Posted by Zulzaidi

cerpen
AGAR MEREKA HIJRAH KEPADA ISLAM

Malam itu langit menampakkan tubuhnya yang dipenuhi gugusan bintang. Rembulan juga mula memberikan sedikit cahayanya kepada dada langit agar keindahan alam ciptaan Allah menampakkan serinya. “Ustaz Wahab! Malam ini juga ke kita akan masuk Kuala Mu”? Tanya aku sambil menggaru kepala tanda meminta kepastian. Ustaz wahab berbaju kotak biru merah memegang hulu tongkatnya yang telah diberikan oleh YB Shahidan Kassim di Perlis dulu hanya menjawab ringkas ” Nabi hijrah dari Mekah ke Madinah pun waktu malam, inikan kita yang mahu hijrahkan orang Kuala Mu”.

Kali pertama aku pergi ke Kuala Mu, baru aku sedar betapa berharganya sebuah dakwah. Rasulullah dalam medan menyebarkan kalimah tauhid menempuh dan mengharungi banyak rintangan dan halangan. ” Zaidi! Anta bawa yala” arah Ustaz Wahab kepada aku. Tersentak aku dari lamunan mengingatkan betapa indahnya perjalanan Kuala Mu sewaktu aku pergi sebelum ini. ”baiklah ustaz” jawab aku sambil melangkah ke bangku pemandu land rover yala.

Aku melihat di tangan jam tapat menunjukkan pukul 3.45 pagi. Pagi itu aku memandu paling hadapan dibarisan deretan kenderaan yang masuk ke Kuala Mu pada kali ini. Aku melihat teman- teman lain dari kalangan muslimat dan muslimin mula mendodoikan mata mereka sehingga kelopak mata atas dan bawah bertemu. Aku terpaksa mencengkang mata, jika aku leka maka nahas mudah menimpa. Aku hanya melihat arah hadapan sewaktu memandu, kadang-kadang aku terpaksa mengelak lubang-lubang lumpur agar penumpang di dalam land rover bisa dan terus dibuai mimpi-mimpi indah. Perjalanan walaupun berliku-liku, aku tetap gagahinya kerana kalimat shahadah perlu disampaikan kepada Orang Asli. Islam tidak hanya meletakkan kalimat tauhid sebagai teras pembinaan Aqidah Islam, tetapi ketauhidan itu perlu diterjemahkan dalam perilaku.

Sambil aku memadu menikmati udara segar, sedang tingkap aku buka agar angin dapat menampar pipiku yang kasar dan berjeragat ini, aku memikirkan satu kisah bagaimana Nabi berdakwah. Angin malam mula menusuk ke dalam dadaku menyusur melalui lenganku yang sengaja aku keluarkan melalui tingkap. Fikiranku hanya mengingatkan kisah dakwah itu. Seorang yahudi buta yang Allah buka pintu tauhidnya selepas wafatnya Nabi. Setiap hari Nabi pasti ke rumah itu, mananak makanan dan menyuapkan ke dalam mulut seoarang Yahudi buta. Yahudi tu hanya tahu menempelek Nabi dengan kalimat-kalimat yang mengigit iman seorang Muslim. Penghinaan, cacaian dan makian yang dilemparkan kepada Nabi hanya menambahkan kecekalan Nabi untuk terus berdakwah kepada yahudi itu dengan hanya menggunakan suapan. Yahudi itu tidak tahu bahawa yang dicaci, dimaki, diherdik adalah lelaki yang menyuapkan setiap butir makanan dalam mulut yahudi itu. Tetapi selepas wafatnya Nabi kerinduan menikmati suapan seorang lelaki yang bergelar Rasul itu tidak kesampaian. Khalifah Islam pertama Abu Bakar mula melakukan apa yang pernah dilakukan nabi kepada yahudi itu, dan ternyata tidak sama dengan kelembutan dan keizzahan yang ditonjolkan oleh Muhammad s.a.w. Menyedari bahawa lelaki yang pernah menyuapkan makanan ke mulutnya, yang dimaki, dicaci itu Muhammad barulah yahudi itu percaya bahawa Islam itu sangat indah.

”Zaidi! Kita dah sampai mana?” tanya Ustaz Wahab yang berada disebelahku sambil menenyeh mata. ”kita dah nak dekat R&R ni, kita solat subuh disitu je la ustaz” jawabku dengan menambah sedikit cadangan. ”baik” jawab ustaz ringkas. Aku terus memandu menyusur kediaman Orang Asli yang mula menampakkkan kemodenan dan pembangunan, tatapi aku terus terfikir adakah dengan pembangunan ini, keAslian mereka akan pudar dan hilang. Aku menekan brek kaki tanda perjalanan di pertengahan jalan sudah sampai. Muslimin dan muslimat yang berada dalam yala mula ternganga dan tercengang kerana mereka masih lali dan melamun dari tidur mereka.
Pagi itu sangat hening, hanya suara unggas-unggas menyanyikan lagu-lagu mengikut rentak dan irama alam yang berbunyi. Aku tidak dapat melihat keliling kerana terlalu gelap, cuma nampak cebis-cebis cahaya lampu yang keluar dari lampu suluh dahi Ustaz Wahab. Aku, faisal dan Epal mula bergerak perlahan-lahan menuju ke anak sungai untuk mengambil wuduk. Selesai berwuduk kami solat berjemaah bersama-bersama diimamkan oleh Jundu temanku dari Maahad Tahfiz Alor Setar. Selesai solat kami dihidangkan dengan sedikit tazkirah oleh Abang Shah. Aku tahu bahawa teman-teman yang baru masuk ke Kuala Mu masih tidak mengerti apa tujuan sebenar perjalanan ini. Abang Shah hanya memberikan sedikit kata kunci perjalanan ini. ”kita Cuma mahu bagi makan kepada anak orang Asli” kata Abang Shah kepada semua teman-teman.
Perjalanan tetap diteruskan ke Kuala Mu, mentari mula menyinarkan kilauan cahayanya, langit hitam melabuhkan warnanya kerana malu melihat mentari memancar pekat ke dada langit. Hari semakin cerah dan perjalan masih suku lagi untuk sampai. ”ustaz! Bukit Petai ni boleh naik ke? Macam licin je?” Tanya aku kepada Ustaz Wahab untuk mendapatkan kepastian. Ustaz Wahab dengan tersenyum menampakkan barisan giginya yang penuh berkata ”anta jangan takut la, insyaAllah boleh naik”. Aku terus menolak gear dua kepada gear satu agar pendakian Bukit Petai ini mudah. ”Allah, Allah, Allah” terpancul aku kalimat ini untuk meraih sedikit kekuatan untuk meneruskan pendakian. Alhamdulillah setelah menempuh rintangan denai rimba tiba juga kami ke Kuala Mu.
”Abang Zaidi! Ini ke rumah mereka?”tanya Epal kepada aku. ”semestinya” jawab aku sambil tersenyum manis kepada epal yang berpewatakan sedikit lembut. Rumah Orang Asli Kuala Mu masih seperti dulu beratapkan rumbia, berdinding dan berlantaikan buluh. Anak-anak kecil berkejar-kejar sesama mereka tanpa memakai selipar dan tercalit sedikit lumpur-lumpur tanda mereka anak Kuala Mu. Kami berkemas-kemas mengangkat beg-beg untuk diletakkan di dalam pondok rehat. Pondok itu boleh dikatakan sebagai hotel setaraf Seri Malaysia di Sungai petani kerana itulah pondok yang terbesar dalam kampung Kuala Mu.
Kami membuat sedikit mesyuarat untuk memudahkan agenda kami pada kali ini. ”petang nanti kita akan bertolak ke Beswok, itu cadangan saya” kata Ustaz Wahab tersengih-sengih meminta sokongan. ”ramai ke yang setuju?” tanya Salman anak Cikgu Mi kepada semua peserta. Melihat kanan dan kiri ramai yang mengangguk tanda cadangan Ustaz Wahab itu diterima. ”jadi sekarang kita akan buat sedikit makan besar” ujar Salman kepada teman-teman. Makan besar dalam bahasa Asli disebut ”cak Raya”. Sebenarnya dakwah ini cukup mudah, kita hanya perlu memberi makan kepada orang Asli yang belum Islam ini.
Taman-teman muslimat mula berkawan dengan anak-anak Orang Asli. Kelihatan anak Orang Asli cukup gembira dengan kedatangan kami. Aku berlari-lari anak menuju kepada mereka sambil memegang gula-gula untuk diberikan kepada mereka. Aku berkata kepada anak orang Asli jika mereka mahukan gula-gula perlu ikut apa yang aku cakap. ”Ashhadu” aku mengarahkan mereka menyebut kalimat itu sambil mengangkat jari telunjuk menunjukkkan ke langit sebagai simbol shahadah. Jawab mereka malu-malu alah. ”an la ilaha illallah” mereka terus mengikut apa yang aku cakap sambil menolak kawan-kawan mereka. ”wa ashhadu” kalimat ini terus mereka ikut kerana mahukan gula-gula. ”Anna muhammmadarrasulullah” gembira benar hati aku apabila mendengar tutur shahadah dari bibir mereka. Aku memberikan mereka seorang satu gula-gula.
Aku amat sedih melihatkan pakaian mereka yang lusuh, tidak berbasuh dan pakaian yang terlekat di dada mereka nampak begitu kotor keadaannya. Dari sudut kebersihan mereka memang tidak mementingkannya, tetapi mereka terlalu sihat. Aku, Faisal menjeling antara kami. ”Zaidi! Depa memang tak sakit ke? Awat depa nampak sihat je?” Tanya faisal sambil menuding jarinya kepada sekumpulan wanita Orang Asli yang berdiri di depan sebuah rumah sambil mendukung anak mereka dengan pelbagai cara. ”aku pun tak tau, tapi sememangnya mereka lebih sihat dari kita, sebab mereka berkawan dengan alam, kesihatan mereka usah ditanyalah, orang-orang tua yang berumur 60 tahun pun kuat lagi” jawab aku.
Makanan yang dimasak oleh Abang Shah sudah siap disaat aku dan teman-teman lain asyik bermain dengan anak-anak Orang Asli. Permainan kami hanya memberi mereka kertas dan pensil untuk mereka melukis. Terkejut aku melihat cara mereka melukis sehinggakan ada seorang diantara mereka melukis gambar land rover dengan cantik. ”Zaidi bagi tau budak-budak tu bawa pinggan, makanan dah siap” laung Abang Shah sambil memegang senduk nasi. ”adik-adik, balik rumah ambil ayan” arah aku kepada anak-anak Orang Asli. Mereka terus bertempiaran mengambil pingan dan segera beratur mengambil makanan. Alhamdulillah makan cukup diberikan kepada orang kampung. Aku melihat mereka cukup gembira dengan kedatangan kami, kerana kami memberikan mereka makan nasi. Kalau kita nasi yang tidak habis dan sisanya dibuang ke tong sampah adalah perkara biasa. Tetapi mereka menganggap nasi adalah makanan paling istimewa kerana mereka sukar untuk memperolehinya kerana terlalu mahal. ”Shah! Lori garam tertumpah ke? Perli Abang Nuar sambil memegang sebutir besar garam yang belum larut dalam gulai telur yang dimasak. Kami yang berada disitu ketawa mendengar kata-kata Abang Nuar kepada Abang Shah. Selepas selesai mereka makan dan semua periuk dan perkakas disimpan dalam land rover maka kami mula mengemas pondok yang kami tinggal.
”Salman! Mari kita bertolak ke Beswok, takut nanti hujan” arah Ustaz Wahab yang memagang tongkat diberanda pondok. ”sahabat-sahabat! Lagi lima minit kita akan bertolak, jadi pastikan tiada apa-apa barang yang tertinggal” laung Salman kepada kami. Kami mula mengambil tempat dalam land rover masing-masing, anak-anak Orang Asli mula melihat sesama mereka. ”Abang datang bila lagi” tanya Angah seorang budak perempuan Asli kepada Amer. Amer menjawab sambil memegang bahu budak perempuan itu dengan nada yang membuatkan aku sebak ”abang balik dulu, bulan depan abang datang balik jumpa dengan adik, nanti abang bagi tudung pada adik”. Aku yang memandu land rover yala mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan kawasan pondok. Kanak-kanak Orang Asli berkejaran antara mereka membontoti land rover kami menampakkan riak wajah mereka yang tidak mahu kami pergi. ”nanti abang datang lagi” laung Amer kepada mereka sambil melambai tangan. Kami pasti akan datang lagi kerana dakwah kami kepada mereka mesti berterusan. Kami Cuma mengharapkan mereka berhijrah kepada Islam, jika kali ini tiada yang hijrah kepada Islam, esok mereka akan berhijrah kepada Islam, jika tidak esok, lusa mereka berhijrah kepada Islam, jika tidak lusa hari berikutnya mereka berhijrah kepada Islam, dan jika seterusnya mereka tidak berhijrah kepada Islam, mendatang mereka akan berhijrah kepada Islam walaupun kami sudah menutup mata dan kami tetap mengharapkan mereka berhijrah kepada Islam.

8pagi 29/06/08

This entry was posted on 8:36 AM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

1 comments

cerpen ini rasanya kisah sebenar. seronok berdiskusi sastera