Mahasiswa perlu dominan  

Posted by Zulzaidi

Institusi pengajian tinggi di Malaysia semakin bertambah daripada universiti yang ternama seperti UM, UKM, UIAM, USM, UPM dan UUM sehinggakan kepada kolej-kolej swasta diwujudkan bagi menyambut seruan kerajaan untuk membina tamadun pendidikan yang jitu dan maju.
Ia juga bertepatan di bawah pendekatan Islam Hadhari iaitu pembangunan modal insan.
Walaupun ramai graduan lulus dengan cemerlang dalam bidang akademik tetapi amat kurang sekali yang memahami isu serta realiti masalah masyarakat seperti isu kemiskinan, sosial pelajar sekolah yang semakin teruk dan meruncing, isu hiburan yang melampaui batas, isu halal haram produk makanan serta isu-isu kepenggunaan.
Kita tidak sedar bahawa di lapangan, masyarakat amat memerlukan mahasiswa IPT untuk membantu membina kesedaran masyarakat dalam membina sebuah negara yang utuh dan mampu membantu kerajaan.
Ini jelas dapat dilihat dalam masalah banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini apabila hanya segelintir mahasiswa yang sanggup turun padang mencari sumbangan daripada pelbagai pihak bagi meringankan bebanan mangsa bencana itu.
Begitu juga dengan isu kepenggunaan yang mana masyarakat telah didedahkan sekian lama terhadap isu dan masalah kepenggunaan yang amat kritikal tetapi ia kurang diberi perhatian oleh mahasiswa walaupun mereka telah mengetahui isu-isu ini secara terperinci dalam sistem pelajaran di peringkat IPT.
Persoalannya, kenapa mahasiswa tidak terlibat dalam isu dan masalah dalam realiti masyarakat.
Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak universiti telah membuka ruang seluas-luasnya kepada mahasiswa untuk beraksi dalam masyarakat bagi membantu masyarakat dalam meleraikan sesuatu isu dan masalah dari kaca mata mahasiswa.
Persatuan dan kelab di IPT bukan hanya perlu tertumpu di dalam kampus tetapi perlu meluaskan skop ke peringkat nasional malahan jika mampu dibawa ke peringkat global seperti isu FTA dan Palestin.
Persatuan dan kelab yang ada di IPT bukan hanya duduk di bangku dan membaca buku serta program di sekitar kampus sahaja tetapi boleh memainkan peranan yang telah diberikan semaksimum mungkin.
Sebagai contoh, menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti Operasi Khidmat Masyarakat yang membolehkan mahasiswa mengetahui isu dan masalah masyarakat dari akar umbi.
Kemudian mereka boleh menilai dari kaca mahasiswa supaya isu dan masalah itu ditangani dan diambil perhatian serta tindakan dengan jayanya.
Datuk Dr. Abdul Hamid Othman, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri dalam ucapan perasmian Muktamar Kebangsaan Amal Islami yang lalu di Kuala Lumpur, menyatakan bahawa sistem demokrasi yang dibawa oleh negara kita bukan hanya terhadap politik tetapi juga sistem pendidikan.
Dan, sewajarnya mahasiswa memahami bahawa demokrasi pendidikan ini adalah mampu untuk membentuk sebuah negara Islam yang maju dan syumul.
Dapat kita lihat bahawa ruang dan peluang telah diberikan oleh kerajaan kepada mahasiswa untuk membantu masyarakat semampu mungkin dan ini juga mampu meningkatkan kualiti dan idealisme mahasiswa semaksimum mungkin.
Kita selaku mahasiswa yang mempunyai pemikiran yang kritikal perlu memandang tinggi serta penting terhadap isu dan masalah masyarakat. Ini kerana mahasiswa juga merupakan sebahagian komponen masyarakat dan perlu menyumbang sesuatu kepada masyarakat bersandarkan apa yang dipelajari di IPT.
Masalah dan isu masyarakat adalah isu bersama, bukan hanya isu kerajaan dan NGO tetapi juga isu mahasiswa.
- ZULZAIDI MAHMOD,
Jaringan Nasional Belia Mapan.

This entry was posted on 1:40 AM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments