Posted by Zulzaidi



AIDILADHA YANG KIAN PUDAR

Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh umat Islam yang mana mempunyai nilai-nilai tersendiri pada hari tersebut. Hari Raya Aidlilfitri yang berlalu merupakan hari kemenangan umat Islam setelah berperang dengan hawa nafsu selama sebulan melalui jalan ibadah puasa di bulan Ramadhan Al-Mubarak. Maka pada 10 Zulhijah hingga 13 Zulhijah pula Allah memberi suatu ruang kepada umat Islam untuk menyambut hari kebesaran Islam iaitu Aidiladha. Takbir yang bersahutan memeriahkan lagi hari raya Aidilfitri dan Aidiladha justeru nilai syiar Islam lebih dihayati.


Setelah Rasulullah s.a.w berhijrah dari bumi Mekah ke Madinah, Baginda melihat bahawa penduduk Madinah mempunyai dua hari kebesaran yang dirayakan secara besar-besaran iaitu hari Nairuz dan Mahrajan. Rasulullah bertanya kepada penduduk Madinah tentang perayaan tersebut lantas dijawab bahawa perayaan tersebuat adalah perayaan yang disambut sejak dari zaman jahiliyah. Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menukarkan kepada kamu dua hari tersebut kepada hari yang lebih baik untuk dirayakan iaitu Aildiladha dan Aidilfitri”. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud, Al-Nasa’ei dan Ahmad.

Umat Islam kini harus sedar tentang kebesaran kedua-dua perayaan tersebut agar tidak tersasar jauh dari landasan Islam yang sebenar seperti pembaziran dan lupa diri dalam segala hal sehinggakan hiburan hedonisme lebih ditonjolkan dari takbir yang diperlu dilaungkan. Aidiladha merupakan hari untuk memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s dalam melaksanakan hukum Allah s.w.t. yang mana Allah memerintahkan Nabi Ibrahim a.s menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Nabi Ismail a.s menyuruh ayahandanya menuruti perintah tersebut. Allah s.w.t telah sekali lagi memerintahkan bahawa korban anak Nabi Ismail digantikan dengan kibas dan jelas bagi kita umat Islam kepatuhan kepada Allah merupakan nilai Islam yang tertinggi.


Bila disebut Aidiladha ia tidak dapat lari daripada ibadah haji yang dilaksanakan bagi umat Islam yang berkemampuan dalam hal rukun Islam yang kelima ini. Pada hari tersebut juga manusia yang menunaikan ibadah haji mengenepikan soal keduniaan dengan memakai pakaian seragam ihram yang disyariatkan Islam. Ini jelas membuktikan bahawa umat Islam diakhirat nanti mempunyai darjat yang sama dan Allah mengangkat manusia yang bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Allah telah menjelaskan bahawa semua manusia adalah sama dan yang paling mulia adalah yang bertaqwa kepada Allah.

Dalam ibadat ihram ini juga tidak kira kaya dan miskin sama-sama mengalami nasib yang serupa iaitu berpanas terik bersama dengan pakaian yang serupa dan ia seakan-akan perhimpunan di padang mahsyar. Bagi mengimplimentasikan dalam kehidupan seharian manusia kita harus sedar bahawa kejadian manusia adalah sama dan kita haruslah saling hormat menghormati antara satu sama lain. Jika kita mengkoreksi hal kehidupan kini khusunya di Malaysia, masyarakat seakan tidak mempunyai nilai kemanusiaan apabila yang miskin terus miskin dan yang kaya terus kaya, bukan sekadar itu sahaja tetapi yang kaya dan kuat ini terus menindas yang miskin dan lemah dan perkara ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Seharusnya saling tolong menolong dan saling bantu membantu merupakan amalan asas kehidupan kita yang mana dengan cara ini sahajalah Islam akan terus dipandang tinggi.

Hari Raya Aidiladha suram jika hendak dibandingkan dengan Hari Raya Aidilfitri sedangkan Aidilfitri dipanggil hari raya asghar (kecil) manakala Aidiladha adalah hari raya Akhbar (besar). Di Malaysia sebegitu keadaannya jika dibandingkan dengan keadaan di Negara-negara Islam yang lain.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menyatakan bahawa di tanah arab sekurang-kurangnya 7 hari umat Islam di sana bercuti bagi merayakan Aidiladha dan perayaan di tanah arab amat meriah dan suasana ini hanya dapat dilihat di Kelantan yang mampu mengimpilementasikan kemeriahan raya akhbar itu. Jika di Malaysia cuti hanya diberikan sehari dan keesokan harinya masyarakat perlu bekerja kembali dan kemeriahan Aidiladha seakan suram sedangkan Allah membuka ruang sehingga 4 hari untuk umat Islam merayakan dengan korban dari 10 Zulhijah hingga 13 Zulhijah. Mufti Perak mencadangkan bahawa umat Islam diberi cuti selama 4 hari bagi membolehkan Aidiladha disambut dengan gembira dan meriah dengan landasan Islam yang sebenar. Cadangan ini haruslah dikaji oleh pihak yang berwajib dengan teliti agar kemaslahatan umat Islam dijaga dan bertepatan dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama Rasmi Persekutuan.

Dari peristiwa korban ini selaku masyarakat yang dinaungi oleh institusi keluarga yang di kemudi oleh bapa dan ibu dan dianggotai oleh anak-anak harus melihat nilai-nilai kekeluargaan dari kisah Nabi Ibrahim a.s, Nabi Ismail a.s dan Siti Hajar. Siti Hajar ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim a.s dengan perintah Allah di padang pasir yang kering kontang dan diterima oleh Siti Hajar dengan redha. Jika dilihat dari kisah ini jelas kesetiaan seorang isteri kepada suami tidak berbelah bagi dan haruslah setiap isteri di dunia ini mengadaptasikan nilai kisah ini dalam kehidupan seharian. Selain itu pendidikan yang diberikan oleh Nabi Ibrahim a.s ke atas Nabi Ismail a.s dengan kerja keras mendirikan kaabah yang tersergam indah harus diikuti oleh bapa dan anak. Pada masa kini si bapa menghidangkan hamburan material kepada anak-anak sehinggakan anak-anak tidak menghargai jasa bapa yang mencari nafkah kepada mereka dengan menderhaka kepada kedua ibu bapa.

Kisah korban ini tidak terhenti sekadar itu sahaja tetapi nilai pengorbanan haruslah di hayati agar kehidupan selaku khalifah Allah lebih berharga. Kita juga harus mengkoreksi khutbah yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w dalam khutbah terakhir Baginda pada Hajjah Al-Wida’ ( haji terakhir ). Rasulullah s.a.w telah menyuruh umat Islam berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah agar tidak tersesat jauh dari landasan yang benar. Dalam Kitab Al-Raheeq Al-Makhtum karangan Ahaikh Sofiy Al-Rahman Al-Mubarakfuri ada menjelaskan tentang Hajjah Al-Wida’ ( haji terakhir ) Raulullah s.a.w.

Justeru Umat Islam seluruhnya harus mengembalikan kegemilangan Islam dengan cara yang betul dan diredhai oleh Allah s.w.t pada saat Hari Raya Aidiladha.
Pembaziran yang berlebihan dan “Hedonisme” hiburan melampau harus dijauhi dan digantikan dengan nilai-nilai ketaqwaan seperti besederhana dan berpada-pada dalam kehidupan. Maka Umat Islam pada Hari Raya Aidiladha ini perlu kembali menghayati nilai-nilai pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s. Datuk Al-Syeikh Haji Abdul Halim menyatakan bahawa walaupun kedua-dua perayaan Aidilfitri dan Aidiladha adalah sama, tetapi dari segi rohnya ibadah korban lebih besar nilainya. Selaku Umat Islam perlulah kita kembali berada pada landasan yang ditunjuk oleh Baginda Rasulullah s.a.w melalui Quran dan Sunnah. Akhirnya marilah kita bersama-sama menghayati maksud surah al-Hajj ayat 34 yang bermaksud :

“Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, Maka Tuhanmu ialah Tuhan yang Maha Esa, kerana itu berserah dirilah kamu kepadaNya. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh kepada Allah”.




ZULZAIDI BIN MAHMOD


3/12/08

This entry was posted on 12:28 AM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments