Hanya 15,007 unit rumah PPR dijual pada harga RM35,000 – Penghuni buat pilihan – DBKL
Posted on April 15, 2008 by HermanSamsudeen
Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my
KUALA LUMPUR – Segala-galanya sudah bermula, proses jual beli rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu kota kini terletak di tangan para penghuninya untuk membuat pilihan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam telah mula turun padang bagi memberi taklimat mengenai penjualan rumah PPR itu dan mengedarkan borang permohonan
Menurut Datuk Bandar, Datuk Ab. Hakim Borhan, terdapat 22 kawasan PPR Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan dijual dengan harga RM35,000 kepada penghuninya yang berminat.
Katanya, proses penjualan itu akan dilakukan secara berperingkat mengikut fasa supaya ia dapat dilaksanakan dengan baik dan para penduduk terlibat dapat memahaminya.
“Untuk fasa pertama ini, empat kawasan dipilih iaitu PPR Seri Semarak, PPR Intan Baiduri, PPR Muhibbah dan PPR Kerinchi untuk diberikan penerangan selain mendapatkan maklum balas daripada penduduk berkenaan.
“Diharapkan dengan penawaran ini akan menggembirakan para penghuninya yang sekian lama menunggu untuk memiliki rumah sendiri,” katanya kepada wartawan selepas sesi Taklimat Penjualan PPR di Perumahan Awam PPR Seri Semarak.
Pada majlis tersebut, lebih 500 penghuni di perumahan tersebut hadir memenuhi setiap sudut ruang khemah untuk mendengar taklimat proses penjualan itu dengan rasa penuh minat.
Bagaimanapun keadaan menjadi hangat apabila pegawai DBKL selesai memberi taklimat kepada penduduk berkenaan yang rata-rata tidak berpuas hati dengan bayaran tambahan itu selain mungkin ada penghuni yang tercicir.
Jelas Ab. Hakim, hanya 15,007 dari 31,498 unit rumah PPR MTEN itu akan dijual dan puratanya adalah separuh blok yang terdapat di setiap kawasan.
“Contohnya jika satu kawasan itu mempunyai lapan blok, cuma empat daripadanya akan dijual,” ujar beliau.
—————————————————————
Tambahnya, jika terdapat pemohon itu gagal untuk membelinya atau tidak berminat membeli rumah PPR tersebut, mereka masih dibenarkan tinggal menyewa di kediaman masing-masing pada kadar sewa RM124 sebulan yang telah ditetapkan DBKL.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan DBKL, Abdul Samad Lope Pihie menyatakan, keutamaan penjualan rumah itu diberikan kepada penghuni bekas setinggan.
Menurutnya, proses permohonan itu akan memakan masa selama dua bulan untuk DBKL mengenal pasti para pembeli yang layak.
“Kemudian pembeli yang berjaya akan dimaklumkan dan beberapa proses pembayaran perlu dipatuhi mereka sebelum penyerahan kunci dilakukan,” ujarnya.
Tambahnya, keseluruhan proses itu akan memakan masa selewat-lewatnya Ogos ini untuk direalisasikan dan pemilikan rumah tersebut diberi pajakan bagi tempoh 99 tahun.
Difailkan dalam: Hak Asasi, Isu Ekonomi, Isu Politik, Isu Sosial, Keluarga&Masyarakat, Kuala Lumpur
Vokalis kumpulan nasyid Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia jam 11 pagi yang lalu akibat serangan jantung di Hospital Pantai, Bangsar.
Menurut rakannya, Azadan, jenazah arwah Asri akan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas ini.
Dimaklumkan, arwah meninggal dunia selepas jatuh pengsan semasa memberikan ucapan dalam sidang media program ‘Syahadah’ di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.
Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor
Mayat bayi baru lahir ditemui dalam tong sampah
17/05/2009 12:07pm
KUALA LUMPUR 17 Mei — Mayat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui di kawasan pembuangan sampah Jalan Tun Tan Cheng Lock berhampiran Pasar Seni di sini malam tadi.
Mayat bayi berkulit cerah itu ditemui dalam keadaan tertonggeng dengan kaki ke atas dalam sebuah tong sampah kira-kira 11.30 malam oleh seorang pekerja kedai yang melalui kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman yang dihubungi berkata mayat bayi itu cuma dibalut dengan kertas surat khabar bertarikh semalam (16 Mei).
“Kita percaya dia baru dilahirkan berdasarkan terdapat uri di badannya dan masih berdarah,” katanya.
Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit.
— BERNAMA
kemaskini 10.15pm Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak hari ini dengan rasminya dilantik perdana menteri Malaysia keenam apabila istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah setia serta menyimpan rahsia sempurna dilangsungkan di Istana Negara, 10.10 pagi.
Pemimpin-pemimpin kanan negara, pegawai kanan kerajaan dan dif-dif kehormat dari dalam dan luar negara diundang untuk menyaksikan peristiwa penting dan bersejarah ini.
Balairong Seri sekali lagi menyaksikan peralihan politik negara ini dalam usianya 52 tahun selepas kemerdekaan.
Stesen RTM akan menyiarkan secara langsung istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan serta sumpah rahsia Najib sebagai perdana menteri walaupun kesemua 81 ahli parlimen pembangkang membantahnya.
Mereka memohon Yang di-Pertuan Agong menunda majlis tersebut sehingga satu suruhajaya bebas dibentuk untuk membersihkan ahli parlimen Pekan itu daripada sebarang dakwaan salah laku - antara yang popular, berkaitan kematian Altantuya Shaariibuu dan komisyen pembelian kapal selam Scorpene.
pak lah and najib raising the umno flag agm 2009 260309 02Najib menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pelan peralihan kuasa Umno dan negara susulan ketewasan mengejut dan terburuk dalam sejarah BN pada pilihanraya umum lalu.
Dilahirkan pada 1953 di Kuala Lipis, Pahang, Najib merupakan anak sulung perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan Rahah Mohamad Noah.
Beliau mendapat pendidikan awal di St John Institution, Kuala Lumpur sebelum meneruskan pelajaran ke Maven Boy's College, Worchestershire, England.
Najib kemudiannya melanjutkan pelajaran ke University Of Nottingham, England dan mendapt ijazah pertama dengan kepujian dalam bidang ekonomi industri pada 1974.
Beliau mulai menceburkan diri dalam arena politik selepas dipilih bertanding kerusi parlimen Pekan ekoran kematian mendadak bapanya di London Januari 1976.
Najib menang tanpa bertanding dan muncul sebagai anggota Dewan Rakyat termuda pada usia 23 tahun.
Najib dilantik sebagai timbalan menteri tenaga, telekom dan pos pada 1978 ketika usia 25 tahun. Pada 1982 hingga 1986, beliau menjadi menteri besar paling muda dalam sejarah negara, pada 29 tahun.
Sepanjang penglibatannya dalam politik, Najib berkhidmat di pelbagai kementerian, termasuk timbalan menteri tenaga, telekom dan pos, timbalan menteri pendidikan dan timbalan menteri kewangan.
Pada 1982, beliau bertanding dan memenangi kerusi DUN Bandar Pekan dan dilantik sebagai menteri besar Pahang.
Pada 1986, ketika berumur 33 tahun, Najib menerajui kementerian kebudayaan, belia dan sukan dan selepas pilihanraya umum 1990, beliau berpindah ke kementerian pertahanan.
Beliau dilantik menteri pendidikan pada 1995. Selepas pilihanraya umum pada 1999, beliau dilantik menerajui kementerian pertahanan.
Setelah Abdullah mengambil alih jawatan perdana menteri pada Oktober 2003, Najib dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 6 Januari 2004.
Dalam kabinet 2008, beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan. Manakala 17 September 2008, Najib dilantik sebagai menteri kewangan dan jawatan menteri pertahanan diterajui oleh Abdullah.
Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan pembedahan masalah ponteng sekolah yang menjadi barah kepada pelajar sekolah disemua negeri di Malaysia. Jika kita mengkoreksi kes di Negeri Sembilan 17 Februari tahun ini yang mana seramai 14 pelajar sekolah tingkatan empat di kawasan rekreasi di daerah Rembau telah ditahan oleh pihak polis kerana barah ponteng ini. Kita tidak dapat nafikan bahawa barah ponteng ini semakin hari semakin menjadi-jadi sehinggakan murid sekolah rendah sanggup melakukan barah gila ini.
Sebelum kita mengupas perihal perlakuan ini harus kita selaku rakyat Malaysia memahami apa yang diinterpretasikan sebagai ponteng. Menurut Kamus Pelajar keluaran Dewan Bahasa Dan Pustaka mentakrifkan ponteng sebagai meninggalkan tugas atau tanggungjawab pelajaran tanpa kebenaran. Manakala menurut Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinasikan ponteng sebagai lari daripada tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran. Walau apa pun pendefinasian yang dibuat perlakuan ponteng lebih mudah difahami dalam ruang lingkup pelajar sekolah adalah meninggalkan tanggungjawab yang dipikul di atas bahu pelajar iaitu hadir ke sekolah untuk belajar dengan mengikut lunas-lunas peraturan yang dibuat oleh sekolah atau kegagalan pelajar untuk hadir ke sekolah secara sengaja tanpa alasan yang tepat dan munasabah.
Masalah yang timbul berkenaan barah ponteng ini adalah disebabkan beberapa faktor yang menjadi sebab musabab pelajar sekolah melakukan perlakuan sedemikian. Antara faktor utama yang menjadi punca masalah ini adalah pengaruh rakan-rakan sebaya yang boleh memusnahkan masa depan pelajar sekolah ini. Ponteng ini boleh dikatakan sebagai ketagihan yang merantai diri pelajar masa kini kerana jika sekali pelajar melakukan perbuatan ini, pasti fenomena ponteng akan berulang dan terus berulang dengan kegagalan dalam pelajaran sebagai kesudahannya.
Kegagalan menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru juga menjadi faktor besar penyumbang masalah ini. Sikap malas yang dibajai oleh pelajar itu sendiri berakar umbikan pengaruh rakan-rakan sebaya yang mempunyai sikap yang sama. Datuk Abdullah Muhammad, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri (JPNS) menyatakan bahawa pelajar yang gagal menyiapkan kerja rumah yang diberikan, sengaja mengambil jalan ponteng sekolah kerana takut dimarahi guru.
Jika kita merungkai permasalahan ini pasti kita akur bahawa persekitaran kebanyakan sekolah masakini kurang kondusif atau kita katakan sebagai suasana yang membosankan. Jika kita perhatikan murid-murid prasekolah yang mana mereka amat menyukai suasana persekolahan tersebut kerana keseronokan dan keriangan belajar berorientasikan “keilmuan yang tidak membosankan“ atau kita katakan sebagai “Taman Ilmu”. Tapi masalah yang timbul di kebanyakan sekolah-sekolah adalah suasana sekolah yang seakan tanah perkuburan dan bukannya taman keilmuan.
Ada juga di antara pelajar yang ponteng disebabkan suasana segelintir pelajar sekolah bersikap gengsterisme yang mana menyebabkan pelajar-pelajar lain dibuli dan dijadikan tempat melepaskan geram. Perkara ini menyebabkan pelajar-pelajar takut untuk hadir ke sekolah atas alasan ini.
Watak guru yang garang dan membosankan menyebabkan pelajar sekolah merasa bosan untuk belajar disekolah, sedangkan watak guru sangat berperanan menarik pelajar untuk menyukai subjek yang diajar dan guru yang mengajar.
Paling menyentap suasana masakini adalah teknologi yang semakin dewasa terlampau cepat seperti game, laman-laman web dan sebagainya. Pelajar sekarang yang celik IT akan berfikiran lebih terkehadapan dari semua sudut termasuklah dari sudut hiburan hedonisme yang menyebabkan mereka lupa dan alpa peranan sebenar mereka iaitu pergi ke sekolah untuk belajar. Maka jalan yang dilalui mereka untuk terus mengikuti teknologi yang menghilangkan kewarasan akal mereka adalah membuang masa di cyber café di setiap waktu termasuklah sanggup berponteng sewaktu masa sekolah agar keseronokan mereka akan dikecapi. S.M. Mohamed Idris, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang menyatakan bahawa cyber café menjadi tempat pelajar-pelajar sekolah membuang masa atau lebih sinonim dengan istilah ponteng. Masyarakat menggaru kepala melihat gelagat pelajar-pelajar ini yang mana jika rakyat Malaysia yang prihatin pasti melihat di cyber-cyber café ada segelintir pelajar yang masih beruniform sekolah bermain computer di dalam cyber café itu. Perkara ini seakan tidak berkesudahan kerana walaupun terdapat “Garis Panduan Pengawalan Perniagaan Pusat Siber Dan Cyber Café” yang menyatakan pelajar yang berpakaian seragam tidak dibenarkan masuk ke dalam cyber café, tetapi masalah yang timbul penguatkuasaan garis panduan seperti tidak dilaksanakan.
Seharusnya bagi mengatasi masalah bahana ponteng ini dari terus berleluasa dan semakin menjadi-jadi, semua pihak harus berganding bahu merangka dan melaksanakan beberapa beban tanggungjawab agar masalah ini dapat diatasi. Sememangnya memakan masa yang lama untuk menghapuskan masalah ini, tetapi sekurang-kurangnya beberapa rangka kerja perancangan teliti dibuat agar masalah ini tidak terus menjadi barah dalam masyarakat.
YDP Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya saudara Izzat Amin Mohd Nasir menyatakan bahawa peranan yang terpenting dan individu yang terpenting dalam menyelesaikan masalah bersangkutan anak-anak adalah ibu bapa. Menukilkan beberapa panduan dalam Buku karya Abdullah Nasih Ulwan bertajuk “Tarbiyatul Aulad” menyedarkan kepada ibu bapa betapa beratnya beban tugas ibu dan bapa ini. Peranan yang dimainkan adalah bermula daripada hari pertama kelahiran anak ke dunia dengan mengajarkan dia tentang tanggungjawabnya mengenal Tuhan agar kehidupan dewasanya lebih memahami erti ketuhanan yang menyebabkan anak yang didik menjadi sempurna.
Dalam Surah Lukman ayat ke 13, Allah menukilkan perihal tanggungjawab seorang bapa dalam mendidik anak yang yang mana bermaksud:
“Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya, “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar”.
Daripada ayat ini Saudara Izzat Amin Mohd Nasir menyatakan bahawa peranan mendidik anak adalah peranan yang sangat besar. Bagi kes ponteng, ibu bapa perlulah memantau aktiviti anak-anak dengan perlakuan mereka. Ibu bapa pastinya sedia maklum perubahan demi perubahan yang dialami oleh anak yang dikandung untuk memastikan perlakuan anak tersebut benar-benar bersikap mahmudah dan bukannya mazmumah. Sekiranya perilaku sang anak mencurigakan, pihak ibu bapa harus terus berbicara dan berkongsi masalah yang dihadapi dengan pelajar yang bergelar anak itu. Sekiranya tidak mendapat sebarang maklumat maka peranan ibu bapa adalah berjumpa dengan guru yang berautoriti sama ada guru kelas atau guru disiplin untuk memastikan tingkah laku anak. Kaedah paling tepat dalam menyelesaikan bahana ponteng ini adalah dengan menanam sikap bencikan perbuatan terkutuk ini sedari kecil agar perasaan yang ditanam ini akan tumbuh subur sehingga pelajar tidak akan melakukan ponteng.
Selain peranan ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sekolah hendaklah lebih peka dalam menangani masalah ini. Hubungan yang erat di antara kesatuan guru dan PIBG membolehkan masalah ini dapat dirangka pelan tindakan diperingkat sekolah agar pelajar yang terlibat ini sedar betapa beberapa pentingnya nilai keilmuan di dalam waktu persekolahan.
Guru-guru perlulah lebih bersikap “friendly” dengan pelajar agar pelajar lebih erat dengan guru-guru sehingga memungkinkan pelajar senang untuk menyatakan masalah mereka kepada guru yang dipercayai. Masalah inilah yang melingkari kebanyakan guru-guru yang mana lebih serius dan garang menyebabkan pelajar merasa pelajaran yang dipelajari amat membebankan dan membosankan.
Institusi persekolahan adalah institusi yang amat berperanan dalam menyelesaikan masalah ponteng sekolah ini. Tertarik dengan disiplin yang ditunjukkan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar Hilir Kuantan Pahang yang mana sebelum sesi kelas dimulakan setiap jumaat semua pelajar akan membaca yasin. Pengetuanya Ibrahim Mat Akil menyatakan kesan paling ketara yang dapat dilihat menerusi program bacaan Yasin itu, pelajar yang dipanggil selepas melakukan kesalahan akan mudah menerima nasihat sekali gus tidak lagi mengulangi kesalahan yang dilakukan. Abdul Qayyum Bin M. Suhaimi pelajar Sejarah dan Tamadun Islam Universiti Malaya merasakan bahawa tindakan sekolah tersebut amat tepat dalam menyelesaikan masalah ponteng ini. Ini berikutan Al-Quran sememangnya mampu untuk melembutkan hati manusia yang keras. Beliau juga menyatakan fakta ini telah terbukti apabila sejarah membuktikan Saidina Umar Al-Khattab yang berjiwa keras sebelum Islam boleh lembut hanya dengan mendengar alunan ayat-ayat suci Al-Quran sehingga beliau mengucap kalimat Shahadah tanda Allah melembutkan hatinya dengan sebab musabah Al-Quran. Abdul Qayyum menambah bahawa setiap sekolah di Malaysia yang mempunyai pelajar yang beragama Islam, kaedah ini dianggap sangat berkesan dengan cara ayat-ayat suci ini akan dibaca bersama-sama dengan guru, dan guru akan mentafsirkan maksud ayat tersebut. Kaedah ini tidak memakan masa yang begitu lama dan hanya sekitar 5 minit hingga ke 10 minit.
Masyarakat juga perlulah berganding bahu dalam menyelesaikan masalah ponteng ini dengan bekerjasama dengan pihak yang bertanggungjawab seperti pihak sekolah, pihak polis dan keluarga pelajar tersebut. Ini kerana dengan peranan masyarakatlah sesuatu masalah yang timbul dapat diatasi dengan cara yang cepat.
Penulis tertarik untuk menyatakan dalam menyelesaikan masalah ponteng ini, semua pihak haruslah berperanan dalam menjuarai isu ini agar anak bangsa yang bakal memimpin negara Malaysia masa hadapan tidak akan sesekali melakukan masalah ponteng. Harus kita hayati bahawa cara nasihat kepada pelajar ini dengan cara yang berhikmah pasti pelajar tersebut kembali ke landasan tanggungjawb sebagai pelajar yang harus dipikul. Harus kita renungkan firman Allah s.w.t dalam surah A-‘Ashr ayat 1 hingga 3 yang bermaksud “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran”.
ZULZAIDI BIN MAHMOD
EXCO AKADEMIK DAN INTELEKTUAL
PERSATUAN MAHASISWA AKADEMI PENGAJIAN ISLAM
UNIVERSITI MALAYA (PMAPIUM)
012-5002954/ 016-2201456
22/2/09
ISLAM DIHINA
Bahang pilihanaraya kampus Universiti Malaya semakin hangat. Kehangatan yang dirasai bukan hanya kepada mahasiswa bahkan juga Umat Islam yang mana Istitusi mulia umat Islam iaitu masjid dihina. Kepala Babi dibelah dua dan diletakkan di dalam Masjid Akademi Pengajian Islam. Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 5.00 pagi yang mana disedari oleh dua orang mahasiswa Univerisiti Malaya. Tindakan telah diambil oleh pihak Keselamatan Uiniversiti Malaya dan juga pihak berkuasa Polis berhubung dengan kejadian yang menghina institusi Umat Islam tersebut. Kejadian ini merupakan kejadian yang pertama kali berlaku di dalam Universiti Malaya, justeru itu Mahasiswa Universiti Malaya khususnya yang beragama Islam merasakan bahawa kejadian tersebut merupakan suatu sabotaj yang berkait rapat dengan pilihanraya kampus. Mohd Aziezul Abdullah dan Mohd Rahimie P. Ramlee menyatakan bahawa Pilihanraya Kampus Universiti Malaya tidak wujudnya ketelusan sebagaimana yang dijanjikan oleh En. K. Puniamurty selaku pengarah pilihanaraya kampus Universiti Malaya sewaktu sidang dialog bersama mahasiswa pada 14 Januari yang lalu. Mahasiswa akan membawa perkara ini kepada pihak yang berwajib berhubung ketelusan pilihanaraya kampus Universiti Malaya dan menunggu jawapan berhubung siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.
melihat SMS ditangan " sila hadir ke demontrasi mengecam tindakan Israel atas jenayah perang yang dilakukan, sila berkumpul di masjid Syakirin KLCC selepas solat jumaat, sebarkan" itulah sms yang aku terima seawal pagi. aku berfikir kenapa aku berada di UUM sedangkan kawan-kawan aku yang lain berdemontrasi di KL. nah aku masih pening dengan persoalan itu yang bermain diminda aku apabila mengetahui semakin ramai yang terbunuh sedangkan aku di UUM menjual milo cincau.
"Izzat! kita tak boleh diam izzat, kita kene buat sesuatu di sini." kata aku kepada izzat yang tangannya masih tidak lepas menggenggam Al-Quran dari subuh. "zack! aku pun serba salah, takkan kita nak diam jer" jawab Izzat meragui apa tindakan yang akan dilakukan selepas ini. "Izzat! sat lagi aku buat risalah lepas tu kita pacak k? rancang aku sambil memandang tepat wajah izaat yang meminta kepastian.
jam menunjukkan jarum jam hampir ke pukul 12 tengahari, aku dengan segera meminjam laptom teman daripada pelajar UITM untuk membuat risalah. tepat jam satu aku dan amin che ahmat segera print dan photostat risalah sebanyak 400 keping untuk diedarkan selepas jumaat. selepas daripada jumaat aku terus melaungkan kalimah "ALLAHU AKBAR" kali bertama tidak menyahut tetapi pada kali kedua dan ketiga semakin ramai orang yang menyahut sambil memerhatikan akau yang berdiri tepat dan tegak diatas tangga pintu masuk ke Masjid. aku terus melontarkan ucapan aku menyatakan bahawa umat islam di palestin 710 orang terkorban yang kjelas dan nyata mahasiswa di UUM masih lena dan tidur. aku dan izzat memulakan tugasan berdemo demi menyatakan kebenaran bahawa umat Islam di palestin ramai terkorban tapi mahasiswa masih tidak peka bahkan makin leka. dikatakan juga itulah demo pertama di UUM setelah lebih 3 tahun tidak diadakan atas alasan AUKU menyekat mereka melakukan sedemikian.
Akhukum Fil Islam
Masa Seumpama Pedang
Categories
- ALAM SEKITAR (2)
- artikel orang lain (1)
- artikel telah diterbitkan (5)
- AUKU (1)
- bedah buku (2)
- BERITA (5)
- cerpen (1)
- Cetusan Idea (13)
- dakwah (1)
- demontrasi (2)
- fikrah minda mahasiswa (13)
- GAMBAR (3)
- jemputan (1)
- laporan (2)
- laporan TERAS (1)
- mahasiswa (2)
- NASIONALISME MALAYSIA (2)
- penggunakini (5)
- PMAPIUM (1)
- prk 08/09 (1)
- Tazkirah (2)