HARAPAN RAKYAT KEPADA YANG BERHORMAT  

Posted by Zulzaidi


PendapatTANGGUNGJAWAB rakyat memilih wakil-wakil yang akan berkhidmat untuk mereka telah pun selesai. Kini tiba masanya bagi setiap wakil rakyat tanpa mengira dari parti mana sekalipun menunaikan tanggungjawab mereka.
Harapan rakyat terhadap pemimpin yang dipilih semestinya amat tinggi dan antara lain kehendak rakyat ialah supaya pemimpin turut padang melihat sendiri masalah yang dialami.
Bertemu rakyat bukan hanya semasa majlis-majlis rasmi bersama rakyat, tetapi pertemuan yang kerap dengan rakyat pada bila-bila masa walaupun tiada temu janji. Cara ini lebih mengeratkan lagi hubungan pemimpin dengan rakyat yang dipimpin.
Selain itu wakil rakyat boleh menggali masalah rakyat untuk diatasi atas suara kepimpinan yang telah diberikan mandat kepada mereka. Jika sewaktu berkempen calon-calon wakil rakyat sanggup berpanas berhujan untuk bertemu rakyat meraih undi, perkara ini seharusnya tidak terhenti selepas kemenangan mereka diumumkan. Kisah Khalifah Umar Al-Khattab boleh dijadikan iktibar oleh pemimpin wakil rakyat agar sentiasa turun padang.
Setiap wakil rakyat mestilah mempunyai sikap bertanggungjawab. Sikap ini perlulah disemai dengan jitu agar ia lebih dirasai oleh pemimpin dan golongan yang dipimpin.
Tanggungjawab yang dipikul oleh wakil rakyat bukan boleh ditimbang kilogram, diukur kilometer tetapi diukur sejauhmana tanggungjawab itu dapat dilaksanakan.
Tanggungjawab wakil rakyat adalah mewakili suara rakyat ke peringkat Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat selain menggubal atau membuat undang-undang bagi negeri dan Persekutuan selain mentadbir.
Tanggungjawab yang terpenting adalah menolong rakyat yang dalam kesusahan sama ada masalah sosial dan masalah ekonomi seperti kemiskinan.
Wakil rakyat juga wajib memenuhi kandungan manifesto yang telah dibuat semampu mungkin agar tidak menjadi wakil rakyat yang tidak jujur.
Tidak jujur di sini bermaksud janji yang telah disebut dan dikata sewaktu berkempen tidak dibuat dan dilaksanakan selepas memegang tampuk pimpinan wakil rakyat.
Sikap hipokrit ini harus dibuang jauhjauh agar tiada saki-baki dalam diri wakil rakyat.
Setiap wakil rakyat haruslah mempunyai sifat-sifat yang terpuji. Setiap agama di dunia ini menganjurkan umatnya supaya mempunyai budi pekerti yang mulia. Jadi setiap wakil rakyat wajib mempamerkan sikap yang terpuji agar rakyat menyenangi dan sayangkan wakil rakyat.
Wakil rakyat haruslah sentiasa bertanya perkembangan rakyat dari semasa ke semasa dengan senyuman dan tutur kata yang sopan.
Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan telah menghabiskan ribuan ringgit bahkan jutaan ringgit semata-mata untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya budi bahasa dengan mengeluarkan propaganda positif ‘budi bahasa budaya kita’.
Jika seseorang yang panas baran, apabila wakil rakyat datang dengan senyuman dan kesopanan maka baran rakyat boleh cair dan dapat dilupakan.
Sikap sebegini bertepatan dengan prinsip Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan. Perkara ini menjadi contoh kepimpinan tauladan iaitu kepimpinan Rasulullah s.a.w.
Wakil rakyat yang dipilih haruslah peka perkembangan rakyat agar kepercayaan rakyat kepada pemimpinnya utuh dah kukuh dan tidak mudah roboh.
Wakil rakyat juga haruslah menyemai sikap terbuka dan sentiasa bertoleransi dengan rakyat, agar rakyat bisa meluahkan masalah mereka secara senang tanpa ada sembunyi-sembunyi. Wakil rakyat juga haruslah dapat menyeimbangkan antara keperluan dan kehendak rakyat, dan dapat mengutamakan yang mana perlu.
– ZULZAIDI MAHMOD
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya.
12 MAC 2008
UTUSAN MALAYSIA
RUANGAN PENDAPAT
MS 11

This entry was posted on 1:47 AM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments