Posted by Zulzaidi

MENJADI MAHASISWA YANG CEMERLANG, GEMILANG DAN TERBILANG

Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada semua calon yang telah dipilih untuk memasuki IPTA negara. Mendapat tempat di menara gading adalah satu keistimewaan kepada sorang pelajar. Ini kerana rakyat Malaysia memandang status seorang mahasiswa adalah yang dihormati di mata masyarakat. Mahasiswa dikatakan dapat masuk ke universiti kerana beroleh kecemerlangan akademik dan kewibawaan dalam kokurikulum. Ini dapat dibuktikan yang mana Prof Datuk Dr Ir Radin Umar Radin Sohadi Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi berkata pemilihan calon yang meraih tempat di universiti adalah dibuat dengan cara menggabungkan markah kokurikulum sebanyak 10 peratus yang diselaraskan oleh Kementerian Pelajaran serta markah akademik 90 peratus daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dan Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran.
Tidak hairanlah jika ada mahasiswa yang mula mendabik dada kepada masyarakat dengan alasan mereka beroleh tempat di IPT dengan ketekunan dan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik dan juga ko-kurikulum. Seramai 40,184 calon dipilih memasuki 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia/ Matrikulasi/ Setaraf (Ijazah Pertama) pada sesi akademik 2008/2009, bulan depan. Daripada jumlah itu, 24,989 calon Bumiputera, 12,445 Cina dan 2,750 India. Sebanyak 24,862 calon akan mengikuti jurusan sains manakala baki 15,322 jurusan sastera.
Seharusnya calon yang telah dipilih untuk memasuki ke IPT tidak memandang remeh beberapa perkara dan isu penting dalam kampus. Persiapan dan persedian yang rapi menjadi kemestian dan kewajipan kepada setiap calon, ini kerana sewaktu hari pendaftaran di IPT ada segelintir calon yang tidak cakna dengan arahan seperti persedian dokumen yang tidak lengkap, pendaftaran lewat, persedian pakaian yang tidak mencukupi dan sebagainya. Jika perkara-perkara seperti ini berlaku, maka ia akan menyusahkan banyak pihak samaada pentadbiran, waris dan semestinya diri calon sendiri.
Kehidupan di kampus adalah jauh berbeza dengan kehidupan di sekolah dan juga kehidupan di matrikulasi. Apabila melangkah masuk ke menara gading, status dan cara penampilan sewajarnya kelihatan lebih matang, berdisiplin dan bertanggungjawab dijadikan teras kehidupan. IPT melatakkan mahasiswa bukan sebagai seorang murid sekolah rendah, tetapi sebagai orang yang dihormati dan berintegriti dalam masyarakat.
Kehidupan mahasiswa yang berantaikan hedonisme seperti tabiat tidur lewat, bangun lewat, ke kuliah lewat, ponteng kuliah, meniru tugasan, merokok, kurang membaca, berfoya-foya, malas merujuk kepada pensyarah haruslah dibuang jauh-jauh agar perjalanan sebagai seorang pelajar IPT yang berkualiti. Kehidupan yang seharusnya ditonjolkan adalah semangat belajar berkumpulan, berdisiplin dan bertanggungjawab, membudayakan membaca, tidak memabzir, peka terhadap isu kampus, negara dan global, aktif berpersatuan dan sebagainya yang menggambarkan diri mahasiwa yang cemerlang, gemilang dan terbilang serta berkualiti dan berintelektual.
Sekali lagi tahniah kepada calon yang akan melanjutkan diri di menara gading. Peringatan yang dinukilkan ini adalah sebagai panduan mudah kepada mahasiswa agar mahasiwswa mempersiapkan diri dengan persediaan yang secukupnya. Seharusnya calon-calon meletakkan diri mereka sebagai batang tubuh yang diberikan harapan oleh masyarakat untuk membarisi barisan kepimpinan negara di masa mendatang.

ZULZAIDI BIN MAHMOD
EXCO AKADEMIK DAN INTELEKTUAL,
PERSATUAN MAHASISWA AKADEMI PENGAJIAN ISLAM,
UNIVERSITI MALAYA

19/6/2008

This entry was posted on 2:00 AM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

1 comments

This comment has been removed by the author.