MUKA baru dan lama yang digabungkan dalam Kabinet menunjukkan strategi terbaik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membawa Malaysia ke puncak tertinggi, agar mata dunia dapat melihat Malaysia sebagai negara membangun yang wajar dicontohi. Masyarakat amnya mengharapkan sesuatu kelainan kepada Kabinet yang baru dibentuk, lebih-lebih lagi dalam menyelesaikan masalah dalam masyarakat berbilang kaum selain meletakkan kebajikan rakyat sebagai asas sebelum membuat sesuatu rancangan. Mahasiswa juga adalah golongan yang tidak terkecuali mengharapkan kewibawaan Kabinet baru ini mampu memberi harapan dan dorongan kepada pelajar universiti untuk terus mengikuti perkembangan negara.
Harapan mahasiswa, antara lain mengharapkan agar menteri baru ini dapat turun ke setiap institusi pengajian tinggi (IPT) untuk bertemu mahasiswa dan menjelaskan apakah hala tuju sebenar Kerajaan Pusat yang baru dalam memacu negara Malaysia. Pada masa sama, sesi soal jawab dan lontaran pandangan dan idea antara pemimpin dan mahasiswa perlu diadakan. Dengan sesi ini, pemimpin dapat berkongsi pandangan bersama mahasiswa kerana mahasiswa juga berfikiran kritikal dan mempunyai idea yang bernas. Cara ini juga dilihat lebih berkesan dalam mendekatkan pemimpin dan golongan mahasiswa di IPT. Selain itu, mahasiswa mengharapkan Kabinet baru, terutama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dapat memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan gigih. Ramai tokoh akademik menyokong kewibawan Menteri Pengajian Tinggi baru.
Antara yang menyokong adalah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Prof Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, Presiden Universiti Terbuka Malaysia, Prof Tan Sri Anuwar Ali dan Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin. Mahasiswa mengharapkan Khaled mendorong dan memberi galakan kepada setiap IPT dalam menambah hasil kajian bagi meningkatkan 'ranking' IPT ke tahap yang lebih baik pada peringkat global. Harapan lain adalah Kabinet baru dapat mengkaji dan meneliti tuntutan yang dibuat oleh mahasiswa, antaranya meminda Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU)1971 subseksyen 15 (1), 15 (2) dan di bawah seksyen 15 (3), yang menyekat kebebasan mahasiswa untuk berpolitik. Selain itu, mengkaji caj PTPTN yang dikatakan masih tinggi dan membebankan graduan. Mahasiswa juga amat berharap kepada Kabinet baru ini tidak terbabit dengan masalah tidak bermoral seperti rasuah, kronisme, salah guna kuasa dan mengamalkan cara hidup mewah.
Mahasiswa mahu barisan Kabinet baru ini mempunyai integriti yang tinggi, sifat sederhana, adil dan amanah dalam kerja, komitmen yang tinggi terhadap tanggungjawab yang diberikan dan serius membela masyarakat yang memerlukan. Mahasiswa amat bersetuju dan menyambut baik arahan Perdana Menteri kepada Kabinet agar mengisytiharkan aset masing-masing. Mahasiswa juga mencadangkan, selain dari aset menteri diisytiharkan, ahli keluarga dan orang yang rapat dengan menteri juga perlu mengisytiharkan harta mereka kepada umum. Perkara dilihat lebih berkesan untuk meningkatkan lagi integriti menteri dan rakyat dapat memberi kepercayaan sepenuhnya kepada kepimpinan negara. Kesimpulannya, golongan mahasiswa yang bakal memimpin masa hadapan pada peringkat kepimpinan negara mengharapkan sesuatu yang istimewa yang bakal ditunjukkan barisan kabinet baru. Mereka perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa segala masalah yang timbul dapat diatasi dengan cekap tanpa menyentuh hak rakyat. Mahasiswa menyokong kepemimpinan Kabinet baru dan yakin mereka mampu bekerja dengan baik dan berkesan. Elakkan melakukan perbuatan negatif yang boleh mencalarkan nama baik kepemimpinan negara kerana dikhuatiri kepercayaan mahasiswa akan luntur dan pudar.
ZULZAIDI MAHMOD,
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya.
25/03/08
BERITA HARIAN
ruangan surat
MS12
This entry was posted
on 9:24 PM
and is filed under
artikel telah diterbitkan
.
You can leave a response
and follow any responses to this entry through the
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
.
0 comments