DALAM SITUASI EKONOMI SEMASA ADAKAH PERLU KITA LEBIH BERHEMAH KETIKA BERBELANJA DI BAZAAR RAMADAN ATAU MENIKMATI BUFFET RAMADHAN DI HOTEL
Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa kita menyaksikan volatiliti pasaran kewangan global serta harga makanan dan komoditi terus meningkat yang mana secara langsung meningkatkan tekanan inflasi serta menjejaskan ekonomi global.
Kenyataan ini di bawah Laporan Ekonomi 2008/2009 dikeluarkan sewaktu pembentangan bajet 2009 sebelum melangakah ke bulan Ramadhan. Masyarakat Malaysia kerapkali berada dalam keadaan resah akibat masalah ekonomi yang tidak menentu sehingga fikiran jadi buntu akibat kenaikan harga beras, penyorokan minyak masak dan yang terbaru kenaikan harga minyak yang melambung tinggi di pasaran global. Bajet 2009 juga mengajar kita berjimat cermat dalam situsi harga barang yang kian meningkat ini.
Dalam situasi ini Ramadan tetap datang mengunjungi umat manusia yang menjadi landasan agar umat manusia berfikir secara kritis dan kritikal dalam soal dunia dan akhirat. Bulan Ramadan yang di gelar bulan mulia (Ramadan Karim) kerana terdapat di dalamnya penurunan ayat suci Al-Quran, peperangan badar serta sebagai bulan memperbanyakkan amalan ibadah seperti membaca Al-Quran, berqiamulail, bersedekah, beriktikaf dan beramal jariah. Tetapi umat manusia lupa dan alpa sehingga mencalit bibit-bibit hitam dalam Taman Ramadan dengan perbuatan yang dinamakan membazir.
Seharusnya bulan Ramadan ini dihormati dan diagungkan kerana dengan puasa yang diwajibkan adalah untuk melihat sejauh mana keperitan dan siksanya menahan lapar dan dahaga seperti yang dirasai oleh para fakir miskin. Tetapi keperitan ini tidak dirasai, kenikmatan dan kelazatan yang melampaui telah mengahakis dan mengikis sifat bersederhana yang patut diadaptasikan dalam kehidupan. Dalam buku Ajaibnya PUASA Senjata Mengawal Nafsu karangan Adil Akhyara membawa kita supaya penghayatan nilai Puasa yang tinggi untuk menghayati kemanfaatan puasa seperti mengawal nafsu, menjaga kesihatan, mendisiplinkan diri dan melatih kesabaran.
Faktor yang menyebabkan masyarakat melangkah ke arah perspektif yang salah dalam Taman Ramadan ini kerana sikap yang tidak dikawal dengan Al-Quran. Masyarakat mahu menunjuk bahawa dengan memakan makanan di Hotel yang berbintang-bintang sebagai stlye dan gaya hidup masa kini yang songsang. Kelangsungan dalam pengertian Ramadan juga tidak menampakkan kejelasan.
Bulan yang sepatutnya dijadikan bulan tarbiyah dicalit dengan pengertian yang salah di mana pembaziran dan gaya hidup dijadikan maksud menggantikan lapar dan dahaga. Bukan sekadar itu sahaja, Islam yang diamalkan hanya separuh dan separuh lagi amalan hawa nafsu dan Syaitan. Amalan sedemikian inilah yang menyentap kesedaran umat Islam betapa perit jerihnya berlapar dan dahaga secara sunnah. Bagi segelintir mahasiswa yang belajar di Menara Gading juga seringkali meletakkan nilai-nilai negatif dalam Taman Ramadan yang dilalui ini. Sehingga ada yang sanggup menggunakan duit biasiswa dan pinjaman untuk membazir di Taman Ramadhan ini dengan berbelanja di tempat yang ekslusif dan mahal lebih-lebih lagi yang berpacaran (couple).
Faktor terbesar penyumbang kepada masalah ketidakkeruan mayarakat dalam perbelanjaan adalah kerana pengiklanan yang begitu efektif sehingga terliur umat Islam melihatnya. Billboard, poster, iklan internet, iklan radio dan iklan televisyen memainkan peranan yang begitu besar dalam pengaruh beli masyarakat. Sebagai contoh iklan berbuka puasa di hotel yang menunjukkan hidangan yang begitu banyak dan enak serta diberi dengan harga yang murah menyebabkan umat Islam lebih terkehadapan untuk menikmatai Juadah di hotel tersebut. Di Riyadh Arab Saudi pendudukanya sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk menikmati berbuka puasa di hotel walaupun dengan harga yang mahal. Pembantu pengurus jualan dan pemasaran di Hotel Sheraton di Riyadh, Waleed Haidar, berkata bufet berbuka puasa di hotel berkenaan ditawarkan pada harga 155 riyal (RM140) tahun ini, kenaikan sebanyak 15 peratus berbanding tahun lalu. Jika di Riyadh umat Islam sebegitu, apatah lagi di Malaysia yang mana masyarakatnya sanggup melakukan demikian semata-mata menjamah makanan yang lebih dari sepatutnya.
Kesan daripada gaya hidup ini mengheret umat Islam terutamanya ke arah yang tidak Islamik. Bukan sekadar pembaziran sahaja yang diamalkan tetapi persoalan yang lebih penting adalah kesihatan yang sempurna. Jika kita lihat pada bulan Ramadan inilah bazar yang dikunjungi sesak dengan pengguna yang mencari juadah berbuka, tetapi kerana gerai yang terlalu banyak maka rambang mata pengguna dibuatnya. Duit dihamburkan tidak terasa keluar daripada kocek seluar semata-mata membeli makanan yang tidak sekadarnya. Apa sahaja yang dilihat dibeli tanpa berfikir dua kali seperti ayam panggang, satay, ikan bakar, kuih muih yang berbagai jenis dan sebagainya. Tetapi kita tidak sedar bahawa keperluan makanan yang dibeli kebanyakannya kurang berkhasiat.
Pastinya kita sedar perniaga yang berorientasikan keuntungan hanya mahukan jualannya laris sedangkan masyarakat yang faham orientasi pembelian yang sebenar adalah kesihatan yang jitu. Di dalam buku Panduan Cap bertajuk Mengesan Gula Tersembunyi Dalam Makanan menyatakan 78 cara gula boleh menjejaskan anda seperti pendedahan kepada penyakit yang berisiko tinggi seperti kegemukan, kencing manis, penyakit jantung yang mana kandungan gula yang tinggi meningkkatkan gula darah dan paras insulin.
Pastinya Kuih-muih dan minuman yang dijual kebanyakannya juga mengandungi gula yang berlebihan yang mampu menyebabkan masalah kesihatan seperti yang disebut di atas. Penjualan produk-produk yang kurang berkhasiat ini juga lebih agresif dalam bulan Ramadan.
Maka Taman Ramadan yang dilalui ini seharus dihayati dengan nilai-nilai Islam. Al-Quran dan sunnah dijadikan pedoman yang mana dapat menjadi perisai yang kuat dalam menghadapi hawa nafsu yang memuncak pada bulan ramadan ini. Perbelanjaan juga haruslah cermat dan berjimat agar naluri insani lebih terkehadapan. Pembaziran sewajibnya dielakkan dan pemakanan secara Islam juga perlu di adaptasikan dalam kehidupan seharian dalam bulan Ramadan dan selepasnya.
Karl Marx, ahli falsafah Jerman pernah menyatakan bahawa pertentangan, kekacauan di antara manusia berpunca daripada perkara perut. Pernyataan ini menyetap umat Islam kerana orang bukan Islam pun dapat menghayati bahawa perut janganlah terlalu diisi dengan makanan yang sia-sia. Perkara ini dapat mengimplimentasikan dengan kewajipan berpuasa. Penghayatan kita perlulah sejajar dengan ayat Al-Quran Surah Al-A’raaf ayat 31 yang bermaksud “ Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap memasuki masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”
ZULZAIDI BIN MAHMOD
Mahasiswa Tahun Akhir
(Ijazah Sarjana Muda Syariah Dan Undang-Undang)
Jabatan Syariah Dan Undang-Undang
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
Merangkap:
Exco Akademik Dan Intelektual
Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam,
Univerisiti Malaya
Di Alamat:
Bilik Sekreteriat PMAPIUM
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
0125002954/ 0162201456
0 comments