Posted by Zulzaidi





RAMADHAN YANG DATANG: KEMBALIKAN KEGEMILANGAN ISLAM DAN PERBAHARUI PERIBADI MUSLIM INSANI

Apabila disebut Ramadhan masyarakat Malaysia rata-rata tidak kira jenis agama atau bangsa sudah mengetahui bahawa Ramadhan merupakan bulan bagi Ummat Islam berpuasa. Islam meletakkan Ramadhan sebagai satu platform untuk memurnikan hidup Muslim ke arah ummat yang besederhana. Tradisi masyarakat Malaysia yang beragama Islam mula beralih arah tentang pemahaman konsep Ramadhan yang dilalui dari pelbagai sudut termasuklah akhlak, ibadat, perbelanjaan dan pemakanan.
Bulan Ramadhan sangat sinonim dikatakan sebagai bulan memperbanyakkan amalan ibadah seperti membaca Al-Quran, berqiamulail, bersedekah, beriktikaf dan beramal jariah dengan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, fakir miskin dan anak yatim. Menjadi persoalan kepada kita selaku Ummat Islam adakah bulan Ramadhan ini hanya dijadikan bulan berbelanja, bulan berpesta makanan atau bulan mendidik diri ke arah muslim bertaqwa?.
Bazaar Ramadhan mula tumbuh seperti cendawan selepas hujan, makanan-makanan yang pelik dijual oleh perniaga pada bulan Ramadhan ini adalah untuk meraih keuntungan dan mengumpul wang. Bazaar Ramadhan ini dijadikan seperti sebuah pesta membeli belah makanan kepada masyarakat. Nilai-nilai Ramadhan seperti besederhana, qanaah telah dipinggir dan dikesampingkan, erti Ramadhan juga tidak dapat dihayati dengan sempurna. Mana tidaknya maksud puasa juga lari konsep sebenar. Dalam kitab Fiqh Manhaj Al-Shafie mentakrifkan puasa dari sudut syarak sebagai ”menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari”

Selaku Ummat Islam puasa yang menahan diri dari lapar dan dahaga adalah supaya kita dapat menghayati kehidupan para fakir miskin yang kelaparan, dapat mengkoreksi diri betapa sakit dan pedihnya apabila berlapar dahaga. Tetapi malangnya tabiat Ummat Islam pada bulan Ramadhan ini tidak langsung mencerminkan nilai-nilai sebenar Islam. “Ayah! petang ni kita nak beli apa di pasar Ramadhan untuk berbuka puasa nanti?” tanya seorang budak berumur sepuluh tahun kepada bapanya. “Haikal boleh beli makanan apa yang Haikal mahu, Haikal kan lapar dari pagi tidak makan” jawab ayah kepada anaknya itu. Dialog sebegini sering terjadi dalam masyarakat Islam pada hari ini di Malaysia, erti makan juga sudah menyimpang jauh kerana kehendak dan kekenyangan menjadi teras kepada nilai makan.
Amat menyedihkan apabila Ummat Islam berlumba-lumba membeli makanan berbuka puasa serakusnya, kadang-kadang duit di poket seperti air yang mengalir. Iftar (berbuka puasa) secara sunnah juga tidak diikuti, Ummat Islam mula melahap makanan seperti orang yang kebuluran yang tidak makan berbulan-bulan. Makan di tempat yang mewah seperti hotel, restoran dan café menjadi budaya dalam masyarakat kita untuk berpuka puasa. Makanan western food, satay, ayam pangang menjadi hidangan. Menjadi adat sebahagian Ummat Islam ini adalah meninggalkan sedikit sisa dalam pinggan yang dijamah kononnya itulah style masyarakat sekarang.

Paling menyedihkan apabila ada sebahagian Ummat Islam yang menjejaki jalan syaitan dengan membazir walaupun syaitan diikat dan dipenjara pada bulan Ramadhan. Makanan iftar yang tersisa dengan banyaknya tidak menjadi ikhtibar, sedangkan ummat manusia seperti di Habsyah, Afrika kelaparan yang amat memerlukan makanan untuk hidup.
Tradisi di Malaysia juga membuatkan Ummat Islam menjauhi erti sebenar Puasa, selepas tarawikh sekali lagi jemaah yang hadir ke masjid atau surau dimorehkan dengan makanan-makanan seperti kuih muih, laksa, roti jala, bihun sup dan sebagainya. Jamuan moreh ini selalunya tersisa dan dibuang dalam tong sampah menandakan sikap membazir. Amat menyedihkan kerana cukup banyak masjid-masjid dan surau-surau tidak memurnikan kesederhanan sedangkan tempat tersebut sepatutnya dijadikan syiar bagi ummat manusia mengambil ikhtibar. Ummat Islam di Malaysia sememangnya diajar untuk makan dan terus makan tanpa memikirkan kehidupan masyarakat yang kebuluran di luar sana. Dilaporkan pada 2006, makanan yang terbuang menyamai hampir sebahagian daripada pembuangan sisa kumbahan negara. Dalam erti lain, hampir 20,000 tan sisa kumbahan yang dijana setiap hari, 45 peratus daripadanya makanan terbuang. Cuba kita fikirkan selaku ummat Islam dalam masa 30 hari puasa di bulan Ramadhan berapa banyak sisa yang makanan terbuang Amat menyedihkan bahawa Ramadhan yang dilalui hanyalah sebagai ritual dan adat sahaja bagi Ummat Islam pada masa kini tanpa menghayati nilai ibadat yang sepatutnya dilalui.
Maka pada Ramadhan yang datang ini seharusnya kita memperbaharui peribadi ke arah yang lebih rabbani. Ayuh ummat Islam kita bangkit menghidupkan Ramadhan Al-Mubarak supaya Ramadhan kali ini lebih baik dari yang lepas.

This entry was posted on 3:18 AM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments