MAHASISWA PERLU MENJUARAI ISU MASYARAKAT  

Posted by Zulzaidi

Sistem pendidikan negara kerap diperkasakan daripada peringkat prasekolah sehinggalah ke peringkat IPT sama ada IPTA atau IPTS, pemerkasaan ini dilakukan agar pendidikan negara lebih jitu serta maju dan tidak ketinggalan dari negara-negara yang maju dari sudut keilmuan dan teknologi. Mahasiswa juga merupakan kelompok yang berada dalam pemerkasaan Pendidikan Negara, tetapi mahasiswa hanya duduk dibangku sambil membaca buku dan tidak mengetahui perihal masyarakat yang kian terpinggir dan disisihkan walhal sistem pendidikan menganjurkan mahasiswa agar lebih bersikap praktikal dan kritikal. Mahasiswa perlulah mengetahui hal ehwal masyarakat dan berani turun kelapangan masyarakat kerana mahasiswa juga merupakan komponen masyarakat yang terpenting. Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak Institisi Pengajian Tinggi tidak menghalang mana-mana mahasiswa untuk melibatkan diri bersama masyarakat selagi mana tidak berlawanan dengan undang-undang universiti.
Mahasiswa yang melibatkan diri dengan masyarakat sewaktu berada di menara gading lebih menjamin peluang dan ruang kerjaya yang lebih terancang kerana ia sudah mengetahui perihal masyarakat ini dengan jelas. Banyak isu masyarakat yang dijuarai oleh kebanyakan organisasi samada pihak kerajaan dan badan NGO, tetapi amat kurang bagi pihak mahasiswa menjuarai isu masyarakat ini sedangkan mahasiswa mempelajari teorinya di IPT secara terperinci. Antara isu mayarakat yang terkini adalah tentang kes penculikan kanak-kanak seperti adik Nurin Jazlin dan adik Sharlinie, isu kemiskinan luar Bandar, isu ibu tunggal yang dipinggirkan oleh anak-anak, isu USFTA, isu tangkapan nelayan yang sering diganggu bot pukat tunda, isu pesawah yang diserang siput gondang, isu remaja yang hidup bergelumang najis dadah dan rokok, isu kuari yang menyebabkan masyarakat dilanda banjir lumpur dan pelbagai isu lain yang tidak diketahui oleh mahasiswa secara khusus.
Datuk Rais Zainuddin Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Jawatankuasa Bertindak Bekalan Tenaga dan Air Negeri Sembilan, menyatakan bahawa lahirnya seorang pemimpin negara adalah kebanyakannya dari menara gading dan beliau merasakan terpanggil untuk menjuarai isu masyarakat ini sehingga rakyat memlilh beliau menjadi Ahli dewan Undangan Negeri untuk masyaratkat. Tambahannya lagi mahasiswa perlulah mengetahui dan peka seberapa banyak isu masyarakat agar mahasiswa tidak kekok apabila berdampingan dengan masyarakat. Di sini dapat kita simpulkan bahawa mahasiswa perlulah sentiasa mengetahui isu masyarakat secara praktikal kerana secara teorinya sudah mereka pelajari dengan lebih mendalam dan terperinci daripada professor dan pensyarah yang terkemuka. Mahasiswa perlulah berdampingan dengan masyarakat seperti murid dan pelajar sekolah dengan menganjurkan pelbagai aktiviti motivasi yang bersifat Bina Intelektual dan Kerohanian, bersama belia agar menjauhi najis dadah serta rokok yang menjadi bahan penyebab kanser utama dunia, bersama kaum ibu dari segi soal kepenggunaan yang teratur. Jadi pihak kerajaan dan badan NGO dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih lancar lagi apabila mahasiswa sudi membantu dan memberi sokongon padu.
Datuk Hasan Salleh Ahli Parlimen Kuala Pilah dalam program Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) Universiti Malaya di Kg. Tanggai menyatakan mahasiswa perlulah mengetahui adat istiadat masyarakat yang masih wujud dan mengamalkannya selagi mana tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Beliau berkata demikian sewaktu program akikah dan berzanji di Masjid Kg. Tanggai. Ini jelas menunjukkan bahawa budaya masyarakat juga kian terpinggir dan perlu diberi perhatian supaya ketahui umum. Apabila ditanya mahasiswa bagaimanakah cara berzanji dan marhaban? Hampir kebanyakannya menggeleng kepala kerana tidak mengetahui bagaimana cara untuk berzanji dan marhaban, sedangkan budaya inilah yang mendekatkan masyarakat antara satu sama lain, tetapi kian dilupakan oleh generasi masa hari ini.
Mahasiswa juga mestilah berani tampil memberikan khidmat kepada masyarakat dalam permasalahan masyarakat sama ada permasalahan kesihatan, sosial, peribadi yang mana dengan praktikal ini mampu memberi pengalaman yang luas kepada mahasiswa untuk berdampingan bersama masyarakat dengan lebih dekat selepas bergelar graduan. Perkara ini telah dilakukan oleh pelajar perubatan Universiti Malaya dan jururawat Pusat Perubatan Universiti Malaya yang tampil memberikan khidmat pemeriksaan kesihatan dari rumah ke rumah bagi golongan yang kurang berupaya. Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejed yang digelar Singa Baru Dunia Islam menyatakan bahawa beliau tinggal dalam masyarakat dan terus berhubungan dengan masyarakat agar beliau mengetahui serta mengambil berat keperluan-keperluan masyarakat. Hal ini juga perlu di aplikasikan oleh mahasiswa agar mahasiswa ini tahu apa yang diperlukan oleh masyarakat dan berusaha menyelesaikannya dengen menggunakan pelbagai medium yang ada.
Prof Faisal Hj Ali pensyarah Fakulti Kejuruteraan menyatakan jika sekiranya mahasiswa berani turun kelapangan maka tempat yang paling sesuai adalah kawasan pedalaman yang belum maju agar mahasiswa tahu kehidupan yang sebenar yang dilalui oleh sesebuah masyarakat yang masih belum terdedah dengan pembangunan. Terdapat segelintir mahasiswa yang telah pergi ke perkampungan orang asli di Kg. Kuala Mu Sg. Siput perak melihat bahawa teknologi tidak menjamin keharmonian hidup tetapi yang penting adalah sebuah masyarakat yang hidup dalam keadan aman dan damai.
Kesimpulannya mahasiswa perlulah mejuarai isu dan permasalahan masyarakat dan berani turun kelapangan masyarakat agar masyarakat tahu bahawa golongan intelek ini tidak hanya berada dibangku dan membaca buku sahaja tetapi lebih daripada itu yang sanggup pergi beratus-ratus batu semata-mata untuk menjuarai isu masyarakat. Selainnya mahasiswa juga perlulah mengetahui teori dan praktikal sesebuah permasalahan dan cara mengatasinya secara berkesan dengan bantuan kerajaan dan badan-badan NGO. Mahasiswa yang jitu bukan hanya pintar dalam bidang pendidikan bagi mendapat anugerah Dekan dan di Raja Universiti tetapi mestilah berani mempraktikkan apa yang telah dipelajari.


(ZULZAIDI BIN MAHMOD)
JABATAN SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG
AKADEMI PENGAJUAN ISLAM
UNIVERSITI MALAYA
Email: matnyum@yahoo.com
HP : 012-5002954
12FEBRUARI2008

This entry was posted on 8:55 PM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments