MEMPERKASA RUKUN NEGARA  

Posted by Zulzaidi




Setiap hari isnin murid sekolah berkumpul dalam perhimpunan mingguan, dalam tentetif perhimpunan itu wajib terdapat ikrar Rukun Negara, tanya sahaja pada mana-mana murid sekolah apa itu Rukun Negara? pasti sahaja mereka dengan lancar menyatakan pertama Kepercayaan Kepada Tuhan, kedua Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara, ketiga Keluhuran Perlembagaan, keempat Kedaulatan Undang-Undang dan kelima Kesopanan Dan Kesusilaan. Tapi bila ditanya apa itu Perlembagaan? mereka pasti menggeleng kepala, apa itu undang-undang? juga menggeleng kepala. Ramai yang sedar bahawa Rukun Negara dikongsi disetiap lapisan masyarakat tidak kira kanak-kanak, belia, orang tua hatta berlainan ideologi politik samaada UMNO, PAS, DAP, KEADILAN dan sebagainya. Mohd Ayob abd Razid pegawai perhubungan Awan di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan menyatakan bahawa rakyat malaysia masih keliru dengan maksud sebenar Rukun Negara.
Rukun negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia, ia telah dibentuk 31Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dibawah teraju Tun Abdul Razak iaitu setahun selepas terjadinya 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman Negara Malaysia.
Kerajaan Malaysia memperkasa Rukun Negara dengan bermacam cara termasuk meletakkan ungkapan Rukun Negara dibelakang buku tulis, depan pejabat-pejabat kerajaan, iklan-iklan dijalanraya sampaikan menghasilkan sebuah lagu Rukun Negara yang berkumandang diradio dan juga televisyen, tetapi apa yang masyarakat faham? Masih menjadi persoalan kepada kita selaku sebahagian anggota masyarakat.
Masyarakat yang mempunyai idealisme dan bersikap kritikal terutama dari golongan pendidik, mahasiswa sehingga kepada kepimpinan masyarakat dan negara perlulah memainkan peranan yang lebih jitu untuk memperkasa Rukun Negara, menerangkan apa yang ada di dalam Rukun Negara secara terperinci.
Penerangan terhadap Rukun Negara ini mampu memberikan impak yang cukup besar kepada negara, kita lihat sahaja dari rukun yang pertama, Kepercayaan Kepada Tuhan, pasti sahaja masyarakat yang memahahami rukun pertama ini tidak akan melanggar batasan agama dan pastinya tidak akan terjadi kesesatan yang berganda-ganda seperti yang berlaku pada masa sekarang yang tersenarai di Jabatan agama Islam, contohnya kes ayah pin, kes rasul melayu, kes anti hadis, Begitu juga dengan kes-kes moral dalam soal pelacuran, perjudian dan penzinaan yang menggugat sistem kestabilan masyarakat secara total.
Lihat sahaja pada rukun kedua Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara, ditanya pada mana-mana masyarakat dari kanak-kanak sampaikan ke orang dewasa langsung tidak tahu dimana daulatnya Raja, perkara ini amat mengecewakan kita. Kedaulatan Yang Di Pertuan Agung dan sultan pemerintah tertinggi negara dan tidak boleh dicabar dan patut rakyat Malaysia setia dengan Baginda, maka masyarakat yang memahami isu ini perlu peka untuk menjelaskan perkara ini secara terperinci agar tidak ada yang berani mencabar kedaulatan raja dan negara secara tidak langsung pasti tidak ada rusuhan, atau apa-apa perkara yang mampu menjatuhkan imej Negara Malaysia dimata dunia.
Keluhuran Perlembagaan sering disalah ertikan, ada yang tidak faham tentang apa itu perlembagaan, dan penjelasan ini perlulah diterap dari peringkat sekolah bahawa negara Malaysia yang kita cintai ini mempunyai perlembagaan yang mencorakkan pemerintahan negara. Menurut Prof. Dato’ Dr. Monir Yaacob bekas pensyarah di Jabatan Syariah Dan Undang-Undang Universiti Malaya menyatakan amat wajar supaya perlembagaan persekutuan ini diketahui oleh masyarakat umum supaya ianya jelas dan difahami dengan sempurna. Tun Mohd Saleh Abbas bekas Hakim Negara dalam buku Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia memperjelaskan bahawa Perlembagaan merupakan elemen penting pemerintahan di Malaysia kerana ianya merupakan undang-undang tertinggi Negara dan juga menjelaskan hak-hak asasi rakyat.
Kedaulatan Undang-Undang seringkali kita dengar di media elektronik dan media cetak yang mana ada sesetengah pihak yang berani mencabar undang-undang negara, dan bilangannya cukup ramai, jika kefahaman Rukun Negara yang keempat ini di tafsirkan dan diperjelaskan kepada masyarakat dengan terperinci, pasti ramai yang akur dan patuh pada undang-undang negara yang berdaulat. Menurut Prof. Tan Sri Datuk Ahmad Ibrahim dalam buku Sistem Undang-Undang Di Malaysia menyatakan undang-undang adalah wajib dipatuhi oleh rakyat.
Kesopanan Dan Kesusilaan haruslah ditanamkan pada diri setiap masyarakat bukan hanya dibibir sahaja yang tahu menyebut tetapi perlulah mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Sikap negatif hendaklah dibuang dan sikap yang positif wajiblah diamalkan supaya pandangan masyarakat luar Malaysia menilai kita sebuah masyarakat yang maju dari segi peradaban. Jika kesopanan dan kesusilaan diterapkan dari kecil maka tiadalah perkara negatif yang dilakukan seperti merokok dan meminum arak serta penculikan kanak-kanak, secara tidak langsung pastinya pihak Polis Diraja Malaysia dibawah kepimpinan Tan Sri Musa Hassan lebih mudah melaksanakan tanggungjawab mereka. Seharus dan sewajarnya Rukun Negara ini dijadikan pedoman yang patut dihadam oleh semua rakyat Malaysia agar kita menjadi masyarakat yang maju dan jitu.
Memperkasa Rukun Negara ini perlu diperincikan lagi agar kefahamannya jelas dari peringkat tadika, sekolah, ipt dan lapangan pekerjaan seterusnya merangkumi segenap lapisan masyarakat dalam merealisasikan impian perdana menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai sebuah masyarakat Cemerlang,Gemilang dan Terbilang. Peranan memperkasakan Rukun Negara bukan hanya tertumpu kepada kerajaan semata-mata tetapi NGO, badan-badan pelajar, kesatuan pekerja perlulah berperanan sama agar perpaduan negara yang kita cintai makmur dari perbalahan antara kaum seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969 lalu. Perkara paling penting adalah membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi dan juga mencipta suatu masyarakat yang adil dan kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama


ZULZAIDI BIN MAHMOD
PRESIDEN
JARINGAN NASIONAL BELIA MAPAN

Email: matnyum@yahoo.com
HP : 012-5002954
25 januari 2008

This entry was posted on 8:52 PM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments