ETIKA PEMAIKAIAN PELAJAR IPT DITAHAP YANG KRITIKAL  

Posted by Zulzaidi

Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia semakin bertambah daripada universiti yang ternama, seperti UM, UIAM, UKM, USM, UPM, UUM sehinggakan kepada kolej-kolej swasta yang diwujudkan bagi menyambut seruan kerajaan untuk membina tamadun pendidikan yang jitu dan maju. Tetapi apa yang menyedihkan adalah pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta ini sudah mula mengorak langkah ke belakang, sudah mula hilang identiti dan jatidiri, malah maruah dan martabat tidak lagi dipandang tinggi dan diambil peduli. Pelajar IPTA dan IPTS dikatakan demikian, kerana banyak berlaku gejala negatif dan tidak bermoral dikalangan mereka seperti berkhalwat, berzina, pergaulan bebas, menghisap dadah, ‘clubbing’, pembuangan bayi, pengguguran janin dan juga etika pakaian yang mula tidak dihirau dan dipandang enteng.
Perkara yang akan dibincangkan adalah berkenaan dengan etika pemakaian pelajar IPT yang dikatakan tidak menepati kehendak tatacara atau etika sebagai seorang pelajar IPT. Akhir-akhir ini apabila disebut soal pelajar IPT, masyarakat mula memandang sinis dan kecewa, ini adalah kerana apa yang berlaku kepada pelajar IPT adalah melampaui batasan seperti isu pembuangan bayi dan pengguguran janin serta pelajar yang melanggar etika pemakaian sopan yang dibuat oleh IPT. Pemakaian pelajar IPT seperti mula kembali ke zaman primitif atau zaman nomad. Ini adalah kerana pakaian yang dipakai agak ketat dan menampakkan susuk tabuh yang sepatutnya tidak dizahirkan, pakaian yang jarang serta pakaian yang menarik perhatian, pakaian menjolok mata yang boleh dikatogarikan sebagai tidak sopan terutamanya bagi wanita. Apa yang dimaksudkan pakaian yang menarik perhatian adalah, pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan yang menarik perhatian pelajar lain dalam IPT. Gaya hidup berpakaian seperti ini telah didedahkan oleh Azizi Abdullah dalam buku “Gaya Hidup Ranggi” yang mana dinyatakan manusia sudah mula meletakkan etika pemakaian yang tidak betul untuk dijadikan asas keperluan kehidupan.
Buku panduan pelajar yang diberikan kepada mereka hanya dijadikan khazanah untuk disimpan di muzium. Buku panduan ini antara lain telah menetapkan etika berpakaian yang betul kepada semua pelajar secara selaras sama ada bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa. Perkara ini harus dipandang serius kerana kerakusan pelajar IPT mula membuak sehinggakan arahan dan perintah IPT seperti tidak bernilai dimata mereka.
Kita dapat lihat antara punca menyebabkan pelajar IPT tidak lagi berpakaian sopan adalah kerana pengaruh pakaian artis-astis tempatan dan juga luar negara. Artis ini dijadikan idola sesetengah pelajar IPT, lantaran daripada itu segala tingkahlaku artis akan cuba dijadikan contoh hatta etika pemakaian. Kita tidak sama sekali menyalahkan industri hiburan tetapi kita salahkan sikap artis yang keterlaluan dalam berpakaian sehingga menyebabkan pelajar IPT terikut-ikut. Punca lain adalah tren atau fesyen pakaian yang mula beralih daripada zaman moden ke zaman nomad kembali. Pakaian yang dipakai pelajar IPT mula tidak menzahirkan ciri-ciri seorang pelajar IPT tetapi seakan-akan seperti wanita jalanan yang mencari pelanggan.
Seharusnya kita perlu mengkaji setiap fesyen dan tren yang diperkenalkan dari sudut agama dan kesihatan. Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam buku “Sakit Kerana Fesyen” menyatakan kebanyakan fesyen masa kini memudaratkan kesihatan dan ia merupakan helah dagangan untuk keuntungan industri fesyen.
Rintihan etika pemakaian ini telah diluahkan oleh Mohd Najib Shahabudin pelajar Sains Gunaan Dan Pengajian Islam Universiti Malaya, yang mana beliau merungut tentang penguatkuasaan etika pamakaian sewaktu pelajar ke kelas dan ketika menduduki peperiksaan. Beliau amat kecewa kerana pelajar yang berpakaian seksi dan tidak sopan dibenarkan masuk ke dalam dewan peperiksaan, akibatnya ia mengganggu emosi, tumpuan dan fokus pelajar lain.
Dalam buku PERATURAN-PERATURAN UNIVERSITI MALAYA (PENGAJIAN IJAZAH PERTAMA) yang dikeluarkan Bahagian Akademik Universiti Malaya menetapkan di bawah Arahan Am Peperiksaan kepada calon dibahagian LARANGAN (3)(f) memakai apa-apa pakaian yang menutup muka, pakaian yang tidak sopan dan tidak sesuai dengan keadaan, selipar dan sarung tangan (kecuali pelajar perubatan, di klinik dan makmal) di dewan peperiksaan. Segelintir pihak pelajar masih ragu terhadap pelaksanaan penguatkuasaan arahan ini. Ini adalah kerana jika arahan ini dibuat hanya untuk dipamerkan tanpa dilaksaanakan maka ia boleh dikatakan sebagai sia-sia dan nilai integriti IPT berada pada tahap yang lemah.

Kita dapat lihat antara cara mengatasi etika pemakaian yang tidak betul ini, kita haruslah sama-sama menilai dari sudut agama, tidak kira dari agama mana sekalipun. Selain itu kita haruslah menilai etika pemakaian dari undang-undang atau perintah serta dari sudut kesihatan. Pihak-pihak bertanggungjawab haruslah memainkan peranan terutama pihak IPT. Penguatkuasan terhadap pelajar IPT yang melanggar etika ini perlulah dilaksanakan kuatkuasakan agar kredibiliti IPT terjamin dimata masyarakat. Jika etika pemakaian ini hanya dijadikan paparan dalam buku panduan atau dinding fakulti dan bangunan pentadbiran tanpa dilaksanakan, maka adalah wajar etika pemakaian tersebut dijadikan monumen sejarah untuk pameran dalam muzium dan bukan dalam IPT. Kita memuji juga kepada pihak IPT seperti UKM yang mengambil langkah proaktif memperkenalkan beberapa peraturan pakaian dan kemasan diri para pelajarnya pada tahun 2002, menurut Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Anuwar Ali pada ketika itu berkata, arahan peraturan pakaian dan kemasan diri itu akan menjadi panduan kepada pelajar sebagai persediaan menjadi bakal graduan yang akan memasuki alam kerjaya. Etika pemakaian ini haruslah dititik beratkan lagi sewaktu pelajar mula-mula menjejakkan kaki ke IPT seperti sewaktu Minggu Haluan Siswa di peringkat IPT. Dikalangan pelajar IPT sendiri perlulah wujud kesedaran dan tanggungjawab untuk melaksanakan etika pemakaian tersebut untuk meningkatkan nilai dan intergriti seorang yang bergelar pelajar.
Melihat dari kaca mata Islam, dalam buku “ADAB DAN PERGAULAN ANTARA LELAKI DAN WANITA” karangan Hamidah Mat meletakkan garis panduan menutup aurat iaitu menutup aurat yang ditetapkan , pakaian yang longgar, pakaian yang tidak jarang dan bukan pakaian yang menarik perhatian. Jika seseorang wanita itu berpakaian ketat dan menampakkan bentuk tubuh maka pemakaian tersebut belum memenuhi kehendak syarak. Aisyah r.a telah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asmak pernah masuk ke rumah Rasulullah s.a.w dengan pakaian nipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah s.a.w berpaling dan bersabda :
Maksudnya: “ wahai Asmak, sesungguhnya seorang wanita apabila baligh, dia tidak patut memperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini, sambil baginda menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangannya.” Hadis Riwayat Abu Daud.
Perkara ini bolehlah dijadikan kayu ukur untuk pelajar IPT yang beragama Islam agar larangan Syarak tidak dilanggar. Nilai wanita bukanlah hanya pada pakaian tetapi pada akhlak dan tingkahlaku, ini kerana etika pakaian juga boleh dikatogarikan dalam akhlak. Sabda Rasulullah s.a.w :
Maksudnya : “ sesungguhnya dunia itu semuanya kenikmatan bersifat sementara. Sebaik-baik kenikmatan dunia adalah wanita solehah.” Hadis Riwayat Ahmad dan juga Muslim, Abu Daud, Al-Tirmizi, Al-Nasaai.
Jelaslah disini bahawa nilai harga wanita bukanlah pada pakaian tetapi pada akhlak yang telah dijelaskan. Kesimpulannya ayuhlah kita sama-sama memperbetulkan etika pemakaian kita agar ianya bertepatan dengan nilai Islam dan yang selaras dengan peraturan-peraturan IPT.



ZULZAIDI BIN MAHMOD
KOORDINATOR PENDIDIKAN PENGGUNA DAN MASYARAKAT,
TERAS PENGUPAYAAN MELAYU


6/5/08

This entry was posted on 8:54 PM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments