Posted by Zulzaidi





AUKU SEMEMANGNYA WAJAR DIPINDA




Mahasiswa merupakan golongan yang terpenting dalam masyarakat, ini kerana golongan mahasiswa inilah yang akan memegang tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan dan ianya bertepatan dengan agenda Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu melahirkan generasi belia yang akan memimpin negara secara cemerlang, gemilang dan terbilang .
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 mampu menggalakkan pembabitan pelajar dalam semua kegiatan yang membina dan konstruktif adalah disambut baik oleh mahasiswa. Pindaan ini yang masih diteliti oleh peguam negara dan akan diserahkan kepada kabinet untuk diputuskan di Parlimen. Pindaan ini dipandang positif oleh mahasiswa, jika benar pindaan ini mampu menggalakkan mahasiswa dalam aktiviti yang membina dan kontruktif. Mahasiswa sekarang ini yang lesu terhadap berpersatuan perlulah mengambil pindaan ini satu langkah untuk sama-sama membina jati diri.
Ramai mahasiswa yang tidak memahami berkenaan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 ini. Ada segelintir yang hanya tahu wujudnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 tetapi tidak pernah mengambil tahu untuk memahami kandungan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 ini secara terperinci.
Perlu kita menyoroti secara ringkas berkenaan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 ini. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah dikemukakan oleh Allahyarham Dato’ Hussien Onn (Menteri Pendidikan ketika itu) di Parlimen pada 17 Mac 1971 dan mula dikuatkuasakan pada 30 April 1971. Tujuannya dikatakan untuk mengadakan peruntukan bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti-universiti dan kolej-kolej universiti awam serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya. Akta yang telah melalui 3 siri pindaan ini, iaitu pada 1975, 1983 dan 1996 dan ianya akan sekali lagi dipinda pada persidangan Parlimen musim kedua 2008.
Mahasiswa menyambut baik berkenaan dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 ini sekiranya ia memberi hak kepada mahasiswa di bawah hak asasi manusia. Ada juga gerakan yang ingin memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dibawah nama Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA). Menurut ahli sekreteriat gerakan itu menyatakan bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 adalah bersalahan dengan Perlembagaan persekutuan dibawah artikel 10 iaitu hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan. Mereka menyatakan hak tersebut adalah hak kepada mana-mana individu yang sah sebagai warganegara Malaysia. Selain itu mereka menyatakan beberapa peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dimansuhkan seperti seksyen 15 dan 16.
Kami dipihak mahasiswa memberikan respon yang positif berkenaan dengan pindaan yang akan dilakukan. Memandangkan GMMA telah diwujudkan dan menyatakan hasrat mereka untuk mansuhkan AUKU maka mahasiswa mengharapkan Kabinet dan peguam negara menimbang dan meneliti tuntutan yang dibuat secara mendalam sebelum pindaan ini dilakukan.
Mahasiswa mengharapkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 ini mampu menjamin hak dan ianya mampu untuk membina mahasiswa secara jitu. Mahasiswa mengharapkan kabinet baru ini terus memperjuangkan hak mahasiswa berlandaskan hak asasi manusia. Kelak mahasiswa yang akan memipin negara pada masa hadapan akan menilai kabinet baru secara positif.

ZULZAIDI BIN MAHMOD
EXCO AKADEMIK DAN INTELEKTUAL,
PERSATUAN MAHASISWA AKADEMI PENGAJIAN ISLAM,
UNIVERSITI MALAYA.

This entry was posted on 9:03 PM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments