Televisyen 'curi' masa berkualiti kanak-kanak  

Posted by Zulzaidi

Oleh Nor Affizar Ibrahim


PERLU PERHATIAN: ibu bapa wajar memastikan anak hanya menonton rancangan berunsurkan ilmu pengetahuan dan mempunyai nilai positif.

Jumlah masa menonton pelbagai program lebih banyak berbanding tempoh diluangkan bersama ibu bapa

MEDIA elektronik, khususnya televisyen adalah media yang menjadi kegemaran semua lapisan masyarakat dari peringkat warga tua hinggalah belia, remaja dan kanak-kanak. Di antara golongan berkenaan, kanak-kanak adalah antara yang paling ramai dan banyak menghabiskan masa menonton televisyen.

Bermula dari jam sembilan pagi kanak-kanak sudah pun terpacak di hadapan televisyen untuk menonton rancangan yang kononnya memberikan manfaat kepada mereka secara sepenuhnya. Bagi pihak penyiaran pula, menyedari kanak-kanak menjadi kelompok utama yang menonton televisyen maka pelbagai rancangan berunsurkan cita rasa dan minat golongan itu disajikan.

Koordinator Pendidikan Pengguna dan Masyarakat, Teras Pengupayaan Melayu, Zulzaidi Mahmod, berkata senario yang berlaku itu tanpa disedari didapati, televisyen yang mendidik kanak-kanak dan bukannya ibu bapa. Televisyen melayani dengan tekun dan memberi layanan memuaskan hati kanak-kanak tanpa berasa gusar atau bosan walau sesaat.

Beliau berkata, belaian dan kasih sayang sepatutnya diberikan oleh ibu bapa, sekali gus sudah beralih kepada televisyen yang boleh mengajar anak apa saja dan perkara itu amat menyedihkan.

“Kartun adalah rancangan paling diminati oleh kanak-kanak ditambah lagi dengan kecanggihan teknologi sehingga ada rancangan itu seolah-olah berbentuk realiti menerusi kaedah 3 dimensi atau 3D. Setiap hari kartun diibaratkan seperti makanan yang wajib dimakan dan tidak lengkap hidup kanak-kanak tanpa menonton cerita demikian.

“Pihak penyiaran mencuri masa emas kanak-kanak untuk menonton rancangan kartun yang menarik seperti Doraemon, Detektif Conan, Sincha, Spongebob dan sebagainya sedangkan waktu itu sepatutnya menjadi masa sesuai yang perlu digunakan ibu bapa untuk mematangkan anak seperti membaca dan bermain bersama mereka,” katanya.

Zulzaidi berkata, rancangan kanak-kanak yang dipertontonkan kepada si cilik pada waktu emas antara jam dua petang hingga lapan malam juga adalah waktu yang sesuai dan sewajarnya untuk mereka menyiapkan kerja sekolah atau membaca bahan ilmiah bagi melancarkan pembacaan, belajar mengaji mahupun beriadah dengan tujuan menyihatkan tubuh badan.

Bagaimanapun, katanya waktu itu sudah digunakan kanak-kanak untuk menonton televisyen tanpa berasa rugi. Justeru, tidak menghairankan jika laporan 1994 dari Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat mendapati, pencapaian akademik jatuh ketara bagi kanak-kanak di negara itu yang menonton lebih daripada 10 jam seminggu.

“Tempoh 10 jam seminggu itu jika digandakan selama setahun adalah jauh lebih banyak dengan masa seorang penuntut Ijazah Sarjana Muda menghabiskan jumlah jam kredit untuk menjadi graduan. Oleh itu senario ini perlulah difikirkan ibu bapa dan dititikberatkan untuk menjana generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut berpendapat, klasifikasi siri rancangan khususnya ‘Umum’ yang menyatakan sesuai untuk semua lapisan masyarakat dan turut menjadi garis panduan asas membenarkan kanak-kanak menonton rancangan televisyen berkenaan didapati tidak semuanya sesuai ditontoni oleh mereka. Ini kerana rancangan televisyen yang diklasifikasi ‘Umum’ turut didapati ada berunsur negatif dan patut dijauhi.

Katanya, melalui rancangan televisyen yang disiarkan kanak-kanak lebih banyak terdedah kepada unsur keganasan. Mungkin ibu bapa tidak sedar bahawa kebanyakan cerita kartun yang dipertontonkan kepada si cilik di dunia global ada unsur keganasan dan khayalan melampau sama ada dari segi dialog mahupun aksi lakonan oleh watak dalam cerita berkenaan.

Lebih membimbangkan, kesan negatif dibawa itu membawa pengaruh terhadap nilai keagamaan terutama kepada kanak-kanak yang mula mengorak langkah mengenal agama. Contoh paling ketara adalah masa sesuatu rancangan itu disiarkan yang kesannya sehingga melekakan kanak-kanak daripada menunaikan amalan yang sepatutnya.

“Kita sedia maklum untuk menarik kanak-kanak waktu yang paling sesuai adalah dari jam tujuh hingga ke lapan malam. Bagi yang beragama Islam pula pada waktu itu adalah penting untuk mengerjakan solat Maghrib. Lazimnya, peringkat kanak-kanak adalah waktu yang paling sesuai untuk mendidik si cilik belajar solat. Tetapi jika waktu itu disajikan dengan cerita yang digemari kanak-kanak, sudah tentu ia memberi kesan untuk mendidik mereka,” katanya.

Begitu pun, Zulzaidi akui bukan semua rancangan di televisyen mempunyai kesan buruk dan negatif, tetapi pemantauan ibu bapa adalah perlu agar si cilik hanya melihat rancangan yang berunsurkan ilmu pengetahuan dan mempunyai nilai positif.

“Ibu bapa perlu memikirkan keperluan anak mereka. Jika ia dianggap keperluan yang mampu merangsang minda tanpa ada unsur negatif bolehlah dipertimbangkan. Ibu bapa mestilah meluangkan masa bersama anak dalam setiap aktiviti mereka termasuklah, ketika menonton televisyen,” katanya.

Beliau turut menegaskan, bukan hanya cerita kartun saja yang patut dijauhi tetapi televisyen itu sendiri mesti dijauhi dan pastikan ia jarang terpasang agar tidak menjadi satu keperluan kepada anak. Pendekatan itu dapat memastikan keseimbangan emosi kanak-kanak terjaga tanpa ada noda negatif.

INFO: Kajian mengenai kesan televisyen terhadap kanak-kanak


Akademi Pediatrik Amerika menyarankan supaya televisyen diharamkan bagi kanak-kanak di bawah usia dua tahun. Rasionalnya, dalam tempoh dua tahun pertama bayi memerlukan sentuhan manusia dan bukan didikan imej di televisyen.

Pakar Perkembangan Hemisfera Otak Universiti Chicago, Dr Jerre Levy, berkata kemahiran bahasa boleh dirangsang melalui pembacaan dan juga perhubungan dua hala lebih-lebih lagi keluarga iaitu ibu bapa dan bukannya menonton televisyen. Ini kerana menonton televisyen adalah proses interaksi sehala saja iaitu televisyen menayangkan rancangan, manakala si cilik sibuk menonton tanpa berfikir dan tidak kreatif.

Ibrahim M Hefzallah dalam bukunya, Critical Viewing of Television menyatakan, televisyen memaparkan hubungan seks yang berulang kali. Seks yang biasa ditunjukkan bukan hanya dalam cerita kartun, tetapi cerita realiti juga sehingga ada unsur cinta si hero dan heroin berakhir di ranjang katil bagi menunjukkan bahawa itu adalah tanda cinta sejati. Perkara itu jika sentiasa berulang dalam kehidupan si cilik, mereka akan menganggap ia adalah perkara lumrah atau biasa.


7 april 2008
ruangan CITRA
BERITA HARIAN HALAMAN B6

This entry was posted on 9:27 PM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

1 comments