PEMBUANGAN DAN PEMBUNUHAN BAYI : HINANYA SIKAP MANUSIA ZAMAN MODEN  

Posted by Zulzaidi





Lihat sahaja di kota-kota besar tersergamnya hutan batu yang memuncak tingginya sehingga mencecah langit biru. Bangunan-bangunan seperti KLCC, KL Tower, pejabat-pejabat kerajaan menjadi mercu tanda sebuah Negara Malaysia yang diagungi dunia. Teknologi negara juga makin setaraf dengan negara-negara maju sama ada dari sudut teknologi maklumat hatta melahirkan seorang angkasawan untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kita setanding negara-negara maju dan berteknologi. Tetapi disebalik bangunan-bangunan pencakar langit dan teknologi hebat ini manusia kian hilang sifat keperimanusisan yang telah dianugerahkan oleh tuhan. Kenapa dikatakan manusia hilang sikap kemanusian? Jawapannya kerana manusia sudah hilang nilai-nilai agama dalam jiwa dan terhakis nilai-nilai budaya yang mencerminkan ketamadunan manusia.
Lihat sahaja di dada akhbar tempatan yang memaparkan pelbagai isu panas seperti isu pembuangan bayi yang tidak berdosa, penderaan kanak-kanak sehingga menyebabkan kematian atau isu penculikan kanak-kanak yang heboh diperkatakan kini. Ini menunjukkan masyarakat masih kurang peka dengan isu ini sedangkan isu ini merupakan isu universal dan global yang menjadi bualan penduduk dunia lebih-lebih lagi isu berkaitan dengan pembuangan bayi yang tidak berdosa sehingga menyebabkan kematian. Kerakusan hawa nafsu dan hilangnya sikap kepekaaan terhadap nilai dan ajaran agama menyebabkan manusia tersasar jauh dari landasan yang sepatutnya.
Baru-baru ini Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Isa berkata, mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam sebuah beg plastik di bawah sebuah rumah berhampiran kilang papan, bayi itu ditemui oleh salah seorang pekerja kilang tersebut. Tidak berakhir disitu sahaja apabila Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner K. Kumaran mendedahkan kepada media mengenai penemuan mayat seorang bayi lelaki yang telah dicampakkan ke dalam tong sampah. Hasil siasatan mandapati pembunuh bayi tersebut adalah ibunya sendiri yang juga merupakan seorang pembantu rumahwarga Indonesia.
Ada juga ibu yang mengandungkan anak sanggup melakukan jenayah terkutuk, perkara ini berlaku di Kuala Lumpur seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan dipercayai dijerut dengan tali seluar oleh ibunya sehingga mati. Mayat bayi itu dijumpai dalam keadaan menyayat hati dengan sebelah tangannya terkeluar dari tangki air di bilik air tingkat bawah rumah dua tingkat di Taman Tengku Abdul Rahman,
Heboh pula kisah terbaru yang mana Seorang lelaki menemui mayat bayi kembar dibungkus dalam sebuah beg plastik dan diletakkan atas meja di gerainya di simpang Jalan Silang, pekan Sungai Besi. , Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim menyatakan kepada media bahawa bayi kembar berkenaan dijumpai cukup sifat. Lihat sahaja perkara hina ini berlaku lagi. Setiap minggu pasti ada kes seumpa ini yang mampu merosakkan imej negara

PUNCA
Punca terjadinya kes-kes pembuanagan bayi adalah disebabkan kurangnya pengetahuan dan didikan agama sehingga sanggup melakukan perbuatan zina. Akibatnya bagi menutup malu di atas kesalahan tersebut, ada segelintir pasangan yang sanggup memakan pil-pil tertentu bagi tujuan pengguguran bayi dan ada juga yang membiarkannya sehingga beranak dan terus membunuh bayi yang tidak berdosa ini, Ada juga yang meninggalkan bayi itu dengan ucapan “tolong kebumikan mayat ini”. Kejadian ini dilakukan di Sepang dimana mayat seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui dalam bungkusan plastik yang dibuang di dalam tong sampah di hentian rehat Dengkil bersama nota 'tolong kebumikan bayi ini'. Apa jenis manusia yang sanggup melakukan demikian.
Setiap agama di dunia ini amat mengeji dan mengutuk perbuatan hina ini, Agama Islam sendiri mengutuk keras perbuatan keji dan hina ini, khalifah kedua Islam Saidina Umar R.A yang telah menanam anak perempuannya hidup-hidup sewaktu jahiliah menangis dan mengutuk perbuatan beliau sewaktu jahiliah. Punca lain yang menjadikan manusia binatang ini sanggup melakukan demikian adalah kerana terpengaruh dengan budaya yang tidak sihat seperti seks bebas serta pengaruh bahan-bahan pornografi.
CARA MENGATASINYA
Dr. Narimah Awin, Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan, berkata, pendidikan seksualiti yang teratur, formal dan sesuai dengan konteks negara merupakan langkah penting dalam membanteras salah laku seks. Kajian di Sweden dan beberapa negara lain menunjukkan pendidikan seksualiti telah menurunkan kadar pengguguran bayi dan remaja di negara tersebut memulakan aktiviti seksual pada umur yang lebih tua berbanding sebelumnya, Sementara itu, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim pula berkata, pendidikan agama tidak boleh ditinggalkan dalam usaha mengatasi masalah sosial di kalangan remaja.
Parlimen Agama-agama Dunia di Chicago pada tahun 1998 juga memperakui empat pokok permasalahan keruntuhan dan pelanggaran etika yang berleluasa dalam masyarakat iaitu membunuh, mencuri berdusta dan melakukan kesalahan seks tidak wajar dilakukan dan patut dijauhi sama sekali agar dapat merealisasikan masyarakat yang sejahtera,
Selain itu penguatkuasaan undang-undang juga memainkan peranan yang penting. Di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh dan Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu membuang kanak-kanak di bawah umur 12 tahun mesti dikuatkuasakan dengan lebih jitu lagi agar perkara ini tidak berulang pada masa hadapan.
Kesimpulannya bagi membendung masalah pembuangan bayi sehingga mengakibatkan kematian adalah dengan kembali kepada ajaran agama Islam. Seterusnya masyarakat terutama dikalangan remaja mestilah menjauhi perkara-perkara negetif seperti pergaulan bebas yang melampaui batas, bahan-bahan pornografi dan sebagainya yang mampu menyebabkan perkara ini berulang lagi.



(ZULZAIDI BIN MAHMOD)
JABATAN SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG
AKADEMI PENGAJUAN ISLAM
UNIVERSITI MALAYA
Email: matnyum@yahoo.com
HP : 012-5002954

21/02/08

This entry was posted on 12:39 AM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments