Posted by Zulzaidi

Tersentak dada kita melihat dunia digemparkan dengan krisis kekurangan bekalan makanan asas yang meruncing. Kita dapat lihat negara-negara jiran seperti Indonesia dan Filipina mula memberontak membuat rusuhan dan demontrasi bagi menyatakan ketidakpuasan hati berikutan kenaikan harga makanan asas yang mendadak dan melampau.

Isu kekurangan makanan ruji iaitu beras melibatkan kebanyakan negara di Asia seperti India, Filipina, Indonesia, Malaysia dan banyak lagi. Lantaran daripada kekurangan bekalan beras ini, telah menyebabkan harga makanan ruji ini naik secara mendadak. Secara tidak langsung kenaikan harga beras juga melibatkan negara-negara pengeluar terbesar dunia seperti Thailand dan Vietnam.

Kevin Cleaver, Timbalan Presiden Tabung Pembangunan Pertanian Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengakui dunia menghadapi krisis makanan dan perlu diberi perhatian sejagat. Laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Makanan Dunia (FAO) menyatakan 36 negara berisiko tinggi terjejas teruk dan menghadapi krisis makanan ini. Manakala Bank Dunia menerusi analisisnya mengenal pasti sekurang-kurangnya 33 buah negara di benua Asia Barat, Afrika dan Amerika Latin terdedah kepada krisis ini. Jumlah yang dinyatakan bukanlah satu jumlah yang kecil tetapi jumlah ini melibatkan negara-negara besar termasuk Negara pengeluar makanan ruji.

Seharusnya kita sedar bahawa kenaikan harga beras ini memberi peringatan kepada kita selaku rakyat Malaysia agar lebih prihatin dan besederhana dalam menghadapi sesuatu permasalahan. Keprihatinan kita adalah sangat wajar memandangkan kenaikan harga beras di negara Malaysia tidak memberi impak yang begitu besar sehingga berlaku penghabisan stok beras secara total, pemberontakan dan kebuluran seperti di negara-negara luar. Kesederhanaan kita juga memberi satu keinsafan apabila melihat negara-negara di luar sana yang menghadapi krisis ini telah meragut 9.7 juta nyawa kanak-kanak di bawah 5 tahun kerana menghidap penyakit berkaitan kelaparan dan kekurangan zat makanan.

Walaupun Malaysia merupakan negara yang mempunyai kawasan penanaman padi yang luas seperti Negeri Selangor, Pulau Pinang termasuk negeri jelapang padi iaitu Kedah. Hakikatnya Kedah hanya mampu membekalkan beras pada kadar 40 peratus keperluan rakyat Malaysia. Timbul persoalan di dalam benak fikiran kita, adakah stok beras negara tidak mampu menampung bekalan beras negara sehinggakan Negara Malaysia perlu mengimport hampir 480,000 tan beras dari negara jiran Thailand.

Di sini perlu kita menyingkap 4 faktor besar yang menyumbang kepada kenaikan harga bekalan makanan asasi dan juga kekurangan bekalan asasi ini. Pertamanya kenaikan kos minyak dan tenaga, kedua persaingan yang makin meningkat di antara biofuel dan makanan, ketiga malapetaka berkaitan ketinggian suhu dan perubahan cuaca yang memusnahkan tanaman dan faktor keempat monopoli negara-negara besar dan juga negara pengeluar beras dunia yang menutup pintu eksportnya ke negara luar. Kita dapat lihat bahawa negara-negara besar memonopoli tanaman global berdasarkan skala yang besar mengikut negara-negara tertentu seperti tanaman padi oleh Vietnam dan Thailand, Jagung oleh Amerika.

Kenaikan harga minyak turut menyumbang kepada krisis ini rentetan kenaikan kos input pertanian seperti baja, racun, kos mesin, kos tuaian, dan penyimpanan Kita tidak nafikan kerana kita sekali lagi digemparkan dengan kenaikan harga minyak dunia yang juga membabitkan kenaikan harga minyak petrol dan diesel negara. Ada juga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan termasuk juga harga makanan asasi iaitu beras secara mendadak atas alasan menanggung beberapa kos lain yang tinggi.

Seterusnya perubahan cuaca dan iklim dunia mempengaruhi hasil pengeluaran padi pada masa kini. Kita selaku rakyat Malaysia yang berada di kawasan khatulistiwa iaitu kawasan panas dan lembap sepanjang tahun dapat melihat perubahan cuaca pada masa kini yang tidak menentu. Jika dahulu pada bulan Jun setiap tahun musim buah-buahan pasti menjelma seperti durian, manggis, langsat dan rambutan, dapat juga kita lihat dikebanyakan tempat sekitar Pahang, Perak dan Kedah bersusun gerai-gerai kecil menjual buah-buahan ini. Tetapi kini musim itu seakan-akan bercelaru kerana ada tempat yang musim buah-buahan lebih awal dan ada yang lambat dan ada juga yang langsung mati dengan musim buah-buahan. Tidak dapat tidak, perkara ini merupakan akibat perubahan iklim yang ketara lari fitrah alam apabila manusia mengejar kemodenan sehingga mengabaikan dan mencemarkan alam sekitar. Lantaran daripada iklim yang bercelaru ini, hasil padi yang sepatutnya meningkat kerana membabitkan teknologi tinggi dengan beberapa produktiviti kini sudah mengurangkan hasilnya, maka rentetan daripada itu bekalan makanan asasi mula berkurangan dan ia membabitkan peningkatan harga beras secara mendadak.

Kegilaan Industri Biofuel dunia untuk memenuhi nafsu buas pengguna menyebabkan banyak tanah pertanian yang menghasilkan makanan diubah kepada penghasilan Biofuel. Tanah-tanah pertanian baru juga diterokai untuk Industri Biofuel. Keperluan makanan dunia telah diketepikan demi memenuhi kehendak pasaran yang mahukan keuntungan segera dan pastinya keuntungan ini berorientasikan Industri Biofuel. Amat mengecewakan apabila banyak negara mula mencatat polisi yang pro Industri Biofuel dengan memberi akses tanah dan pelepasan cukai kepada korporat-korporat yang mengembangkan Industri Biofuel. Akibatnya berlakulah kekurangan tanah pertanian untuk makanan dan rentetan daripada itu berlakulah wabak krisis makanan dunia yang dasyat pada masa kini.

Tindakan memonopoli pasaran pertanian dan mengawal segala input pertanian seperti racun, baja dan biji benih yang telah dilakukan oleh syarikat-syarikat besar seperti Sygenta, Monsanto, DuPont, Aventis, B.A.S.F, Dow Chemical Co telah menyebabkan kenaikan harga makanan di pasaran dunia. Kenaikan harga ini juga ditambah oleh keengganan Vietnam iaitu negara pengeksport beras kedua dunia mengharamkan pengeksportan ke negara luar. Negara India juga mengambil langkah yang agak drastik dengan menghadkan aktiviti penjualan berasnya tidak melebihi $ 1000 per tan metrik bagi beras bukan Basmathi. Jelaslah di sini bahawa kegagalan setiap negara memahami soal kedaulatan makanan dan menjaga soal keselamatan makanan mereka akan mengundang mereka kelembah bahaya yang menakutkan. Sikap mementingkan diri yang telah dibuat oleh syarikat-syarikat besar dan juga beberapa negara tanpa memikirkan kesejagatan dunia telah mengundang permasalahan krisis ini secara lebih meruncing.

Melihat daripada faktor-faktor yang dirungkai dan dihurai di atas kekuatiran mula timbul dalam dada kita. Kerisauan mula membuak-buak kerana kesan terhadap kekurangan bekalan keperluan asasi ini dapat kita lihat dengan berlakunya kenaikan harga beras dipasaran. Selain itu berlaku juga pemberontakan, rusuhan dan demontrasi seperti yang berlaku di Indonesia, Haiti, Mesir, Ivory Coast, Ethiopia dan Filipina berikutan kenaikan harga makanan. Paling ketara apabila Bank Dunia menyatakan bahawa peningkat harga makanan yang meningkat dua kali ganda sejak tiga tahun lalu dijangkakan terus meningkatkan 3-5 peratus kadar kemiskinan global. Seharusnya kita sedar bahawa dengan meningkatnya kadar kemiskinan global ini maka banyak negara-negara yang terlibat akan menghadapi masalah makanan yang serius lantas menyebabkan masalah kebuluran dan masalah kekurang zat makanan. Rentetan daripada itu kekhuatiran kita makin bertambah apabila mengetahui bahawa setiap 5 saat seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat kelaparan. Semestinya perkara sebegini kita tidak mahu terjadi pada kanak-kanak di Negara Malaysia.

Setelah kita meneliti faktor dan kesan berikutan krisis harga bekalan makanan asasi ini, maka seharusnya cadangan penyelesaian menyelusuri agar krisis harga beras ini dapat distabilkan dan ditangani.Beberapa cadangan mula diutarakan oleh beberapa pihak bagi menangani krisis harga beras dipasaran. Cadangan-cadangan tersebut juga ada yang mendapat sokongan dan ada juga yang menadapat tentangan kerana dianggap tidak releven.

Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri, Dr. Tan Swee Lian memberi saranan dan cadangan supaya rakyat menukar pengambilan makanan kepada ubi kayu dan keledek bagi mengurangkan import beras dan gandum. Secara tidak langsung pendekatan itu adalah untuk mengelakkan masalah kenaikan harga beras di pasaran dunia. Alternatif ini perlu dipandang serius kerana ubi kayu dan keledek mempunyai unsur zat galian kalium, kalsium dan ferum yang melebihi beras.

Seterusnya melihat kepada Negeri Johor dan Kelantan di beberapa kawasan, wujud sawah-sawah yang terbiar dan tidak diusahakan. Memandangkan produktiviti padi kita sekarang tidak mampu menampung stok beras negara maka kawasan-kawasan sawah yang terbiar, juga kawasan-kawasan yang mempunyai potensi penanaman padi yang terbiar perlulah diusaha dan dibaikpulihkan agar penanaman padi dapat dijalankan. Secara tidak langsung dengan bertambahnya kawasan penanaman padi secara besar-besaran dan terancang dapat menangani kenaikan harga beras di pasaran. Ini kerana jika beras negara mencukupi untuk keperluan rakyat maka kerajaan tidak harus lagi mengimport dari negara luar bahkan kita yang mengeksport beras kita ke negara luar. Menurut Dr. Mustafa Dakian, pengeluaran beras negara kini hanya mampu menampung sekitar 75 peratus keperluan rakyat, dan negara hanya memerlukan 25 peratus lagi bagi memenuhi keperluan rakyat seluruhnya. Peningkatan produktiviti ini seharusnya dibuat secara teliti memandangkan tanah-tanah yang terbiar begitu banyak yang tidak diusahakan. Pembaikpulihan sawah-sawah terbiar ini tidak menelan kos yang begitu banyak kerana segala frasarana sudah tersedia sebelum ini seperti perparitan dan hanya perlu diselenggarakan dengan lebih sempurna. Kemungkinan besar dengan meningkatnya produktiviti padi ini, negara juga dapat mengeksport beras ke negara luar untuk mendapatkan keuntungan dan secra tidk langsung harga beras dapat dikawal. Mengikut teori ekonomi apabila berlaku keseimbangan pasaran, harga barang dan kuantiti barang dapat ditentukan. Penentuan harga dan kuantiti barang sebenarnya ialah tingkat seimbang dan kuantiti seimbang. Selain itu apabila penawaran melebihi permintaan secara tidak langsung harga cendurung turun. Kenaikan harga beras dapat dilihat berpunca daripada teori ekonomi iaitu permintaan melebihi penawaran, sentakan ini menunjukkan bahawa apabila beras kurang di pasaran maka pengguna berebut-rebut untuk membelinya maka pihak penawar akan meningkatkan harga agar keuntungan diperolehi secara berganda. Begitu juga halnya jika stok beras bertambah melebihi keperluan rakyat Malaysia maka rakyat tidak perlu gusar dan bimbang lagi. Semestinya harga beras dapat dikurangkan memandangkan penawaran melebihi permintaan. Jelaslah di sini bahawa dengan membaikpulih tanah terbiar untuk penanaman padi maka hasilnya stok beras negara dapat menampung keperluan rakyat. Jika stok beras ini melebihi keperluan maka kita dapat memasarkan besar ke negara luar untuk menambahkan lagi pendapatan negara. Peranan pembaikpulihan tanah-tanah terbiar ini perlulah digalas bersama antara kerajaan dan rakyat agar peningkatan produktiviti ini berjalan lancar bagi menangani kenaikan harga beras pada masa kini.

Dalam masa yang sama negara perlu mempunyai polisi dan tindakan yang jelas dalam menangani krisis yang semakin menular ini. Negara tidak boleh lagi membiarkan dirinya di monopoli oleh industri transnasional dunia yang memonopoli harga makanan di dunia dengan pelbagai kaedah. Negara juga perlu memberikan kaum tani ruang untuk menghasilkan makanan untuk keperluan masyarakat tempatan, dan tidak bergantung kepada kuasa industri besar menghasilkan makanan.

Seharusnya pengguna di Malaysia harus berpaksikan kepada agama bagi mengawal dan menangani harga beras ini. Jika kita lihat bawa objektif makan adalah untuk hidup dan bukannya hidup untuk makan. Apa yang perlu kita pertekankan adalah soal beras yang dimakan, kerana masyarakat kini hanya memandang makanan ruji itu sebagai makanan wajib untuk hidup sedangkan Allah menciptakan tumbuh-tumbuhan dan binatang untuk dimanfaatkan. Melihat cara hidup Orang Asli yang hanya memakan buah-buahan dan ubi kayu terdetik kita bahawa jika tidak makan beras adakah kita akan kebuluran sehingga menyebabkan mati. Bertepatan juga dengan cadangan Dato' Ir Dr. A. Bakar Jaafar daripada Rural Urban Business Incubator (RUBI) yang menyarankan agar rakyat memakan buah-buahan, ulam-ulaman, daging, ikan dan tempe untuk hidup. Pembaziran makanan yang berlaku juga menunjukkan bahawa ummat Islam di Malaysia tidak bersyukur kepada Allah. Dilaporkan melalui S.M Idris Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang menyatakan bahawa pada 2006, makanan yang terbuang menyamai hampir sebahagian daripada pembuangan sisa kumbahan negara. Dalam erti kata lain, hampir 20,000 tan sisa kumbahan yang dijana setiap hari, 45 peratus daripadanya makanan terbuang. Amat menyedihkan apabila kita melihat gelagat masyarakat Malaysia yang meninggalkan sisa makanan di pinggan dalam kuantiti yang begitu banyak. Gelagat pembaziran makanan ini termasuklah nasi. Jika gelagat pembaziran ini dapat diatasi, secara tidak langsung masyarakat Malaysia boleh dikatogarikan sebagai masyarakat yang bersyukur. Cuba kita fikirkan ayat Allah di bawah surah Thaaha ayat 81:

Makanlah dari benda-benda yang baik yang dikurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan demikian kamu akan ditimpa kemurkaanku, dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanku, maka sesungguhnya binasalah ia.”

Melampaui batas dalam ayat ini bererti belebih-lebihan seperti membazir. Allah juga menjelaskan bahawa sikap membazir adalah sahabat syaitan. Lantaran daripada itu sikap membazir haruslah dijauhi untuk mengangani krisis bekalan makanan dunia justeru mengelakkan kenaikan harga bekalan makanan.

Tidak dapat tidak, kita selaku rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita perlu menggalas beban tugas untuk menangani krisis makanan ini secara bersama-sama agar kesejagatan dan kedaulatan makanan kita tejaga.

This entry was posted on 9:14 PM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments