HARAPAN MAHASISWA TERHADAP KABINET BARU  

Posted by Zulzaidi



Beberapa muka baru dan lama yang digabungkan dalam kabinet menunjukkan strategi terbaik Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang diumumkan Selasa lalu. Kepimpinan gabungan baru dan lama ini mungkin mampu menerajui negara Malaysia kepuncak yang tertinggi, agar mata dunia bisa melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang wajar dicontohi.
Masyarakat amnya mengharapkan sesuatu kelainan kepada kabinet yang baru dibentuk, lebih-lebih lagi dalam menyelesaikan masalah yang timbul dalam masyarakat, dan juga dapat meletakkan kebajikan rakyat sebagai asas sesuatu keputusan. Mahasiswa juga merupakan golongan yang tidak terkecuali mengharapkan kewibawaan kabinet baru ini mampu memberi harapan dan dorongan kepada mahasiswa untuk terus mengikuti perkembangan negara.
Harapan mahasiswa antara lain mengharapkan agar kabinet baru ini dapat turun ke setiap IPT untuk bertemu mahasiswa dan menjelaskan apakah hala tuju sebenar Kerajaan Pusat yang baru dalam memacu negara Malaysia. Dalam masa yang sama sesi soal jawab dan lontaran pandangan dan idea antara Pemimpin dan mahasiswa perlu diadakan. Dengan sesi ini, pemimpin dapat berkongsi pandangan bersama mahasiswa kerana mahasiswa juga berfikiran kritikal dan mempunyai idea yang bernas. Cara ini juga dilihat lebih efektif dalam mendekatkan pemimpin dan golongan mahasiswa di IPT.
Selain itu mahasiswa juga mengharapkan kabinet baru terutamanya Menteri Pengajian Tinggi yang baru iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dapat memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan gigih. Ramai tokoh-tokoh akademik yang menyokong kewibaan Menteri Pengajian Tinggi yang baru. Antara yang menyokong adalah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Prof Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, Presiden Universiti Terbuka Malaysia, Prof Tan Sri Anuwar Ali dan Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin. Bukan terheti setakat itu sahaja, mahasiswa mengharapkan Menteri Pengajian Tinggi ini mendorong dan memberi galakan kepada setiap IPT dalam menambah hasil kajian bagi meningkatkan “Ranking” IPT ke tahap yang lebih baik diperingkat global.
Harapan lain adalah Kabinet baru dapat mengkaji dan meneliti tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh mahasiswa antaranya meminda Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU)1971 subseksyen 15 (1), 15 (2) dan dibawah seksyen 15 (3), yang menyekat kebebasan mahasiswa untuk berpolitik. Selain itu mengkaji Caj PTPTN yang dikatakan amat tinggi dan membebankan graduan.
Mahasiswa juga amat berharap kepada kabinet baru ini agar tidak terlibat dengan masalah yang tidak bermoral seperti rasuah, kronisme, salah guna kuasa dan mengamalkan cara hidup bermewah-mewah. Mahasiswa menuntut kabinet baru ini mempunyai integriti yang tinggi, sifat sederhana, adil dan amanah dalam kerja, komitmen yang tinggi terhadap tanggungjawab yang diberikan dan serius membela masyarakat yang memerlukan.

Mahasiswa amat bersetuju dan menyambut baik arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia kepada kabinet agar mengisytiharan aset masing-masing. Mahasiswa juga mencadangkan selain dari aset menteri diisytiharkan, ahli keluarga dan orang-orang yang rapat dengan Para Menteri juga perlu mengisytiharkan harta mereka kepada umum. Perkara dilihat lebih berkesan untuk meningkatkan lagi integriti menteri dan rakyat dapat memberi kepercayaan sepenuhnya kepada kepimpinan negara.
Kesimpulannya Mahasiswa yang bakal memimpin masa hadapan diperingkat kepimpinan negara Malaysia mengharapkan sesuatu yang lain. Lain disini mampu untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa segala masalah yang timbul dapat diatasi dengan cekap tanpa menyentuh hak rakyat. Mahasiswa menyokong kepimpinan kabinet baru ini selagi kabinet ini tidak melanggar etika kerja yang baik. Diharapkan juga tidak barisan kabinet ini tidak terlibat dengan aktiviti yang merosakkan maruah dan mencemarkan nama Malaysia. Jika perkara yang buruk dan mencalarkan nama baik kepimpinan dilakukan kabinet, mungkin dan semestinya kepercayaan mahasiswa akan luntur dan pudar untuk menaruh harapan lagi kepada kabinet baru.


(ZULZAIDI BIN MAHMOD)
JABATAN SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG
AKADEMI PENGAJUAN ISLAM
UNIVERSITI MALAYA

22/3/08

This entry was posted on 9:30 PM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments