih beruniform sekolah bermain computer di dalam cyber café itu. Perkara ini seakan tidak berkesudahan kerana walaupun terdapat “Garis Panduan Pengawalan Perniagaan Pusat Siber Dan Cyber Café” yang menyatakan pelajar yang berpakaian seragam tidak dibenarkan masuk ke dalam cyber café, tetapi masalah yang timbul penguatkuasaan garis panduan seperti tidak dilaksanakan.
Seharusnya bagi mengatasi masalah bahana ponteng ini dari terus berleluasa dan semakin menjadi-jadi, semua pihak harus berganding bahu merangka dan melaksanakan beberapa beban tanggungjawab agar masalah ini dapat diatasi. Sememangnya memakan masa yang lama untuk menghapuskan masalah ini, tetapi sekurang-kurangnya beberapa rangka kerja perancangan teliti dibuat agar masalah ini tidak terus menjadi barah dalam masyarakat.
YDP Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya saudara Izzat Amin Mohd Nasir menyatakan bahawa peranan yang terpenting dan individu yang terpenting dalam menyelesaikan masalah bersangkutan anak-anak adalah ibu bapa. Menukilkan beberapa panduan dalam Buku karya Abdullah Nasih Ulwan bertajuk “Tarbiyatul Aulad” menyedarkan kepada ibu bapa betapa beratnya beban tugas ibu dan bapa ini. Peranan yang dimainkan adalah bermula daripada hari pertama kelahiran anak ke dunia dengan mengajarkan dia tentang tanggungjawabnya mengenal Tuhan agar kehidupan dewasanya lebih memahami erti ketuhanan yang menyebabkan anak yang didik menjadi sempurna.
Dalam Surah Lukman ayat ke 13, Allah menukilkan perihal tanggungjawab seorang bapa dalam mendidik anak yang yang mana bermaksud:
“Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya, “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar”.
Daripada ayat ini Saudara Izzat Amin Mohd Nasir menyatakan bahawa peranan mendidik anak adalah peranan yang sangat besar. Bagi kes ponteng, ibu bapa perlulah memantau aktiviti anak-anak dengan perlakuan mereka. Ibu bapa pastinya sedia maklum perubahan demi perubahan yang dialami oleh anak yang dikandung untuk memastikan perlakuan anak tersebut benar-benar bersikap mahmudah dan bukannya mazmumah. Sekiranya perilaku sang anak mencurigakan, pihak ibu bapa harus terus berbicara dan berkongsi masalah yang dihadapi dengan pelajar yang bergelar anak itu. Sekiranya tidak mendapat sebarang maklumat maka peranan ibu bapa adalah berjumpa dengan guru yang berautoriti sama ada guru kelas atau guru disiplin untuk memastikan tingkah laku anak. Kaedah paling tepat dalam menyelesaikan bahana ponteng ini adalah dengan menanam sikap bencikan perbuatan terkutuk ini sedari kecil agar perasaan yang ditanam ini akan tumbuh subur sehingga pelajar tidak akan melakukan ponteng.
Selain peranan ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sekolah hendaklah lebih peka dalam menangani masalah ini. Hubungan yang erat di antara kesatuan guru dan PIBG membolehkan masalah ini dapat dirangka pelan tindakan diperingkat sekolah agar pelajar yang terlibat ini sedar betapa beberapa pentingnya nilai keilmuan di dalam waktu persekolahan.

Guru-guru perlulah lebih bersikap “friendly” dengan pelajar agar pelajar lebih erat dengan guru-guru sehingga memungkinkan pelajar senang untuk menyatakan masalah mereka kepada guru yang dipercayai. Masalah inilah yang melingkari kebanyakan guru-guru yang mana lebih serius dan garang menyebabkan pelajar merasa pelajaran yang dipelajari amat membebankan dan membosankan.
Institusi persekolahan adalah institusi yang amat berperanan dalam menyelesaikan masalah ponteng sekolah ini. Tertarik dengan disiplin yang ditunjukkan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar Hilir Kuantan Pahang yang mana sebelum sesi kelas dimulakan setiap jumaat semua pelajar akan membaca yasin. Pengetuanya Ibrahim Mat Akil menyatakan kesan paling ketara yang dapat dilihat menerusi program bacaan Yasin itu, pelajar yang dipanggil selepas melakukan kesalahan akan mudah menerima nasihat sekali gus tidak lagi mengulangi kesalahan yang dilakukan. Abdul Qayyum Bin M. Suhaimi pelajar Sejarah dan Tamadun Islam Universiti Malaya merasakan bahawa tindakan sekolah tersebut amat tepat dalam menyelesaikan masalah ponteng ini. Ini berikutan Al-Quran sememangnya mampu untuk melembutkan hati manusia yang keras. Beliau juga menyatakan fakta ini telah terbukti apabila sejarah membuktikan Saidina Umar Al-Khattab yang berjiwa keras sebelum Islam boleh lembut hanya dengan mendengar alunan ayat-ayat suci Al-Quran sehingga beliau mengucap kalimat Shahadah tanda Allah melembutkan hatinya dengan sebab musabah Al-Quran. Abdul Qayyum menambah bahawa setiap sekolah di Malaysia yang mempunyai pelajar yang beragama Islam, kaedah ini dianggap sangat berkesan dengan cara ayat-ayat suci ini akan dibaca bersama-sama dengan guru, dan guru akan mentafsirkan maksud ayat tersebut. Kaedah ini tidak memakan masa yang begitu lama dan hanya sekitar 5 minit hingga ke 10 minit.
Masyarakat juga perlulah berganding bahu dalam menyelesaikan masalah ponteng ini dengan bekerjasama dengan pihak yang bertanggungjawab seperti pihak sekolah, pihak polis dan keluarga pelajar tersebut. Ini kerana dengan peranan masyarakatlah sesuatu masalah yang timbul dapat diatasi dengan cara yang cepat.
Penulis tertarik untuk menyatakan dalam menyelesaikan masalah ponteng ini, semua pihak haruslah berperanan dalam menjuarai isu ini agar anak bangsa yang bakal memimpin negara Malaysia masa hadapan tidak akan sesekali melakukan masalah ponteng. Harus kita hayati bahawa cara nasihat kepada pelajar ini dengan cara yang berhikmah pasti pelajar tersebut kembali ke landasan tanggungjawb sebagai pelajar yang harus dipikul. Harus kita renungkan firman Allah s.w.t dalam surah A-‘Ashr ayat 1 hingga 3 yang bermaksud “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran”.

ZULZAIDI BIN MAHMOD
EXCO AKADEMIK DAN INTELEKTUAL
PERSATUAN MAHASISWA AKADEMI PENGAJIAN ISLAM
UNIVERSITI MALAYA (PMAPIUM)
012-5002954/ 016-2201456

22/2/09