Posted by Zulzaidi


“Ayah! adik mahu rasa makanan yang dalam televisyen itu” tanya seorang kanak-kanak berumur 8 tahun kepada ayahnya sambil jari telunjuk menuding ke arah televisyen yang memaparkan iklan makanan ringan produk terbaru.

Rata-rata masyarakat pastinya sudah biasa terdengar dialog-dialog sebegini yang dilontarkan oleh kanak-kanak. Kajian Persatuan Pulau Pinang (CAP) mendapati 62% kanak-kanak telah meminta ibu bapa mereka membeli makanan ringan dan makanan segera yang dipaparkan di kaca televisyen. Ternyatalah betapa kuat dan hebatnya pengaruh iklan terhadap kanak-kanak.

Dalam era global ini, masyarakat kita kerapkali dimomokkan oleh industri pengiklanan agar kita selaku pengguna membuat keputusan membeli produk dan perkhidmatan mereka. Kita tidak dapat nafikan bahawa pengaruh pengiklanan dan pemasaran sangah besar dalam kehidupan seharian kita. Media bercetak dan media elektronik berperanan sebagai medan mempromosikan pelbagai produk, lebih-lebih lagi produk makanan ringan dan makanan segera kepada kanak-kanak. Media elektronik dan bercetak pada masa kini hanya meletakkan orientasi keuntungan sebagai prioriti daripada orientasi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat. Justeru syarikat-syarikat gergasi makanan ringan mula mengorak langkah agar pihak media ini digunakan semaksima mungkin untuk memasarkan produk makanan ringan mereka kepada masyarakat terutama kanak-kanak.

Tidak hairanlah jika McDonald's membelanjakan AS$ 1.8 billion setahun untuk promosi dan iklan di Amerika. Ternyata di Malaysia juga tidak jauh bezanya apabila syarikat gergasi McDonald's meluaskan pemasaran ke serata negeri dengan membuka cawangan dan juga melalui televisyen, billboard dan pamplet untuk mempengaruhi kuasa beli masyarakat. Selain McDonald's makanan ringan seperti syarikat Apollo, Nestle Koko Krunch dan pelbagai produk lain sanggup melaburkan wang mereka semata-mata meraih pasaran secara total.

Pengaruh iklan kepada kanak-kanak merupakan pengaruh terbesar dalam pemasaran makanan ringan dan makanan segera. Ini kerana kanak-kanak walaupun tidak mempunyai kuasa beli tetapi mereka mempunyai kuasa yang lebih besar lagi iaitu kuasa “desakan”. Lantaran kuasa desakan yang ada pada tangan kanak-kanak ini, ibu bapa akan membelikan apa sahaja agar anak mereka suka dan seronok dengan alasan mencurahkan kasih sayang. Ternyata kesinambungan kuasa desakan yang berada di tangan kanak-kanak telah mempengaruhi pemakan dan diet mereka ke arah yang tidak betul. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam kajiannya melaporkan bahawa 80% iklan yang disiarkan sewaktu rancangan kanak-kanak adalah makanan bergula dan berlemak. Kita sering membeli gula-gula, lolipop, coklat, aiskrim, snek dan minuman bergas kepada kanak-kanak sebagai tanda kasih sayang dan hadiah. Pembelian ini paling ketara sewaktu menyambut hari lahir kanak-kanak, jika sesuatu sambutan tidak diserikan dengan makanan ringan (junk food) seolah-olah sambutan itu tidak meriah dan tidak sempurna. Ini tidak dapat dinafikan lagi kerana pengaruh pengiklanan yang mempengaruhi psikologi kanak-kanak telah membawa kanak-kanak ke arah satu dimensi yang tidak sihat dari sudut diet dan pemakanan secara seimbang.

Iklan-iklan yang agresif daripada syarikat-syarikat industri makanan ringan dan segera ini mula meraih pelanggan dengan menonjolkan aktiviti yang seronok sambil menjamu makanan. Ternyata strategi pemasaran sebegini mudah untuk mendapatkan keuntungan. Pelbagai lagi strategi lain yang ternyata mempengaruhi pemakanan kanak-kanak pada masa kini, antaranya adalah iklan-iklan di media yang memaparkan restoran makanan segera sebagai tempat yang begitu menarik dan selesa. Bukan sekadar itu sahaja, disamping pelanggan menjamu selera, mereka juga boleh bersantai dengan anak-anak di satu sudut untuk bermain papan gelonsor, belon dan sebagainya.

Pengeluaran produk-produk terbaru juga merupakan satu strategi yang paling berkesan mempengaruhi kanak-kanak dalam soal makan. Produk-produk ini dipaparkan sebagai makanan yang paling enak sehingga terliur kanak-kanak melihatnya. Ternyata strategi pengeluaran produk terbaru lebih menjamin keuntungan kepada syarikat-syarikat ini apabila mengetahui kanak-kanak mempunyai kuasa pendesak. Untuk menambat hati kanak-kanak juga, hadiah (free gift) diberikan kepada meraka asal sahaja mereka sudi mendesak ibu bapa membeli makanan yang dipasarkan. Hadiah-hadiah yang diberikan juga merupakan hadiah yang istimewa seperti anak patung, kereta mini, radio mini dan sebagainya.

Kata-kata perangsang yang menarik, menewaskan lagi psikologi kanak-kanak seperti “ i am lovin it, minum milo anda jadi sihat dan kuat, sedap sehingga menjilat jari dan sebagainya”. Perkataan-perkataan sebeginilah yang merangsang minda kanak-kanak supaya lebih dekat dengan produk yang dijual. Propaganda yang berulang dalam strategi pengiklanan membuahkan hasil apabila dalam minda kanak-kanak sering dimomok dan diasah agar gemar kepada makanan yang tidak seimbang ini. Jika kita katakan kanak-kanak menonton televisyen purata 14jam seminggu, mereka mungkin terdedah kepada kira-kira 17,472 mesej kormesial setahun (1 jam=24 iklan, 24 iklan x 14 jam seminggu=336, 336 iklan seminggu x 52 minggu = 17,472 iklan. Tidak dapat disangkal lagi bahawa dengan jumlah 336 kali seminggu ini mampu menyemai satu persepsi kepada kanak-kanak untuk memiliki dan menikmati makanan ringan dan segera ini.

Kanak-kanak semestinya tidak mengetahui kebaikan dan keburukan sesuatu makanan yang mereka makan terutama makanan ringan dan makanan segera. Mereka hanya tahu bahawa makanan yang diiklankan adalah sedap dan amat mengasyikan. Di Britain diet moden “berpotensi sebagai bom jangka kesihatan”. Ini kerana kanak-kanak memakan lebih banyak makan diproses yang sedia untuk dihidang dan makanan yang dibawa pulang, yang kebanyakannya mengandungi garam, lemak tepu dan gula berlebihan. Sogokan-sogakan Mudah, Enak, Cepat dan Ringkas mula bermain diminda ibu bapa juga, apabila melihat iklan di televisyen sehingga sanggup membeli kanak-kanak makanan yang tidak berkhasiat untuk diet dan pemakanan mereka.

Jelaslah pada kita selaku pengguna di Malaysia bahawa pengaruh iklan dan pemasaran sememangnya mampu untuk mempengaruhi pemakanan dan diet kanak-kanak. Kekhuatiran kita mula akan timbul apabila kesan iklan-iklan ini mampu menyebabkan kesakitan yang sukar untuk diubati dan juga mampu menyebabkan kanak-kanak menjadi penjenayah.

Terdapat begitu banyak kesan yang ditemui dalam produk makanan ringan dan makanan segera pada masa kini. Lantaran daripada itu, keraguan makanan-makanan ini terhadap kesihatan dan sosial kanak-kanak perlu dititik beratkan agar ianya tidak berlanjutan. Kesan yang sukar diterima ibu bapa adalah kesan kemungkinan kanak-kanak menjadi penjenayah yang agresif. Rencana Newsweek yang mengetengahkan gelombang jenayah di Jepun berjudul, “Devil Food Made Me Do It”, melaporkan tentang kaitan antara makanan remeh yang terlalu banyak gula dengan keganasan. Menurut Hiroshi Osawa, profesor bersara di Iwate University, terdapat hubungan di antara diet dan keganasan. Diet yang kaya dengan gula tetapi rendah vitamin dan galian boleh menyebabkan ketidakseimbangan bahan kimia yang berbahaya. Makanan manis yang dimakan boleh menaikkan paras gula darah kanak-kanak, dengan memberi isyarat kepada tubuh untuk membebaskan insulin bagi mendapatkan semula keseimbangan. Tetapi seringkali kadar itu naik terlalu tinggi menyebabkan paras gula darah jauh mendadak hingga menyebabkan kanak-kanak itu letih dan mudah meradang. Satu kajian oleh Pediatrics pada tahun 2003 yang mengikuti perkembangan 1,000 kanak perempuan dan lelaki sepanjang tempoh 8 tahun, yang mana berat kanak-kanak ditimbang setiap tahun, didapati bahawa kanak-kanak gemuk lebih cenderung mengalami gejala-gejala enggan mematuhi arahan. Amat jelas kepada kita selaku pengguna bahawa ancaman makanan ringan ini mampu menembus satu dimensi kanak-kanak bersifat agresif. Paling menakutkan ancaman makanan ringan dan segera ini mampu melahirkan generasi penjenayah.

Selain daripada tindakan agresif yang akan dilakukan oleh kanak-kanak, kesan sosial lain adalah perubahan gaya hidup kanak-kanak yang akan hilang nilai-nilai ketimuran menuju kebaratan. Imperialisme barat ini bukan hanya menjajah tanah air tetapi menjajah pemakanan kanak-kanak di Malaysia pada masa kini. Penjajahan terhadap kanak-kanak dapat kita lihat dari sudut pemakanan yang telah mula menunjukkan ke arah makanan barat seperti KFC, McDonald’s, Pizza, Burger King dan banyak lagi. Makanan seperti buahan-buahan sudah diabaikan dan kanak-kanak lebih mementingkan makanan ringan seperti snek dan makan segera seperti Pizza, Mc Donald's dan sebagainya. Dalam satu kajian dinyatakan hanya 2 daripada 549 iklan makanan adalah makanan buahan dan sayuran. Penjajahan ini telah menyebabkan kanak-kanak kita akan memikirkan bahawa makan barat adalah lebih bagus dan berkhasiat sedangkan makanan sebeginilah yang mempunyai masalah kesihatan. Sikap hidonistik juga ditonjolkan oleh kanak-kanak sehingga wang dan pembaziran adalah perkara biasa untuk mencapai kepuasan memakan makanan ringan ini tercapai.

Pengiklanan dan pemasaran produk-produk yang tinggi kuantiti gulanya dalam makanan acapkali dikaitkan dengan makanan kanak-kanak. Terdapat banyak produk kanak-kanak yang mengandungi gula secara berlebihan yang pastinya boleh meragut jiwa. Gula telah dikaitkan dengan pelbagai jenis penyakit seperti kanser, osteoporasis, sakit sendi, penuaan, kegemukan, batu karang dan kencing manis. Kelaziman di Malaysia penyakit-penyakit sebegini sudah dianggap biasa. Statistik menunjukkan 3.3 juta atau 6.6% rakyat Malaysia bertubuh gemuk dan gula menjadi salah satu penyebab utamanya. Di Thailand, kadar kegemukan di kalangan kanak-kanak yang berusia 5-12 tahun telah meningkat daripada 12.2% kepada 15.6% dalam tempoh cuma 2 tahun dan di seluruh dunia fenomena yang sama juga berlaku menurut satu laporan.

Minuman-minuman ringan juga merupakan produk yang paling digemari dikalangan kanak-kanak. Dianggarkan jika kanak-kanak meminum setin minuman bergula akan meningkatkan 60% risiko menjadi gemuk. Kajian kajian yang dilakukan oleh The Lancet (jurnal perubatan British) menyatakan kanak-kanak 12 tahun yang sering meminum minuman ringan cenderung berlebihan berat badan. Pengiklanan dan pemasaran minuman ringan ini telah memasuki sekolah dan IPT dalam bentuk mesin minuman. Di media juga memaparkan imej-imej keseronokan dan keenakan apabila meminum minuman ringan ini. Kanak-kanak terutamanya telah dipengaruhi dalam bentuk pemasaran ini agar keuntungan syarikat minuman ini dapat diraih.

Persatuan Pengguna Pulau Pinangb (CAP) melaporkan SNEK yang menjadi makanan kegemaran kanak-kanak, mengandungi dua kali ganda garam melebihi kadar yang selamat untuk orang dewasa. Kanak-kanak menanggung risiko kesihatan yang lebih besar kerana tubuh mereka lebih sukar menyingkirkan natrium berbanding orang dewasa. Garam yang dimakan oleh kanak-kanak juga mampu mempercepatkan kematian. Makanan segera mengandungi banyak natrium. Misalnya tiga ketul ayam berempah KFC mengandungi 2,590 mg natrium, melebihi paras harian 2,400 mg yang dibenarkan. Kanak-kanak paling gemar memakan makan segera ini kerana memandang rasanya yang cukup sedap tetapi tidak berkhasiat. Syarikat makanan mendorong pengambilan garam dalam kuantiti yang besar. Pengguna mula belajar menyukai garam kerana banyak makanan bayi bergaram. Berbanding susu ibu, susu tepung mengandungi 600 kali ganda garam. Ibu-ibu di Malaysia juga sudah mula beralih kepada penggunaan susu tepung daripada susu badan. Bukan sekadar kanak-kanak sahaja terpengaruh dengan iklan makanan ini tetapi ibu bapa juga menjadi mangsa industri ini. Jika ibu bapa mempunyai tahap kesedaran yang tinggi pastinya susu badan dijadikan makanan asasi kepada bayi.

Terdapat tiga alasan utama kenapa pengeluar mencampurkan banyak garam ke dalam makanan iaitu untuk menambah kelazatan, menjimatkan kos dan mengaut lebih keuntungan.

Pada Mei 2002, McDonald's dalam rencana iklan dalam majalah Femme Actue/l di Perancis, mengingatkan pengguna tidak makan di restoran makanan segera mereka lebih daripada seminggu sekali. Peringatan daripada pihak industri ini juga mengetahui bahawa makanan yang dijual mempunyai kesan-kesan sampingan. Menurut Worldwatch Institute, kanak-kanak di AS dihujani dengan 40,000 iklan televisyen setahun dan separuh daripadanya mempromosi makanan dan minuman yang tidak menyihatkan. Bagi meraih kuasa beli pengguna restoran makanan segera McDonald's dan Burger King bersama-sama membelanjakan lebih daripada US$1 bilion bersamaan RM 3.8 bilion ke atas periklanan pada tahun 1999.

Masyarakat perlu sedar bahawa kuasa beli ditangan mereka. Lantaran daripada itu peranan ibu bapa adalah paling penting untuk memastikan pengaruh iklan dan pemasaran makanan yang tidak berkhasiat dapat dibendung. Langkah-langkah yang efisyen juga perlu diutarakan agar pengaruh iklan terhadap diet kanak-kanak dapat ditangani.

Selain peranan ibu bapa, jualan makanan ringan, minuman ringan dan makan segera di semua institusi pendidikan terutamanya melalui mesin minuman patut diharamkan.

Risalah-risalah kesedaran juga perlu dititik beratkan dan diedar kepada masyarakat terutama kanak-kanak yang mempunyai kuasa pendesak. Peranan menyebarkan risalah ini bukan hanya dimainkan oleh persatuan pengguna seperti CAP dan FOMCA tetapi adalah jaringan masyarakat seperti surau atau institusi pendidikan seperti persatuan pengguna yang berada dalam IPT dan sekolah.

Pelaksanaan polisi kesihatan juga mampu menangani masalah makanan tidak sihat dikalangan kanak-kanak seperti perlabelan fakta makanan yang jelas iaitu kandungan gula dan garam. Perlabelan tanda amaran juga penting seperti “amaran kerajaan gula berlebihan membahayakan kesihatan” atau gambar yang menonjolkan penyakit kronik akibat gula atau garam berlebihan. Ini kerana kanak-kanak akan meletakkan bahawa diet yang tidak sihat ini perlu dijauhi.

Peranan pihak kerajaan adalah cukup penting yang mana kementerian kesihatan harus mengusulkan larangan atau menghadkan iklan makanan tidak sihat untuk kanak-kanak kepada kementerian penerangan. Langkah bijak ini perlu dilaksankan segera agar dapat membantu masyarakat terutama kanak-kanak mengamalkan gaya hidup sihat. Pihak media jangan hanya meletakkan keuntungan sebagai prioriti, tetapi kesedaran dan pengetahuan yang perlu dijana kepada pengguna dalam soal diet dan pemakanan.

Slogan “Pengguna Bijak Faedahnya Banyak” seharusnya ditanam dalam diri kanak-kanak agar segala tingkah laku mereka menjurus ke arah pemakanan, diet, perbelanjaan yang sihat. Kanak-kanak adalah ibarat kain putih yang bersih dan kita selaku ibu bapa harusnya mencorakkan gaya hidup mereka ke arah pengguna bijak.

Zulzaidi

Jumaat

12/7/2008

This entry was posted on 9:18 PM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

2 comments

Assalammualaikum,
saya ingin berkongsi berkenaan kemusykilan yang saya hadapi?
wajarkah iklan dari sudut perspektif islam? apakah kemungkinan yang akan timbul kesan dari iklan itu sendiri?

teriam kasih atas informasi yang berguna di atas..
:)